Followers

Sunday, January 2, 2011

Miizan

Assalamualaikum wr wb bagi sesiapa saja yang mungkin tersesat ke pondok opah. 2010 yang penuh kenangan telah ditinggalkan dan semakin dekatlah rasanya diri opah ke hentian terakhir kata abang kedua opah. Masa yang tinggal sedikit lagi inilah yang akan dipergunakan sebaik mungkin walaupun mungkin bukan yang terbaik. InsyaAllah...

Kenangan mahal yang tak mungkin dipadam atau ditelan zaman bila Allah ambil semula apa yang dipinjamkan kepada opah dan dikurniakan sepasang cucu pada akhir 2010.
PhotobucketPhotobucketPhotobucket
Sebagai hamba yang sungguh lemah dan kerdil sangat disisinya, opah sangat bersyukur pada kurniaan dan taqdirnya yang sungguh hebat!.... Opah hanya mampu mendoakan yang terbaik dari Allah SWT untuk mereka yang telah pergi dulu menemuiNya.

Zaman untuk berazam-azam seperti sudah berlalu. Azam hanya di dalam hati dan hanya Allah yang tahu mudah-mudahan dipermudahkan semua perkara dunia dan akhirat .
Sebelum kita dihadapkan ke Mahkamah Allah nanti, mungkin hadis di bawah ini boleh membantu manusia lemah seperti opah untuk melaluinya. Itu pun jika kita beramal dengannya.

Allah berfirman dalam satu hadis Qudsi:
Riwayat Tabrani dalam AlKabiir sumber Ibnu Abbas ra.
(Maksudnya) " Pada hari kiamat kelak akan dihadapkan perbuatan baik dan perbuatan jahat seseorang llau dinilai dan diperbandingkan antara kebaikan dan kejahatan itu. Apabila berbaki satu kebajikan (perbuatan baik) orang itu akan dimasukkan ke dalam syurga."

Allah SWT memberitahu kepada kita, bahawa pada hari kiamat nanti akan dilakukan MIIZAN (penimbangan segala amal-perbuatan manusia). Amal manusia akan ditimbang dengan neraca keadilan sehigga dapat diketahui mana timbangan yang lebih berat, kemudian dinilai berapa banyak kebajikan dan berapa banyak keburukan. Lalu digugurkan keburukan sebagai kebajikan.

Di dalam Alquran dikemukakan bahaawa kebajikan itu menghilangakan atau menghapuskan kejahatan( dosa). Jika kebjikan itu bersisa, pemilik kebajikan itu diperintahkan Allah untuk dimasukkan ke dalam syurga.

Jika ternyata pahala dan dosanya bersamaan pada timbangan itu , orang itu akan dimasukkan dalam golongan Ashhabul 'Araaf (orang-orang yang ditangguhkan kemasukannya ke dalam syurga).

Di bawah ini disebutkan beberapa amalan yang memberatkan timbangan kebajikan:

HR Alhakim, At-Turmudzi
"Tidak ada satu pun amal yang lebih berat dari akhlak yang baik dalam timbangan kelak di akhirat."

"Sesungguhnya selawat terhadap Nabi SAW termasuk yang memberatkan timbangan."

HR Muslim
"(Ucapan) Alhamdulillah memenuhi Miizan"

HR Ahmad
"Kalau sekiranya tujuh petala langit dan bumi dan segala isinya serta tujuh petala diletakkan pada satu piring timbangan, sedang {Lailaha Illallah} diletakkan pada sebelah lain, nescaya kalimat tauhid itu akan melebihi berat langit dan bumi itu."

HR Bukhari
"Dua kalimat ringan pada lidah, berat pada timbangan menimbulkan cinta kepada Tuhan iaitu: Subhanallahi wa bihamdihi, subhanallahil-azhiim."

Wallahua'lam.

Monday, December 6, 2010

Salam Maal Hijrah 1432

Salam Maal Hijrah untuk semua dan akhirilah tahun ini dengan doa akhir tahun pada akhir waktu asar sebelum masuk waktu maghrib dan mulakan tahun hadapan dengan doa awal tahun lepas maghrib nanti. Semoga kita sentiasa mendapat pengampunan rahmat dan hidayat dari Allah sentiasa.

