Followers

Sunday, August 23, 2009

BERBUKA DAN BERSAHUR


Ramadhan adalah bulan kita meningkatkan keimanan melalui pelbagai ibadat yang wajib dan sunat. Gandaan pahalanya tak payah ceritalah seronok dengar tapi nak buat banyaklah pulak dugaannya. Biar pun iblis dah dirantai tapi auranya masih banyak yang menggoda kita untuk melakukan pembaziran terutama bila nak mengawal nafsu makan.

Berbuka satu hal, jika ahli keluarga ramai, permintaan masing-masing pelbagai, juadah yang dijual juga beraneka hingga yang melihat begitu teruja walau pun rasanya belum tentu lagi. Ada keluarga makan nasi dulu, kemudian kuih.Inilah yang terjadi pada opah. Dari kecil diajar makan nasi dulu, walau pun ayahanda cuma menjamah kurma dan air suam segelas terus solat.

Bila dah berkahwin, suami dan keluarganya makan kuih dulu, alasan perut dah kenyang sikit, nasi makan tak banyak, solat terawih selesa, tak mengah dengan makanan. Mula-mula sukar nak ubah lepas beberapa tahun dapat opah tukar hingga sekarang. Opah dapat tukar kerana opah mengandung anak kedua dalam bulan puasa jadi perut dah sempit, alhamdulillah tak boleh makan banyak.

Tabiat makan kuih ni pun tak bagus juga, maklum manis lemak dah tentu mengundang pelbagai penyakit. Opah pulak suka kuih yang pedas dan masin, tapi berminyak lah pulak.Kalau dapat kawal makan dalam kuantiti yang sedikit oklah....sendiri punya badan, sendiri mau ingatlah....

Anak-anak ketika kecil mengikut saja tak banyak kerenah makan taklah memilih sangat apa yang kami makan itulah yang mereka makan. Ketika itu pasar ramadhan pun tak semeriah sekarang. Mereka terpaksa menukar cara makan bila berpisah untuk belajar, duit terhad mereka kena makan nasi dulu.Sebab semua kena beli.

Bersahur bagi opah satu masa dulu sesuatu yang sungguh berat, rasa menyesal sangat kalau boleh opah nak undur ke belakang , mana boleh orang nak ke depan. Opah tak suka bangun makan sahur, kalau bangun hanya minum air suam saja. Jadi itulah yang telah berlaku pada ketiga-tiga anak opah bila dah dewasa, bangun hanya untuk minum air saja. Nak kata apa lagi...

Alhamdulillah bila dah berkahwin mujurlah dapat ubah.Rasa tanggungjawab pada suami anak-anak menyebabkan opah bangun disamping naklah juga pahalakan. Pahala sangat besar bangun sahur supaya dapat kita buat ibadat -ibadat lain menggantikan tidur.Sunat bersahur diakhir waktu supaya kita dapat solat subuh pada awal waktu.

Ketika anak-anak masih kecil mereka selalu bersahur lewat dari kami supaya perut masih kenyang ketika bangun. Semuanya untuk galakkan mereka rajin berpuasa terutama sekali anak lelaki.

Wednesday, August 19, 2009

JUMPA TEMAN LAMA

Salam Ramadhan Almubarak untuk semua,

Dua hari sudah opah dihubungi seorang teman sekolah yang sudah tidak berjumpa hampir 35 tahun. Setelah berbual bercerita kisah di sekolah rendah, menengah kami pun berjanji untuk berjumpa. Kebetulan ibunya yang masih sihat tinggal di Sg. Bogak lebih kurang 40 km dari tempat opah. Walaupun dah hampir setahun sejak bersara opah tak pernah memandu seorang sejauh itu, tapi nak jumpa kawan lama punya pasal opah gagahkan diri juga memandangkan suami ada hal lain.

Sungguh seronok jumpa kawan lama, dalam masa yang singkat itu kami sempat menziarahi seorang teman lagi yang suaminya diserang angin ahmar, dan sedang mendapat rawatan di hospital Taiping.Walaupun perjumpaan tu memakan masa lebih kurang 3 jam rasanya memang tak cukup, bertanya khabar melalui talipon memang tak sama dengan bersua muka. Ketika ini perbualan dalam pertanyaan, kesihatan, anak cucu, kerja pastinya dah bersara pada tahun ini yang sihat dan mampu akan menyambung sampai umur 58.......

Akhir sekali kami juga sempat singgah dan bertemu seorang kawan lagi (yang ni lelaki) seorang YB yang menang dalam Pilihan Raya lepas. Dengan YB ni opah rasa dah 40 tahun lebih tak jumpa.Menurutnya, dia pernah nampak opah dalam bas masa tu dia belum masuk tentera lagi.Sempatlah dia mengajak kami minum sambil bertanya khabar. Opah tanya dia, tak pergi tolong kempen di Permatang Pasirkah? jawabnya, "Dah hantar wakil...". Sempat lagi dia bergurau atau memang betul mereka akan lakukan, "Sekali lagi kami akan bersidang atas pokok pulak bukan bawah pokok."

