Followers

Friday, November 11, 2011

Jumaat - Qurban unta atau hadiah sebiji telur.

Salam hari Jumaat yang mulia dan penuh barakah. Doa untuk semua yang telah meninggalkan kita, terutama datuk dan nenek moyang, ayah bunda, suami, ipar duai terutama abang ipar yang kebetulan tarikhnya hari ini 11.11. mudah-mudahan kesemuanya dalam rahmat Allah . Amin.

Hari ini hari Jumaat yang penuh kemuliaan. Banyak peristiwa yang telah berlaku dan akan berlaku pada hari Jumaat. Antara yang tidak boleh dillupakan Hari Qiamat, Jumaat bulan Ramadhan bila?... hanya Allah saja yang tahu tarikh dan masanya. Sebagai hamba kita hanya menanti dan kalau boleh nak bersedia dengan secukupnya. Melawan iblis dan mengharap yang terbaik dariNya.Banyak perkara yang disarankan kita melakukannya pada hari Jumaat seperti berzikir, membaca Alquran terutama surah Yassin, Kahfi, Waqiah dan Arrahman. Tiap surah mempunyai kelebihannya.

Hari ini opah hadiri kuliah di Pondok Pengajian berdekatan. Ingin opah kongsikan terutama dengan dua orang anak lelaki opah dan anak perempuan, menantu dan cucu serta anak buah opah, paling penting untuk diri opah sendiri. Ini adalah mengenai kelebihan menunaikan solat Jumaat setiap minggu.Opah hanya menunaikan solat Jumaat hanya di Mekah dan Madinah, memandangkan rumah dan masjid di Malaysia agak jauh. Petikan dari kuliah ketiga.

Hadis Nabi. Riwayat Imam AlGhazali dalam Ihya Ulumuddin dan setengah pendapat di dalam Bidayatul Hidayah- petikan dari Sirassalikin.

Artinya " Barangsiapa pergi ke Masjid kerana sembahyang Jumaat:

1. Pada saat yang pertama maka seolah-olah dia menyembelih qurban akan seekor unta.
2. Pada saat yang kedua maka seolah-olah dia menyembelih qurban seekor lembu.
3. Pada saat yang ketiga maka seolah-olah dia menyembelih qurban seekor kambing biri-biri bertanduk.
4. Pada saat yang keempat maka seolah-olah dia memberi hadiah seekor ayam
5. Pada saat yang kelima maka seolah-olah dia memberi hadiah sebiji telur

Maka apabila keluar Imam akan membaca Khutbah maka para malaikat pencatit akan melipat segalah suratan dan diangkatkan akan segala qalam dan berhimpun mereka semua (malaikat pencatit) di dekat mimbar. Mereka juga akan mendengar segala zikir, khutbah dan barang siapa yang datang kemudian daripada itumaka hanya yang diperolehi olehnya hanyalah solat dan tiadalah fadhilat apa-apa lagi.

Imam AlGhazali juga menyebut dalam Ihya Ulumuddin,
1. Saat yang pertama itu dari terbit fajar hingga terbit matahari. (lepas solat subuh)
2. Saat kedua daripada terbit matahari hingga naik matahari.
3. Saat ketiga hingga terhampar matahari dan terasa panas pada tapak kaki.
4. Saat keempat hingga waktu dhuha.
5. Saat yang kelima daripada waktu dhuha yang tinggi sampai gelincir matahari.Waktu ini hanya perolehi hak untuk solat tiada lagi fadilat.

Pada semua anakanda dan anak buah selamat berhijrah kepada tahap iman yang lebih tinggi dan mudah-mudahan anakanda semua akan perolehi pahala qurban unta, lembu atau kambing bukan hanya sekadar pahala hadiah sembelihan ayam atau sebiji telur atau hanya dapat solat saja.