Hampir sebulan lepas opah agak sibuk dengan kehadiran sepasang cucu baru dari anak pertama dan kedua opah. Alhamdulillah dan bersyukur keduanya semakin sihat selepas kena penyakit kuning pada peringkat awal kelahiran. Pelbagai petua untuk menyembuhkan penyakit ini tapi yang pasti Opah pulangkan semuanya pada Allah kerana selepas puas berikhtiar Dialah peyembuhnya.

Bersama melakukan yang terbaik untuk mengakhiri tahun ini dan memulakan tahun baru Hijrah 1432

Monday, November 8, 2010

APA ERTI 9 ZULHIJJAH PADA KITA - HJH. JALILAH ABDULLAH


Salam 1 Zulhijjah 1431 Hijrah. Selamat berpuasa sunat .Mudah-mudahan permulaan yang baik akan mendapat ganjaran dari Allah SWT. Mudah-mudahan ibadat sunat ini akan diteruskan hingga 8 dan 9 Zulhijjah. Opah panjangkan catatan editor Majalah Anis bulan ini untuk kita berkongsi sesuatu, terutama bagi yang belum sempat membacanya.

Sebaik gelincir matahari pada tarikh 9 Zulhijjah di tanah Arab bermulalah ibadat kemuncak bagi jemaah haji yang wukuf di Arafah. Seafdal-afdal doa ialah doa di Arafah.

Nabi SAW sendiri diriwayatkan mula berdoa dari waktu gelincir matahari hinggalah terbenam matahari. Inilah waktu kemuncak baginda memanjangkan doa dalam juraian air mata. Haji terakhir baginda bersama umat yang sangat dikasihinya. Panjang doa baginda kerana kemuncak rindu cinta yang amat sangat untuk bertemu Allah. Hiba doa baginda kerana mendoakan kesejahteraan untuk umat yang bakal ditinggalkan sesudah sempurnanya wahyu al-Quran diturunkan. Itu sejarahNabi kita Muhammad SAW.

Setiap tahun bumi Arafah semakin ramai jumlah umat Muhammad berwukuf. Selepas solat jamak tamam Zuhur dan Asar berjemaah, khatib sudah mula membaca khutbah dalam pelbagai bahasa mengikut bangsa yang menjadi tetamu Allah di situ.

Rata-rata jemaah bagai anak kecil , sedu-sedan bertangisan menghitung dosa-dosa diri dan keluaarga di bawah tanggungannya. Benarlah Arafah bagai padang Mahsyar, perhimpuan yang hanya disaluti kain putih dengan satu matlamat, mohon keampunan kepada Allah, mohon jadi orang baru bagai bayi baru dilahirkan. Suci dari pada dosa.

Melewati pukul 12 tengahari waktu di Arafah bermula dari gelincir matahari ketika itu di negara kita telah masuk waktu Asar. Andai kata mata kasar kita dapat melihat sesungguhnya langit dan bumi Arafah ketika waktu Maghrib terasa sungguh sesak dan berasak-asak dengan turunnya ribuan malaikat, roh para Nabi da roh orang-orang soleh. Semuanya bersesak-sesak di bumi Arafah, sama-sama mengaminkan doa umat Muhammad yang memohon pengampunan daripada Allah SWT.

Lebih hebat lagi, Allah Azzawajalla turun ke langit dunia bukan hanya mahu mengangkat doa para jemaah haji sebaliknya mahu sama mengangkat doa hamba-hambaNya yang tiada di Arafah, yang tidak pergi haji TETAPI menghadirkan diri dalam suasana Arafah, berhimpun bersama keluarga di rumah masing-masing.

Mari kita ubah budaya yang tidak merasa apa-apa pada haari sembilan Zulhijjah kepada rasa ingin merebut cinta Allah. Bersiap-siaplah kita sekeluarga di rumah bermula pada petang Asar sembilan Zlhijjah dengan membersihkan diri dan berwuduk. Penuhkan majlis denga berdoa, berzikir dan memohon ampun dosa-dosa kita kepada Allah. Ketika itu bayangkan diri kita sekeluarga bersama para jemaah berselimut putih di Arafah sedang menangis menadah doa keampunan sebelum menjelangnya berbuka puasa pada hari kemuncak wukuf itu.