Tengah sedap berborak suami pulak hantas sms ada jiran sekampung meninggal dan akan dikebumikan sebelum asar. Hajat hati nak lewat balik dibatalkan spontan teringat kematian yang tidak akan menunggu sesaat atau sedetik bila sudah sampai masanya. Selamat menjalankan ibadat puasa.

Tuesday, July 28, 2009

CERITA PONTENG


Menyebut perkataan ponteng saja bagi seorang guru memang rasa bosan sangat tapi bila dah berlaku di daerah kampung dan negara opah rasa pelu juga kita ingat mengingatkan maklum masing-masing ada anak dan cucu.

Di kampung opah, nak kata ulu sangat tu tidak juga tapi kemudahan asas semuanya ada, terdapat 3 buah sekolah yang berdekatan dan berssebelahan itu menunjukkan betapa ramai penduduk kat sini. Dua buat sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah,

Sekolah rendah setakat ini masalah ponteng ni tak ketara sangatlah, kalau ada tak nampak mungkin kerana mereka masih kecil kalau ponteng, gunakan alasan sakit dan duduk di rumah. Ponteng yang serius sekarang di sekolah menengah. (Minta Allah jauhkan anak cucu kita semua)Setiap pagi penduduk kampung boleh nampak mereka berkeliaran di batas ban(taliar kampung) Berkumpul dengan motor menghisap rokok dan dalam pakaian uniform sekolah.

Kalau di bandar mungkin mereka akan Kompleks membeli belah jadi tumpuan, ini di kampung permatang sawah batas tali air jadi tumpuan, sering dikejar guru disiplin.... sedih dan geram tengok keadaan tak sepatutnya terjadi kerana sekolah hari ini semua cukup lengkap guru berijazah belaka, yang diploma dah bersara kalau ada pun boleh dibilang dengan jari.

Menurut pengetua, waris telah berkali-kali dipanggil untuk memberitahu dan mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah ini tapi mereka tidak datang. Mereka datang kalau anak mereka hendak diberhentikan sekolah.Ada jugalah teguran dari orang tertentu, contoh YDP PIBG tapi apa yang berlaku anak YDP di sekolah yang sama teruk dibelasah...Mesyuarat demi mesyuarat diadakan oleh pihak sekolah, melibatkan PIBG,Pengerusi Masjid, JKKK dan wakil kampung tapi kesannya tak berapa ketara pulak, mungkin kerjasama ibu sangat perlu dlam hal ini.Sekolah opah dulu ada juga mengadakan kursus motivasi untuk ibu-bapa sebelum kursus untuk anak-anaknya. Nampak ketika itu ok jugaklah pencapaian murid-murid di sek. rendah bukan di sekolah menengah.

Kalau oarang yang membaca cerita opah ni seorang guru rasanya dah sering dengar masalah ni cuma mungkin suasananya mungkin berbeza. Kenapalah agaknya mereka tak suka ke sekolah, tak suka dan tak faham pelajaran, tak suka guru, teknik belajar yang membosankan atau pengaruh kawan-kawan. Pergi sekolah bukan perkara yang menyeronokkan lagi.....Generasi hari ini adalah pemimpin akan datang.Teramat sedih, bimbang dan takut kerana yang ponteng tu kebanyakan bangsa kita maklum di kampung itu belum kita dengar ponteng kat bandar.

Wednesday, July 22, 2009

KENDURI DI MANIR.

Salam Syaaban yang jatuhnya pada esok hari bersamaan 23 Julai 2009. Pada 5 hb. Julai lepas opah berkesempatan menunaikan jemputan kenduri anak angkat opah di Kg. Tetambah, Manir Trengganu. Anak angkat opah ni pernah tinggal dirumah opah selama 10 hari semasa BTN mengadakan program anak angkat pada tahun lepas.

Sebelum ini memang ada jemputan kenduri tapi opah tak dapat memenuhi jemputan jagi kali ini opah berkesempatan. Seronok juga tak pernah sekalipun kenduri di Terengganu opah hadiri walau pun dah banyak kali ke sana. Mungkin bagi setengah orang biasa aja. Bagi opah tidak biasa.Bertolak malam dan (tiada bas waktu siang ke T,ganu" jadi tak ada apa sangatlah yang dapat dilihat dalam kelam dan suram.

