Followers

Showing posts with label Nasihat. Show all posts
Showing posts with label Nasihat. Show all posts

Thursday, April 11, 2013

Petua Memusnahkan Sel Kanser

Assalamualaikum wr wb. mudah-mudahan kita semua dalam rahmat Allah SWT.  Alhamdulillah dalam masa beberapa minggu lepas opah sempat menziarahi saudara, rakan dan bekas guru opah.  Menghubungkan silaturrahim yang terputus puluhan tahun, menziarahi mereka yang Allah uji dengan kesakitan.  Menginsafkan diri opah  terasa sangat kecil, dengan kebesaran dan kekuasaan Ilahi. 

Beberapa orang sahabat dan saudara telah pulang ke rahmatullah dulu akibat serangan kanser dalam masa beberapa bulan sahaja disahkan mengidap kanser.  


Seorang anak buah yang memanjangkan Petua Untuk Memusnahkan Sel-sel kanser di status fb, opah panjangkan diblog ini untuk dimanafaatkan  sekiranya ada yang ingin mencuba rawatan berdasarkan Ayat-ayat Alquran. Mudah-mudahan ada manafaatnya walaupun kita semua maklum kematian itu adalah janji Allah tidak akan tercepat atau terlewat walau pun sesaat.  Sebagai hambanya kita mesti berusaha selagi boleh selagi tidak bertentangan dengan hukum Allah.



Doa untuk musnahkan sel-sel kanser.



1.  Beristigfar    10 kali

2.  Selawat ke atas Nabi   10 kali
3.  Alfatihah         1 kali


Sediakan sebotol air zam zam atau air biasa, buka dibaca dan ditiup kepada air tersebut.




Surah-surah yang dibaca,



1.  Surah AlMaidah    Ayat 82 hingga  91



2.  Surah Al A'raf      Ayat 70 hingga 81



3   Surah Ar Ra'd      Ayat 16 hingga 28



4   Surah Al Anbiya'  Ayat 38 hingga 50



5   Surah Assyura     Ayat 185 hingga 227



6   Surah Azzumar    Ayat 42 hingga 52



7   Surah Al Ghafir    Ayat 67 hinggga 77



8   Surah Al Zukhruf Ayat 62 hingga  70



Selepas bacaan setiap surah di atas dihembuskan kepada permukaan air sebelum diberi pesakit itu minum.



Boleh dilakukan sendiri oleh pesakit jika dia mampu atau ahli keluarga terdekat atau sahabat handai. Boleh diminum atau disapu pada bahagian yang sakit.



Sejenis tumbuhan "belalai gajah" dikatakan mujarab sebagai penawar kanser.  Direbus daunnya dan air rebusan tersebut digunakan untuk bacaan surah di atas sebagai doa.



Mudah-mudahan dapat dimanafaatkan dengan penuh keyakinan, yang menyembuhkan adalah Allah SWT sebagai hamba kita berusaha dan yakin akan kekuasaannya.





Wednesday, January 23, 2013

Roh di Telaga Zam-Zam atau Telaga Be'rut.

Assalamualaikum wr.. wb............

Opah bersyukur kerana Allah beri peluang lagi untuk waktu ini.  Pertambahan usia mengingatkan kita kepada akhir hayat yang semakin dekat dan tidak pula diberi tarikh tamat tempohnya.

Apabila musibah datang dalam pelbagai bentuk itulah rasanya tanda-tanda tempoh kita mungkin akan tamat bila-bila masa.  Musibah juga rasanya seperti amaran dan ingatan dari Allah SWT.  Musibah juga tanda Allah masih sayangkan hambanya kerana kita sedia maklum Allah Maha Pengasih dan Penyayang.Apabila kita ditimpa musibah kemungkinan sakit, kehilangan harta benda atau apa saja muhasabah dirilah yang terbaik.

