Followers

Wednesday, March 24, 2010

PANTANG LARANG

Salam untuk semua.

Tiba-tiba saja opah rasa nak tulis pasal pantang larang orang Melayu atau Islam dan Melayu dalam ketika tertentu kehidupan mereka. Ini hanya untuk ingatan anak menantu, cucu dan opah sendiri. Ada yang memang opah setuju sangat. Ada yang tak berapa setuju tapi boleh terimalah. Ada banyak kaitan antara pantang larang dengan tegahan agama kita yang mulia.

Tegahan atau pantang larang semasa mengandung selalunya dikaitkan dengan apa yang akan berlaku pada kandungan. Ibu dan ayah perlu berhati-hati dengan kata-kata dan tindak tanduk semasa menanti kedatangan orang baru. Agama kita menganjurkan sentiasa banyakkan bacaan alquran solat hajat, zikir dan lain-lain ibadat menjuruskan kapada doa khas menyambut kedatangan bayi dan mudahkan kelahirannya.Bukan saja kita sentiasa dianjurkan berdoa untuk kemudahan bersalin saja tapi mudah ketika mengandung dan memelihara bila dia dah dilahirkan nanti.Mudah-mudahan dengan doa dan ibadat itu kita terelak atau dilindungi dari alahan yang terlampau.

Jauhilah perkara yang ditegah dan dilarang kerana sesungguhnya doa orang yang berdosa payah diterima Allah.Sekiranya melalui ruangan yang berhalangan, buangkan atau permudahkan perjalanan tersebut sama seperti kita berdoa dan mengharapkan kemudahan untuk melahirkan bayi yang dikandung.

Elakkan mandi tanpa kain basahan, ini menghalangkan malaikat yang sentiasa menjaga kita menghindarkan diri dari kita. Sekali kita berkeadaan begitu dia tidak akan melindungi kita lagi selama 40 hari (Malaikat sangat pemalu dia tak sanggup tengok manusia yang tak pemalu dan pemalas). Apabila kita berziarah ke rumah orang atau menginap di hotel pastikan bawa kain basahan kalau tidak, malaikat tak hampiri kita. Itu yang menyebabkan kadang-kadang kita mudah di rasuki iblis....Pastikan bilik air di rumah kita ada kain basah, jangan nak cepat mandi cowboy iblis tumpang ribuan kaki bukan sekaki.

Jika makan nasi berlaukkan daging jangan dimakan bersama ikan. Akibatnya jika berubat lambat sembuh dan kemungkinan dihinggapi penyakit sopak. Sejauh mana kebenarannya pun tidak pula kita ketahui. Kalau ada yang ingin membuat ujikaji cari penawarnya dulu...Opah pun tahu selepas berkahwin dan tinggal bersama ibu mertuaku...

Sebenarnya ada banyak lagi pantang larang ni contoh anak dara tak baik duduk di pintu, nyanyi kat dapur, makan dalam periuk, duduk di atas bantal, menyabung kaki, jangan membuang kuku pada malam hari... memanglah suasana kurang terang kemungkinaan luka nanti.Pantang larang yang paling teruk opah pernah dengar adalah pantang ketika selepas bersalin.Bermacam-macam mengikut petua keluargalah , negerilah atau suku-sakat kaum.Kadang-kadang seronok juga dikalangan orang Melayu yang ada pelbagai suku kaum dari pelbagai negeri pulak bermacamlah pantang larangnya. Semuanya untuk kebaikan terutama dalam memilih lauk untuk ibu-ibu yang dalam tempoh berpantang.Ayat-ayat keramat nanti terkancing gigi kalau salah makan atau turun darah sering digunakan oleh opah-opah zaman dulu.

Wednesday, March 10, 2010

MIKAIL PEMBERI REZKI

Menyebut tentang rezeki apa yang kita bayangkan selalunya duit dan hubungannya dengan punca rezki tersebut. Rezeki adalah anugerah Alllah melalui Malaikat Mikail pemberi rezeki.Dalam banyak Malaikat , Mikail adalah salah satu di antara empat Malaikat yang menjadi pembesar antara Malaikat. Ia Allah ciptakan sesudah Israfil djadikan dari cahaya. Jarak kejadian antara keduanya 500 tahun. Mulai dari kepala hingga kedua telapak kakinya berbulu za,faron. Di atas setiap bulu-bulunya, terdapat muka (wajah) sebanyak satu juta. Setiap satu wajahnya mempunyai satu juta mata.