Persiapan tempat sangat sederhana dan ringkas. Makanan alhamdulillah, kari daging, kari ayam(ada kelainan pada rasa kari tersebut) kampung, sayur keladi + budu, ikan kering, rendang daging (nampaknya) ulam dan sambal belacan.Palingopah suka sayur keladi, opah tanya kenapa warnanya hitam dan kelabu je? jawab mereka , "Doh taamboh budu ke!" patutlah auranya lain je tapi sedap.Tak perlu bubur pulut hitam atau bubur kacang, tiada laksa dan mee kari atau mee goreng mamak atau roti canai untuk disantap lagi.(Ini kebiasaan di Pulau Pinang sekarang)

Opah ada dengar dari kawan-kawan lain memang macam nilah selalunya kenduri kat Tganu.
Tak payah khemah banyak-banyak pelamin pun tak perlu( yang ni tak pasti adakah semua pasangan kat sana tidak bersanding?) Seingat opah kampung opah dulu pun tidak ada adat bersanding atas pelamin,(pengantin didudukkan atas kerusi atau atas katil je) kalau ada bersanding atas pelamin, sesuatu yang sangat pelik ketika itu.Apa pun yang penting Akad Nikah dan isytihar untuk mendapat keberkatan dari Allah bagi pasangan pengantin tersebut.

Saturday, July 4, 2009

MASAK-MASAK BERSAMA IBU MERTUAKU


Salam Rejab yang mulia dan bakal menyambut bulan Syaaban pula selepas tu datanglah Ramadhan bulan kita semua berpuasa. Sekarang rata-rata ramai sedang melakukan ibadat puasa di bulan Rejab. Opah rasa sungguh berbangga melihatkan anak-anak cucu sibuk berebut-rebut peluang istimewa sampai ada yang malu nak makan depan orang kalau hari Isnin dan Khamis. Maklum member puasa awak tak boleh berpuasa.

Bila cerita pasal puasa opah selalu ingatkan apa juadah atau tentang makanan ajelah sebab jualan kurang lainlah kalau bulan Ramadhan, bahan makanan melambak-lambak kat pasar Ramadhan pilihlah mana hendak. Bila cerita pasal makanan opah ingat masa mula-mula opah mendirikan rumahtanga. Orang Perak kahwin dengan Orang Penang. Macam tempoyak nak join dengan belacan lah bolehlah kut. Ada beberapa perbezaan makanan kegemaran, menu keluarga mengikut cita rasa. ada yang opah langsung tak tau.... Susah hati tu ada juga tapi suami bagi semangat apa pun boleh belajar....

Alhamdulillah masakan orang Perak tu nak kata pakar tu taklah bolehlah nak makan tapi kari mamak Penang, kena belajar dulu, tak sama rupanya opah ingat sama aja dulu ambil aja rempah kari mana-mana brand, rupa-rupanya ibu mertuaku giling sendiri rempahnya nilah yang opah kantoi, batu giling pun tak pernah pegang, bila giling cilinya tak naik keatas batu. Terima ajalah memang tak pandai...Opah tinggal bersama ibu mertua selama 15 tahun 1979 hingga 1994 (hingga dia meninggal) lebih kurang sama dengan opah bersama ibu sendiri (keluar belajar tinggal di asrama dan bekerja).

Rupanya banyak yang opah dapat pelajari mengenai masakan dari ibu mertuaku dari petua memilih ikan yang elok untuk dibuat kari, hinggalah menebar roti canai, menyurai roti jala, membuat roti telur dan membalut ketupat pulut dengan daun palas. Ada juga persamaan dengan bonda sendiri tapi tak banyak. Tapi rendang tok orang Perak tetap menjadi pilihan bila raya. Opah sangat berterima kasih kepada dua orang insan ini bonda dan ibu mertua yang telah melahirkan, menjaga dan mendidik opah dan berkorban apa saja(arwah bonda tersayang) dan ibu mertua yang tidak lokek, sentiasa membimbing dan mengajar opah pelbagai perkara paling istimewa mengajar opah pelbagai menu keluarganya maklum untuk santapan anakanda kesayangannya.(Arwah ibu mertua yang dikasihi)Sebenarnya jasa mereka tak dapat nak dibalas dengan kata-kata atau wang ringgit hanya Allah yang akan membalasnya.AminSemasa belajar tulah opah tahu macam mana nak uli roti canai, kenapa bila ditarik tak koyak, roti jala disurai dengan daun pisang aja tanpa acuan atau ibu mertua gunakan jari je....Membalut ketupat dengan daun palas pun bukan semua orang boleh silap-silap bila direbus masuk air kalau tak pandai, atau berkemungkinan jadi ketupat betina..silap balut lah tu.

Bukan saja opah belajar masak dan belajar menyukai makanan pilihan mereka, maklum tinggal sebumbung dengannya selama 15 tahun, keluarga suami juga belajar menyukai makanan kesukaan keluarga opah, masakan ompok ikan sungai campur tempoyak, nasi himpit dan kuah kacang dan lodehnya, rendang pedas ayam dan rendang tok. Mula-mula tu memang susah juga tapi lama kelamaan bolehlah walau bukan 100 %.Satu saja yang opah tak berapa selesa nak makan hingga sekarang ikan tanpa sisik...kureng sebab bonda dulu tak makan jadi opah pun tak makan. Tidaklah dapat opah menikmati sepenuhnya keenakan sembilang, keli, pelotan, seludu....oleh kerana depa ni semua dijadikan Allah tanpa sisik....