Followers

Saturday, April 9, 2011

Puasa dan solat.

Hari ini opah mendengar satu cerita dari kuliah pengajian yang rasanya patut dikongsi bersama siapa saja. Ceritanya bukanlah direka-reka dan bukan pada zaman Nabi atau masa terkini yang penuh kecanggihan. Kisah ini berlaku sekitar tahun tahun 1980han.Merupakan kisah benar seorang insan dimaklumkan rakan baik Tuan Guru kata tempat pengajian opah.

Impian seorang bapa adalah untuk memberikan pendidikan terbaik bagi anaknya. Ilmu,iman dan amal. Walau siapa pun bapa itu dia tetap menghendaki yang terbaik untuk anaknya. Mungkin ada yang sebaliknya setakat ni opah belum jumpa lagi mungkin dalam drama atau filem...Inilah yang terjadi pada ayahanda seorang kawan TG .

Dia telah menghantar anaknya (lelaki) ke sebuah Pondok Pengajian di Kelantan. Bila sebut negeri Kelantan kita boleh bayangkan tokoh-tokoh ulamak dari Negeri Cik Siti Wan kembang ini. Begitu juga dengan ayahanda ini dia sangat ingin anaknya menjadi seorang yang dekat dengan Allah, Rasul dan insan lain dengan cara paling mulia walau pun dia sendiri tidaklah mencapai tahap yang paling baik ketika itu.

Setelah beberapa tahun anak tersebut belajar di pusat pengajian itu, dia telah menjadi seorang yang alim berpengetahuan dan berakhlak mulia. Pengajiannya telah pun tamat dan dia pun pulanglah ke kampung ayahandanya.

Kepulangan anak ini sempena menyambut bulan puasa dan Hari Raya Aidilfitri. Gembira sungguh dia bila dah tamat pengajian dapat berkumpul semula dengan ayah dan bonda. Rupa-rupaya kegembiraan ini hanya sementara. Inilah ujian Allah mungkin, dia sangat terkejut bila melihat ayahandanya langsung tak solat 5 kali sehari semalam. Maknanya tak ada hubungan langsung dengan Allah dalam sehari. (mungkin tiap-tiap hari).

Dia sentiasa berfikir bagaimana nak mengajak ayahandanya balik ke jalan yang benar. Ramadan pun datang, semua orang berpuasa termasuklah ayahanda yang tak solat itu. Puasa tapi tak solat. Anak ini dengan hati yang sungguh berat lalu memasak nasi dan makan pada waktu siang ketika orang lain sedang berpuasa. Dengan perkataan lain tidak berpuasa tapi solat tidak ditinggalkan. Selama 5 hari kelakuan nya ini diperhatikan oleh ayahandanya, bila masuk hari ke 6 barulah ayahandanya menegur perbuatannya. "Kenapa kamu tak berpuasa dan makan di siang hari?" Dia menjawab, " Samalah ayah yang hanya puasa tapi tak solat." Alhamdulillah sejak dari itu barulah segalahnya berubah, ayahandanya sudah solat dan dia telah berpuasa. Dia juga bersyukur mujurlah tidak ada kejadian yang tidak diingini sepanjang tidak berpuasa itu. Hanya Allah sajalah yang tahu betapa takutnya dia ketika menginggalkan ibadat tersebut demi untuk menyedarkan ayahandanya. Puasa yang ditinggalkan juga telah diqada'kan.

Solat adalah tiang, tanpa tiang apalah yang nak kita dirikan.
Mungkin berbumbungkan langit dan berlantaikan bumi.

Tuesday, March 29, 2011

Larangan Mengeluh..

Adakah anda seorang yang suka mengeluh? harap-harap tidaklah. Samalah Opah macam orang lain jugak , ada pasang dan surut dalam apa apa jua masalah. Apa yang menyebabkan kita mengeluh selalu? Banyak tu....dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar masalah bertaraf dunia.Kalau nak cerita memang tak tercerita maklum satu dunia punya hal. Negara Mesir dan Libya mengeluh kerana pemimpinnya dah lama sangat tak mau turun-turun, Jepun mengeluh kerana bencana Tsunaminya.Rakyat Malaysia mengeluh mungkin kerana masalah sosialnya kehebatan fitnah memfitnah, berbangga dapat mengheret seseorang ke mahkamah dan buka aibnya.

Keluhan demi keluhan. Dari sebesar-besar masalah hari ini hinggalah keluhan seorng suri rumah yang tak tau nak masak apa setiap hari bila jumpa di market atau tempat menjual ikan kat kampung. Maknanya semua peringkat manusia dari pelbagai golongan boleh dikatakan biasa mengeluh. Cuma yang membezakannya adalah apa yang mereka keluhkan dan setakat mana keluhan itu boleh mengubah sesuatu keadaan atau keluhan sekadar luahan perasaan saja.