Tiap-tiap mata sentiasa menangis untuk memohon rahmat bagi orang-orang mukmin yang berdosa. Selain dari berwajah sejuta dia juga memiliki jutaan mulut dan jutaan lidah bermula dari sejuta wajah tadi.. Boleh menuturkan jutaan bahasa.Tiap-tiap lisan beristigfar untuk orang-orang mukmin yang berdosa. Kemudian tiap-tiap mata menitiskan air mata tujuh ribu titisan. Setiap titisan air mata itu Allah klonkan ribuan Mikail lagi. Tugas mereka bertasbih sehingga hari qiamat. Mereka dikenali juga sebagai Karuubiyuun . Di samping bertasbih, mereka bertugas sebagai pembantu Malaikat Israfil menjalankan tugas, menurunkan hujan, menjaga tumbuh-tumbuhan membahagi rezki buah-buahan.Dari hasil usaha manusialah Allah datangkan rezeki yang dihantar oleh Karuubiyuun.

Disebutkan juga bahawa setiap sesuatu tumbuhan yang berada di laut, dan di bumi Allah utuskan malaikat menjaganya.

Tugas-tugas Lain

Di samping malaikat Mikail bertugas sebagai pembahagi rezeki dan hujan , ia sering mendampingi Malaikat Jibril melaksanakan tugasnya,

a. Waktu Malaikat Jibril menjalankan tugas membelah dada Nabi Muhammad SAW untuk di cuci hatinya kerana akan diisi dengan iman Islam yaqin dan sifat-sisat terpuji yang lainnya. Malaikat Mikail ketika itu ia berulang alik mengambil air Alkausar/air zam-zam untuk mencuci hati Nabi. SAW.
b. Waktu Nabi Muhammad SAW Israk dan Mikraj Mikail dan Jibrail adalah pengiring Baginda Rasululllah selama dalam perjalanannya.
c. Disebutkan juga bahawasanya Malaikat Mikail juga sebagai pesuruh untuk menyampaikan lembaran kepada Malaikat Maut dari sisi Allah SWT. Dalam lembaran itu tertulis nama orang yang diperintahkan untuk mencabut nyanya, tempatnya dan sebab musabab nyawanya diambil......


"Rujukan Himpunan Kisah Malaikat" Dr. Mardiyah Syamsudin

Wednesday, March 3, 2010

MAKAN UNTUK SIHAT.

Selawat dan salam untuk Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW. Salam Maulidurrasul
Bila usia makin meningkat maka bermacam masalah kesihatan yang timbul. Kebiasaan yang buruk jika tidak dihindari akan mengakibatkan pelbagai risiko.... Kebiasaan yang baik pula kalau ditinggalkan juga memudarakan diri sendiri dan bila diteruskan mungkin penambahbaikan tu adalah juga.Kata orang tua-tua dulu, biar mati kerana makan jangan mati tak makan, buruk sangat bunyinya. Boleh pakai lagikah pepatah ni...

Bila bercerita mengenai kesihatan lantas secara spontan kita akan ingat makan dan ubat... dan orang yang usianya dah meningkat macam opah. Harus juga kita ingat kadang-kadang usia muda pun ada ujian Allah sebagai hamba kita kena berikhtiar sebaik mungkin untuk mengatasinya.

Kadang-kadang kita yang suka makan mengambil langkah mudah, makan ubat tak pa tak pantang. Boleh makan tapi ubat jangan lupa. Kita sendiri membuat dan menghukum diri. Masa makan tak sedar dunia bila dah terlantar baru nak sedar, sakit sana sakit sini.... Kita dah membiasakan diri dengan aturan yang kita buat. Aturan tu kadang-kaadang berkesan kadang-kadang sebaliknya. Sakit memang datang dari kuasa Allah tapi sebab-sebab mesti ada juga.

Dalam meniti usia yang makin bertambah dan jangka hayat makin berkurang opah pun seperti orang lain juga. Tabiat suka makan dan rajin memasak dapat dikurangkan mungkin ada baiknya bagi diri kita. Jangan pula ingat tak masak dan hanya makan di kedai penyakit tak ada bagi opah sama aja, di kedai kita tak tau berapa banyak gula dan perasa dimasukkan setiap hidangan. Siapa yang masak pun kita tak kenal, bersihkah dia lapaz basmalah atau tidak semasa nak masak, adakah hidangan itu telah terdedah hingga begitu lama dan sempat iblis dah syaitan dah tumpang sekaki. Nampak macam banyak songeh...

Kebanyakan doktor akan menyarankan makan sayur dan buah-buahan kurangkan minyak lemak dan gula bagi mengelakkan darah tinggi dan kencing manis. Orang Melayu termasuklah opah pun, percaya sayur dan buah akan membawa angin dalam badan...... dengan kehendak Allah. Tambahan sayur yang dibeli disembur dengan pelbagai racun.. pulak. Tanam sayur sendiri......