Selepas berbuka kita sekeluarga terus berdoa lagi minta kesejahteraan keluarga dan umat Islam sedunia. Sesungguhnya doa selepas seorang hamba berbuka puasa sangat makbul di sisi Allah SWT. Selepas solat magrib berjemaah mari kita terus bertakbir dan berzikir, membaca Quran dan melakukan solat taubat mohon Allah ampunkan dosa kita.

Jangan kita cuaikan masa "keramat" yang hanya beberapa jam membawa hingga ke tengah malam dengan sibuk memikirkan perkara yang berkait dengan nafsu makan sahaja. Sesungguhnya Arafah adalah lambang cinta kita kepada Allah.

Lambang cinta Allah kepada kita

Salam Aidiladha

Thursday, October 7, 2010

SOLAT YANG KHUSYUK

Salam Mengakhiri Syawal buat semua.

Alhamdulillah dapat melepasi Ramadhan Almubarak dan mengharungi Syawal yang penuh dengan gelora makanan dan makanan. Bagi sesiapa yang dapat mengharunginya di samping dapat pula menunaikan puasa 6 dengan berterusan tanpa putus, anda memang hebat sekiranya ikhlas insyaAllah akan mendapat ganjaran di SANA nanti.

Dari kecil lagi mungkin usia 7 ke 8 tahun kita telah dilatih oleh kedua orang tua kita mengerjakan solat. Masa kecil kita memang diajar pentingnya solat. Ayahanda opah selalu ingatkan tanpa pahala solat semua pahala lain tidak akan dapat menghampiri kita terutama ketika kita berada di alam kubur menunggu kebangkitan semula. Takut dan gerun hingga ke saat ini maknanya segala amalan kebaikan yang lain hanya berlegar-legar tak mampu menghampiri kita yang bersendirian dan kesepian di dalam kubur kerana tiadanya amalan solat kita. Ini kes tak solat langsung.

Sekiranya dah solat dapatkah kita capai kekusyukan tahap istimewa itu? jawabnya hanya DIA saja yang tahu. Kita hanya mampu berusaha dengan sebaik mungkin mengikut usia dan keadaan dan bagaimana dekatnya kita di sisi Allah yang Maha Berkuasa. iAda juga usia dah banyak tapi tahap solat dan bacaan kita masih tahap kanak-kanak. Maka itulah yang patut opah sendiri dan kita semua muhasabah untuk membaiki kelemahan kita sebagai insan biasa.

Beberapa petua yang opah dapat melalui kuliah dan bahan bacaan mungkin boleh kita kongsi bersama bagaimana untuk mengkhusyukkan solat anda.

1. Solat berjemaah- terbaik solat di masjid atau surau.

2. Menjaga makan dan minuman dari punca yang halal dan tidak syubhat(yang kesamaran hukumnya seperti makanan yang dikatakan ada campuran benda-benda yang haram tetapi tidak jelas) (memakan seekor semut mematikan hati 40 hari)

3. Membanyakkan sedekah kepada fakir dan miskin bagi menginsafkan dan merasakan kesusahan orang lain.

4. Jangan mengerjakan solat ketika menahan rasa untuk qadha' hajat kita supaya sama ada besar atau kecil. selesaikan dulu supaya tidak timbul kebimbangan ketika mengerjakan solat.

5. Mengambil wudhuk dengan sempurna supaya air mengena semua anggota wajib sserta mengingati niat dan doa apabila air melalui tiap-tiap anggota.

6. Berpakaian bersih dan kemas seolah-olah akan berjumpa dengan seorang yang sangat mulia dan hebat.

7 Solatlah di awal waktu melainkan jika ada majlis ilmu atau majlis zikir, maka solat isyak sunat dilambatkan sehingga selesai majlis itu.