Apabila tarikh tamat tempoh kita sudah datang sementara menunggu kiamat apakah yang terjadi pada roh-roh tersebut.Opah ada juga mendengar dan membaca  mengenai apa yang terjadi pada roh-roh orang mukmin dan roh orang-orang fujjar. Ada manusia yang Allah pilih boleh mendapat gambaran apa yang terjadi pada roh-roh ini.  Kemanakah mereka pergi selepas jasad mereka dikebumikan?  Orang-orang inilah yang telah memanjangkan pengalaman ini supaya menjadi iktibar kepada insan lain.

Seorang hamba Allah telah mendapat mimpi mengenai seorang yang sangat warak dan ahli ibadat di mana rohnya tidak berada bersama roh-roh orang mukmin lain. Dimaklumkan melalui Kitab lama Kasyful Gummah
bahawa roh-roh mukmin ini berada di Telaga Zam-zam, sekiranya seseorang diberi peluang dengan mengamalkan beberapa syarat boleh cuba melalungkan nama si Pulan bin Si Pulan ketika tengah malam untuk mendengar samaada dia akan menjawab laungan tersebut.  Itu pun sekiranya roh nya berada di situ.

Seorang hamba Allah telah berbuat demikian tapi sia-sia tiada jawapan apapa. Akhirnya dia bertanya semula kapada orang Alim yang menyuruh dia berbuat demikian apa yang terjadi kepada roh abid itu. Orang Alim tersebut menyuruhnya ke Hadhramaut iaitu ke Telaga Be'rut dan laungkan namanya pada waktu sama sepaerti di Telaga Zam-zam juga. Laungannya ke  Telaga Be'rut yang kepanasan itu telah mendapat jawapan dari roh hamba Allah yang warak itu.  Dia pun bertanya, "Kenapakah roh kamu ditempatkan di sini? sedangkan akau tahu kamu adalah abid yang sangat warak dan alim, sentiasa berulang alik dari rumah dan masjid?"  Roh tersebut menyatakan, " Ada satu perkara yang telah aku lalaikan waktu hidupkku yang orang lain mungkin tidak tahu iaitu membiarkan seorang adik perempuanku hidup dalam kesusahan.semasa hayatku."

Hamba Allah ini segera meninggalkan Telaga Be'rut yang kepanasan itu dan pulang ke Mekah mencari saudara kepada sahabatnya yang warak itu dan memaklumkan kepada adik perempuannya perkara tersebut. Adiknya telah mengampunkannya. Tidak lama kemudian melalui mimpi orang alim tersebut ternyata rohnya sudah dihimpun bersama-sama orang mukmin di Telaga Zam zam


Ternyatalah menghubungkan silaturrahim satu tanggungjawab yang sangat Allah beratkan dan boleh menghalang roh mukmin itu dari  tempat yang baik baginya.  Orang ini cuma tidak peduli pada adiknya belum lagi dia menganiaya seperti yang kita selalu baca dan dengar setiap hari.Fikir, fikir dan fikir Walllahua'lam.

Thursday, November 15, 2012

Zon selesa yang belum pasti

Assalamualaikum wr..wb.. selamat melangkah ke tahun 1434 Hijrah.

Tersentuh hati opah bila bersolat bersama rakan jemaah yang sudah 3 bulan tak mampu ke surau untuk berjemaah tiba-tiba pagi ini dengan bertongkat datang dengan penuh semangat mencari kelebihan dalam solat... alhamdulilah.

Solat berjemaah dengan pahala yang lebih berbanding dengan solat seorang diri. Kelebihan 27 berbanding 1 saja tentulah satu tawaran yang menarik. Jika digantikan rm27 denaan rm1 mungkin nampak.  Ganjaran dan kelebihan yang tidak nampak di mata kasar.  Tiap orang mempunyai impian pelbagai untuk berada di zon selesa di dunia dan akhirat. Itulah sebabnya kita sentiasa berdoa untuk kebaikan di dunia dan akhirat setiap lepas solat.