Menurut orang berilmu, mengeluh dilarang dalam agama kita. Bila difikir-fikirkan memang betul mengeluh memang gambaran rasa tak puas hati dalam apa hal, pada diri sendiri orang lain dan keadaan sekitar. Kadang-kadang yang lebih teruk tak puas hati apa yang telah ditakdirkan, patutnya kita sabar dan berbalik pada Allah SWT. Kenapalah jadi macam ni? kenapa tak jadi macam tu. Lebih kurang macam tak berapa suka dengan takdir Allah...Nauzubillah

Satu masa dulu opah ingat keluhan ni tidak mengapa, tapi bila dengar ceramah atau tazkirah di tempat pengajian ia merupakan perkara yang tidak baik. Apatah lagi keluhan itu melibatkan pihak ketiga... dia akan jadi mengumpat kalau mangsanya tidak mendengar dan tidak rela diumpat. Kalau mengeluh mengenai hal keburukan diri sendiri pun tidak baik juga, sebaiknya bertaubat dari dosa lepas dan bersabar dengan musibah dari Allah. Mencanangkan keburukan diri sendiri juga tidak dibenarkan, kalau kita buka aib orang apatah aib diri sendiri lagi sangatlah ditegah. Kata Guru Opah Allah akan buka aib kita di akhirat nanti.

Monday, March 7, 2011

PENYEGARAN SEMULA....

Assalamualaikum wr wb.

Rasanya pondok opah ini telah banyak sawangnya sejak entri terakhir opah. Bila dah lama tak menjengok adalah juga pekara yang rasa macam nak tulis tapi bukan semua.Dari Muharam, Safar, RabilulAwal dan hari ini dah 1 RabiulAkhir. Cepat sungguh masa berlalu. Sambutan Maulidurrasul pun dah berakhir sama dengan kedatangan RabiulAkhir.

Sepanjang bulan Maulud ini puas jugalah opah mendengar ceramahnya soal jawab forum dari majlis sekecil-kecilnya di surau comel kampung opah sampailah ke acara lintas langsung. Orang lain pun rasanya lebih lagi, pelbagai stesen tv menjadikan bulan ini untuk mengimarahkan lagi suasana Mauludirrasul.

Selagi berada dalam majlis ilmu tak kira live ke siaran ulangan opah rasa kalau kita hadir dan dapat memanafaatkan majlis itu rasanya pahala itu milik kita. Biasanya penceramah akan membawa pelbagai topik yang berkaitan dengan sejarah Rasululullah. Kalau dulu waktu opah masih sekolah majlis maulud akan diperdengarkan kisah kelahiran Rasul SAW dari mula hinggalah saat beliau diangkat menjadi Nabi menerima wahyu dan sebagainya.

Rasanya memang kita dah hafal perkara berkaitan mengenainya. Seronok sungguh mendengarnya walau pun hanya membayangkan betapa hebatnya Nabi Muhammad itu. Itu ketika keciL dosa tak banyak lagi dan amalan pun kurang, solat kena suruh dan diperiksa selalu oleh orang yang lebih dewasa.

Berbeza dengan sekarang perkara yang disentuh bukan macam dulu, paling menyentuh hati bila mendengar khutbah terakhir Rasululullah.Bagi opah semua usaha yang dilakukan oleh pelbagai pihak itu memang tujuannya sangat murni untuk menimbulkan rasa kasih sayang yang sungguh tulus pada Rasululullah Tokoh yang tidak ada bandingannya sampai bila-bila, kiamat atau lepas kiamat.Bagaimanalah kita di Mahsyar nanti, kalau tidak ada Nabi di situ yang amat mengasihani kita dan sanggup mensyafaatkan kita bila menghadapi Allah nanti. Hebatnya Dia....

Pada 2 RabiulAwal lepas keluarga opah sempat juga berkumpul di rumah kekanda opah di Janda Baik.Majlis silaturrahim ini adalah kali ke 4 diadakan dan berjaya mempertemukan hampir 80% saudara, anak saudara dan cucu dari keturunan ayahanda dan bunda opah itu Haji Hasan dan Hajjah Aishah. Lebih kurang 100 orang ahli keluarga opah berkumpul dan membaca Yassin dan Majlis Tahlil untuk arwah ayahanda dan bonda serta semua yang telah pergi dulu teristimewa Rasulullah SAW.Mudah-mudahan roh mereka akan dirahmati Allah SWT.