Bila berpantang, nampaknya masa kenduri kendara terpaksalah menahan nafsu nak makan. Kenduri pulak menunya semua berkuasa tinggi, airnya manis kuih muih.....cendol, teh tarik.
Kalau sebelah utara ni, pada hari kenduri menu karinya mak aii..... dua tiga jenis, kari nangka, kari ikan kering (yang ni paling teruk..) semuanya mengandungi santan. Lemak yang paling tepu dan paling sukar dihindarkan dari dalam badan. Kalau kari daging lagilaa hebat...

Lama mana kita dapat bertahan dengan masakan kukus atau bakar dan sayur air saja....kata orang kampung opah sayur itik.Ada baiknya dan ada benarnya menjaga pemakanan bersenam, beribadat ( solat sunat dan puasa secara tidak langsung) atau melalui apa saja aktiviti yang menyihatkan dan tidak dilupakan ubat yang dipantau dr. peribadi atau diri sendiri dah layak jadi dr. jagalah diri sebaik mungkin sebelum detik itu datang menjemput bukan kerana sakit atau apa2 tapi memang saatnya sudah tiba. Tidak pernah kita lupakan pesanan Rasululullah SAW berhentilah makan sebelum kita kenyang.

Tuesday, February 16, 2010

MAAFKAN SAYA


Mohon maaf...... ... dalam hidup ini entah berapa kali kita minta maaf. Apa ertinya kalau selalu sangat minta maaf, ada beberapa andaian akan dibuat, mungkin kita selalu buat silap. terburu-buru buat keputusan, buat dulu baru fikir...atau memang kita tak sengaja dan memang ditakdirkan begitu, tidak boleh juga menyalahkan takdir tapi kita perlu redha pulak untuk menampakkan keluhuran dan keikhlasan hati sendiri.Rasanya ada baiknya juga selalu minta maaf dari tak pernah langsung minta maaf walaupun ternyata buat salah.

Opah ingat pesan seorang ulama, selalunya dalam hidup ini ada dua hubungan patut kita jalani dengan sebaik mungkin. Kalau dua hal ini dapat ditangani dengan sempurna hidup kita akan selamat dunia dan akhirat.Pertama kita menjaga hubungan dengan Allah SWT dan kedua menjaga hubungan sesama insan.

Dengan Allah SWT yang Mahaberkuasa dan Maha Pengasih dan Penyayang setakat ini rasanya paling senang kita memohon maaf. Tiada protokol yang susah nak berjumpa dan nak berbicara dengannya. Tiada had masa tiada cuti bila-bila masa kita boleh memohon kemaafan darinya walaupun kita tidak tau masa bila kita akan diampunkan, bila masa doa kita akan dimakbulkan.Apa yang pasti dia sentiasa mendengar dan melihat apatah lagi jika kita berada dalam landasan dan cara mendekatinya dengan penuh rasa TAKUT DAN HARAP.Apa yang kita tak pasti keikhlasan hati sendiri yang tiada RIA' langsung.

Kalau dengan Allah kita sangat yakin walaupun tidak tau di Mahkamah Allah(Akhiratlah) nanti apa kesudahannya tapi sekurang-kurangnya kita mempunyai keyakinan seratus peratus Allah mendengar setiap rintihan dan permohonan hambanya yang membuat silap atau dosa.

Sekiranya dengan Allah SWT kita cukup yakin, yakinkah anda kemaafan yang dipohon sesama insan. Pasangan suami isteri yang berpisah mempunyai masalah tertentu selalunya akan saling tuduh menuduh, bahkan saman menyaman sampai ke mahkamah. Kalau selesai di mahkamah dunia pun diakhirat kita belum terlepas lagi.Hari ini kalau kita baca dan dengar selalu di pelbagai media bukan hanya pasangan yang dah berkahwin, malah bertunang dan lebih menyedihkan pasangan kekasih yang tidak ada apa-apa ikatan pun boleh mengheret pasangan ke mahkamah.Minta Allah jauhkan kita semua.

Kalau diikutkan apa sangatlah ikatan belum rasmi itu. Biasalah kita hanya merancang tapi ketentuan dari Allah. Berjanji bercinta bagai nak rak tapi kalau Allah tak izin redha sajalah.Pasti ada hikmahnya. Alangkah baiknya kalau cinta seagung dan semurni itu dicurahkan khas untuk Allah SWT... rindu dan harap sentuhan dari Ilahi itu lebih bermakna dari cinta sesama insan yang pasti KEMATIAN menunggu diakhirnya.