Dalam mencari zon selesa di dunia dan akhirat inilah melibatkan hubungan baik kita dengan pencipta dan makhluk Allah yang lain khususnya manusia.  Kadang-kadang sebagai  insan kita sangat menjaga hubungan Allah tapi kurang peduli dengan hubungan sesama insan atau haiwan... atau sebaliknya...Dua perkara yang sangat berbeza tapi amat penting dalam hidup ini selagi kita masih mampu bernafas.

Seorang pelacur telah mendapat ganjaran kebaikan dari Allah kerana kasih sayangnya kepada seekor anjing dengan memberikan air di padang pasir. Sebaliknya pula seorang ahli ibadat wanita yang sentiasa bertahajjuj sepanjang malam pula kehilangan pahalanya kerana mengurung seekor kucing tanpa makanan. 

Perancangan Allah kita tidak pernah tahu melainkan harap dan takut padaNya sentiasa. Dimaklumkan juga di akhirat nanti Mahkamah Allah bukan setakat sesama insan saja tetapi antara haiwan sesama haiwan dan manusia dengan haiwan juga ada perbicaraannya.Astagfirullah ...astagfirullah....astagfirullahalazim.

Nampaknya perbicaraan  kita dengan haiwan pun kita kena hadapi apatah  lagi perbicaraan dengan Allah, yang lebih perit lagi dengan insan lain.....mudah-mudahan Allah lembutkan hati insan lain dan boleh memaafkan kita (boleh ke?selepas kita umpat, kutuk dan aniaya dia di dunia) diakhirat nanti.

Kesalahan dan dosa pada Allah boleh bertaubat dan memohon maaf padaNya.  Terumpat (Boleh "ter") rakan boleh bagitahu dia dan mohon maaf padanya(itu pun kalau dia maaf).  Berbanding dengan haiwan kecil yang kita telah bunuh sewenang-wenangnya. 

Mudah-mudahanan Allah merahmati kita, insan lain juga akan maafkan kita tapi semut, lipas, tikus, nyamuk dan lain-lain haiwan hanya Allah saja yang tahu. Nampak macam kita di zon selesa di dunia ini dengan haiwan ini bila mereka semua dah mati tapi bila kita mati....






Thursday, March 22, 2012

Jangan Marah


Assalamualaikum wr...wb...

Hampir berbulan lamanya tidak menuliskan sesuatu untuk mengingati diri sendiri dan mungkin juga untuk sesiapa yang tersinggah secara tidak sengaja.

Satu masa dulu opah pernah ditanya oleh seorang Tuan Guru yang opah ikuti ketika dia mengajar mengenai berapa hadis yang telah opah hafal. Katanya lagi "Ada hafal 40 hadis? Memang secara jujur jawapannya memang tidaklah. Ketika itu opah hanya menjawab adalah beberapa hadis yang diajar oleh Pak Ustaz ketika nak mengambil peperiksaan SPM dan SRP. Tuan Guru yang ketika itu belum bergelar "Abuya" lagi hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Boleh bayangkan rasa hati ketika itu.

Hingga kini masih membaca dan cuba memahami hadis 40 Imam Nawawi sekadar yang termampu. Terbaru opah dihadiahkan Hadis 40 yang ditulis oleh Ustaz Zahazan Mohamed dan Haji Muhamad Zakaria. Opah ingin kongsikan Hadis 16 ini kerana perkara ini memang sangat berkait dengan kita setiap hari di mana saja dalam apa keadaan sekalipun. Hadis 16 tajuknya "Jangan Marah" atau dalam bahasa Arabnya "La Tagdhab". Opah panjangkan supaya dapat diulangi dan mengambil pengajaran darinya.


HADIS 16 JANGAN MARAH

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berilah wasiat kepadaku. Nabi bersabda: "La Tagdhab"maksudnya: "Jangan Marah" Beliau mengulanginya beberapa kali dan bersabda, "Jangan Marah".
(Riwayat Ahmad no. 8729, alBukhari no. 5765 dan al Tirmizi no 2020)

Huraian dan Inti Sari.