Sunday, January 2, 2011

Miizan

Assalamualaikum wr wb bagi sesiapa saja yang mungkin tersesat ke pondok opah. 2010 yang penuh kenangan telah ditinggalkan dan semakin dekatlah rasanya diri opah ke hentian terakhir kata abang kedua opah. Masa yang tinggal sedikit lagi inilah yang akan dipergunakan sebaik mungkin walaupun mungkin bukan yang terbaik. InsyaAllah...

Kenangan mahal yang tak mungkin dipadam atau ditelan zaman bila Allah ambil semula apa yang dipinjamkan kepada opah dan dikurniakan sepasang cucu pada akhir 2010.
PhotobucketPhotobucketPhotobucket
Sebagai hamba yang sungguh lemah dan kerdil sangat disisinya, opah sangat bersyukur pada kurniaan dan taqdirnya yang sungguh hebat!.... Opah hanya mampu mendoakan yang terbaik dari Allah SWT untuk mereka yang telah pergi dulu menemuiNya.

Zaman untuk berazam-azam seperti sudah berlalu. Azam hanya di dalam hati dan hanya Allah yang tahu mudah-mudahan dipermudahkan semua perkara dunia dan akhirat .
Sebelum kita dihadapkan ke Mahkamah Allah nanti, mungkin hadis di bawah ini boleh membantu manusia lemah seperti opah untuk melaluinya. Itu pun jika kita beramal dengannya.

Allah berfirman dalam satu hadis Qudsi:
Riwayat Tabrani dalam AlKabiir sumber Ibnu Abbas ra.
(Maksudnya) " Pada hari kiamat kelak akan dihadapkan perbuatan baik dan perbuatan jahat seseorang llau dinilai dan diperbandingkan antara kebaikan dan kejahatan itu. Apabila berbaki satu kebajikan (perbuatan baik) orang itu akan dimasukkan ke dalam syurga."

Allah SWT memberitahu kepada kita, bahawa pada hari kiamat nanti akan dilakukan MIIZAN (penimbangan segala amal-perbuatan manusia). Amal manusia akan ditimbang dengan neraca keadilan sehigga dapat diketahui mana timbangan yang lebih berat, kemudian dinilai berapa banyak kebajikan dan berapa banyak keburukan. Lalu digugurkan keburukan sebagai kebajikan.

Di dalam Alquran dikemukakan bahaawa kebajikan itu menghilangakan atau menghapuskan kejahatan( dosa). Jika kebjikan itu bersisa, pemilik kebajikan itu diperintahkan Allah untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Jika ternyata pahala dan dosanya bersamaan pada timbangan itu , orang itu akan dimasukkan dalam golongan Ashhabul 'Araaf (orang-orang yang ditangguhkan kemasukannya ke dalam syurga).

Di bawah ini disebutkan beberapa amalan yang memberatkan timbangan kebajikan:

HR Alhakim, At-Turmudzi
"Tidak ada satu pun amal yang lebih berat dari akhlak yang baik dalam timbangan kelak di akhirat."

"Sesungguhnya selawat terhadap Nabi SAW termasuk yang memberatkan timbangan."

HR Muslim
"(Ucapan) Alhamdulillah memenuhi Miizan"

HR Ahmad
"Kalau sekiranya tujuh petala langit dan bumi dan segala isinya serta tujuh petala diletakkan pada satu piring timbangan, sedang {Lailaha Illallah} diletakkan pada sebelah lain, nescaya kalimat tauhid itu akan melebihi berat langit dan bumi itu."

HR Bukhari
"Dua kalimat ringan pada lidah, berat pada timbangan menimbulkan cinta kepada Tuhan iaitu: Subhanallahi wa bihamdihi, subhanallahil-azhiim."

Wallahua'lam.

Monday, December 6, 2010

Salam Maal Hijrah 1432

Salam Maal Hijrah untuk semua dan akhirilah tahun ini dengan doa akhir tahun pada akhir waktu asar sebelum masuk waktu maghrib dan mulakan tahun hadapan dengan doa awal tahun lepas maghrib nanti. Semoga kita sentiasa mendapat pengampunan rahmat dan hidayat dari Allah sentiasa.

Hampir sebulan lepas opah agak sibuk dengan kehadiran sepasang cucu baru dari anak pertama dan kedua opah. Alhamdulillah dan bersyukur keduanya semakin sihat selepas kena penyakit kuning pada peringkat awal kelahiran. Pelbagai petua untuk menyembuhkan penyakit ini tapi yang pasti Opah pulangkan semuanya pada Allah kerana selepas puas berikhtiar Dialah peyembuhnya.

Bersama melakukan yang terbaik untuk mengakhiri tahun ini dan memulakan tahun baru Hijrah 1432