Kesilapan dan kesalahan memerlukan kemaafaan yang benar-benar ikhlas di dunia, kalau tak sempat memohon maaf, nanti diakhirat. Kesalahan dan kesilapan macam satu hutang yang perlu dibayar bila tak sempat pulak nak memohon maaf masa hidup.Nak dibayar dengan duit masa tu duit dah tak laku yang ada hanya kebaikan dan pahala. Kalau pahala tu banyak oklah kalau tak ada terpaksalah menanggung dosa orang yang kita tak sempat memohon maaf.

Contohnya orang yang mengumpat seseorang sama ada melalui lisan atau tulisannya mesti memohon maaf kepada siapa saja yang biasa diumpatnya.Mengumpat atau membuka aib orang sangatlah ditegah oleh Nabi, sehingga ada antara sahabat yang disuruh mencuci mulut selepas didengari Nabi mereka mengumpat.Mulut yang mengumpat seolah-seolah sedang memakan daging sahabat mereka sendiri, dipenuhi darah.

Mohonlah maaf ketika insan itu masih hidup supaya kita tidak diisytiharkan muflis sebelum dibicarakan.Opah mengingatkan diri opah sendiri yang dah banyak buat silap kerana opah adalah insan biasa ....

Thursday, February 4, 2010

MESTIKAH SEKUFU?


Salam buat semua,meskipun semua ini bukan isu panas, bukan isu politik tapi kalau dibiarkan ada juga yang diheret ke mahkamah dari tajuk ini. mestikah sekufu? apa yang sekufu? selalunya kita kaitkan dengan perkahwinan atau ijabkabul antara dua insan yang datang dari dua keluarga yang berlainan. Jika terasa perit melaluinya mungkin ada yang tak kena. Mungkin kerana tak sekufu?

Setaraf bukan saja miskin kaya, berpendidikan (modern atau konservatif), darjat, rupa paras atau apa saja yang kita kalau nak perincikan banyaknya...Maklum apabila kita telah membuat keputusan untuk memilih pasangan kita bukan saja memilih dirinya tetapi apa saja yang ada kaitan dengan dirinya, kerjayanya keluarganya dan yang penting cara hidupnya dan keluarganya.

Masa berkawan kita pasti tak tahu semua perkara tentang pasangan kita. Dah kahwin baru tau. Walaubagaimanapun ada pasangan yang lansung tak kenal hanya melalui orang tengah dapat melalui cabaran walau pun tak berapa sekufu...Tahniahlah anda patut bersyukur kerana taqdir yang baik memihak kepada anda.

Seorang ibu mengeluh kerana dia kurang senang dengan suasana rumah bisannya atau mertua anaknya. Bila opah tanya kenapa? Saya kesihankan anak lelaki saya apabila dia pulang ke rumah mertuanya. Hari-hari terpaksa memandang aurat bukan muhrim, adik iparnya semua perempuan tidak menutup aurat(tak pakai tudung) bila dia balik ke sana. Sedangkan dia bukanlah muhrim mereka.

Abang ipar bukan abang kandung? Pendidikan sama, rupa paras lebih kurang, kerjaya lebih kurang sama tapi suasana dan didikan agama kurang sama.

Anak ibu ini, seorang lelaki telah dilatih menjaga pergaulan, aurat orang yang bukan muhrim di rumahnya, termasuk sepupu sepapat, ipar duainya. Mereka mesra tapi tidak melanggar batasan.Dia sangat menghormati anak menantu dan bisannya hanya satu perkara ini saja dia kurang puas hati.Bagaimanapun anak ini berjaya membiasakan isterinya dengan cara didikan ayah dan bondanya ketika di rumah mereka sendiri.

Seorang ahli akademik yang berjaya dalam kerjayanya terpaksa memendam rasa bertahun-tahun dan akhirnya rumahtangga yang dibina berantakan selepas puluhan tahun berkongsi hidup dengan pasangannya.

Pasangannya lebih modern (western) dari keluarga yang makan gaji sedangkan dia anak seorang ulama dari kampung yang tak punya apa-apa harta melainkan ilmu agama dan tanah tempat berteduh.

Akhirnya mereka berpisah setelah hampir 30 tahun berkongsi hidup.Hanya dia dan bekas isterinya yang tahu kenapa mereka mesti berpisah.

Opah pun tak pasti adakah kerana tak sekufu atau keduanya dari latar belakang yang berlainan atau pun pendidikan dan kerjaya yang agak berbeza antara keduanya menyebabkan terjadinya pelbagai masalah dalam perkahwinan mereka.

Kisah benar untuk ingatan diri sendiri.