8. Pastikan tempat sujud kita tidak ada gambar yang boleh mengganggu tumpuan anda terhadap solat.(Sekiranya peru alaslah dengan kain putih)

9. Mengingatkan mati dan kemungkinan itu aadalah solat terakhir sekali dalam hidup kita.

10. Menyedari dan merasai ia sedang berhadapan dengan yang maha agong dan maha mengetahui segala rahsia hambaNya.

11 Memenuhkan dada dengan perasaan takut dan rendah diri terhadap Allah yang melihat segala gerak geri kita.

12. Memahami segala bacaan dalam solat termasuk ayat-ayat Quran dan segala zikir.

13. Sebelum angkat takbir bacalah surah Annas, selawat kepada Nabi dan Istigfar untuk elakkan gangguan syaitan.

14. Memandang ke tempat kita sujud dan tidak terlalu menggerakkan anggota dan berpaling semasa dalam solat.

15. Memusatkan seluruh ingatan kepada solat.

16. Memanjangkan masa semasa rukuk dan sujud.

17. Memastikan tiada gangguan di dalam kawasan kita solat.

18 Jangan memandang ke kiri dan ke kanan, pandanglah ke tempat sujud saja.awah

19 Jadikan solat itu seolah-olah kita berada di atas titian Siratulmustaqim dan di sebelah kanan ada Syurga di kiri pula neraka dan di bawah titian adalah api yang bernyala dan menunggu mangsa yang lalai. Sekiranya kita lalai dan leka dalam solat kemungkinan akan jatuh ke bawah atau tergelelincir ke kiri.

Mudah-mudahan dengan himpunan panduan ini akan membimbing diri kita lebih khusyuk dan tawadhuk ketika bersolat. Mudah-mudahan juga semua amalan kita diterima Allah SWT.

Saturday, October 2, 2010

KENDURI DAH RUMAH TERBUKA

Alhamdulillah selamat sampai ke rumah pada6.30 petang 26 hb. setelah 3 hari dua malam beraya dan menghadiri kenduri walimatulurus cucunda Juwairiyah Hj. Ahmad Fuad.

Bermula petang Jumaat opah memulakan perjalanan bersama kakak opah, Hasanah, anak saudara Nurul Huda dan anakanda Ilham.

Sempat solat maghrib di Bandar Tasik Puteri rumah anakanda Dayang Raudhah dan seterusnya meneruskan perjalanan ke Villa Perdana Seri Kembangan. Anakanda Azami dan Haslinda mengadakan rumah terbuka, dengan juadah kambing panggang, sate, cendol dan soto...kuih raya sabar je lah.

Bermalam di Shah Alam rumah Anakanda Hj.Ahmad Fuad. Walimatulurus pada 26 hb. 25 hb. opah di jemput rakan opah sekolah rendahTn. Hj. Najib Hamidon bersama isteri beraya ke rumahnya di kampung Kuantan dan rumah seorang lagi rakan Hjh. Rosmah Md. Noor di Taman Gembira Telok Gadong, Kelang. Dari Kelang opah dan anakanda bertolak ke Wangsa Maju, memenuhi jemputan rumah terbuka dan malam ziarah ke Taman Melati rumah anakanda Jue Hussin. Esok pagi bertolak semula ke Shah Alam untuk upacara akad nikah dan kenduri cucunda Juwairiyah dan pasangan.Kenduri yang sangat tenang dan selesa dengan suasana yang tiada sebarang kebisingan, pelamin yang menyesakkan sungguh sederhana dan rasa selamat dari perkara-perkara lagha.....alhamdulillah.Tahniah kepada anakanda Hj. Ahmad Fuad dan Hjh. Fauziah kerana telah selamat melaksanakan walimah bagi puteri sulung mereka Juwairiyah Alhafizah dan Maulana Zul Kamal Alhafiz.Alhamdulillah juga dapat rasa original sambal goreng tempeh Jawa dah lama tak makan. Selepas makan tengahari terus pulang dan singgah di Ipoh Taman Rapat Permai untuk ziarahi cucunda Mohd. Aliff Daniell. Badan rasa macam nak demam. Memang sebenarnya terus demam dan harap dan doa mudah-mudahan orang yang sakit Allah sayang. Rehat dan rehat.. setelah 3 hari 2 malam memenuhi jemputan anak buah dan rakan yang lama tidak ditemui.. Alhamdulillah.