Pengarang kitab alIfshah berkata: "Mungkin tindakan Nabi menasihati lelaki itu disebabkan Baginda mengetahui sikapnya sering marah, sehingga nasihat ini ditujukan khusus kepadanya. Nabi SAW memuji orang yang dapat mengendalikan hawa nafsunya ketika marah.

Sabda baginda yang bermaksud.

"Bukanlah dikatakan orang kuat kerana dapat menumbangkan lawannya tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya di waktu marah."

ALLAH JUGA MEMUJI ORANG YANG DAPAT MENGENDALIKAN NAFSUNYA KETIKA MARAH DAN SUKA MEMBERI MAAF KEPADA ORANG LAIN.

Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud,

"Sesiapa yang menahan marahnya padahal dia boleh melepaskanya , kelak Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan segala makhluk sehingga dia diberi hak untuk memilih bidadari yang disukainya.

Pengajaran

* Dianjurkan bagi setiap Muslim memberikan nasihat yang baik.

* Kita hendaklah mengenal perbuatan-perbuatan yang bersifat kebajikan.

* Kita hendaklah sentiasa menambah wawasan ilmu yang bermanafaat.

* Kita dianjurkan mengulangi percakapan hingga pendengar menyedari betapa penting kedudukannya.

* Islam menggalakkan umatnya meninggalkan sifat pemarah.

* Selalulah mendapatkan nasihat, mengetahui aspek-aspek kebenaran dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan dengan ilmu yang bermanafaat.

* Sedikit bercakap dan banyak bekerja.

* Orang yang marah bertanggungjawab atas akibat perbuatan marahnya.

*Marah yang terpuji ialah marah kerana mencari keredaan Allah SWT, membela agama Allah, membela kehormatan seseorang Muslim yang dihina atau direndah-rendahkan.

Cara Mencegah Kemarahan

* Jauhi akhlak yang tercela seperti sombong, tinggi diri, bangga diri, menghina orang lain, banyak bercanda, suka perdebatan dan sebagainya.

* Didik diri dengan akhlak mulia seperti sabar, lemah lembut, tidak tergesa-gesa dalam segala hal dan sebagainya.

* Berlatih memaafkan orang yang membuat salah.

* Bersikap tawaduk.

* Mengucapkan ta'awwuz. Auzubillahhi minassyaithanirrajim.

* Mengubah posisi daripada berdiri kepada duduk atau daripada duduk kepada berbaring.

* Berhenti berbicara.

* Berwuduk.

Alhamdulillah dan syukur kiranya kita dapat mengawal kemarahan dalam apa keadaan di mana juga. Apa yang pasti opah tak mau lupa bahawa, bila kita suka marah syaitan sangat suka......





Wednesday, August 10, 2011

BERGURU SEMULA...


Membaca Alquran sepanjang hidup kita sangatlah dituntut apatah lagi di bulan puasa yang mulia ini. Orang yang Sentiasa mengamalkannya semasa hayat akan ditemani segala kebaikan ketika berada di dalam kubur untuk menantikan hari kiamat nanti.

Kebaikan lain merupakan pahala apabila kita telah dibangkitkan semula tentulah lagi banyak Allah anugerahlan kepada pembacanya. Bayangkan 1 huruf untuk 10 pahala....kalau dah tamat sebuah quran berjuta-juta pahala yang akan kita perolehi itu pun kalau kita ikhlas membaca kerana untuk mendapat rahmat Allah semata-mata.

Membaca quran dulu dan sekarang sama saja cuma hari ini bermacam cara anak-anak diajar mengaji dengan pelbagai kaedah, iqra' menggunakan cd dengan menonton program di tv pun memang boleh membantu orang yang kurang pandai tajwid.

Al quran rasm Uthmani nampak lebih mudah dibaca bagi orang yang kurang mahir tajwid seperti opah. Ada catatan tanda bacaan dalam bahasa Arab dan ada juga dalam bahasa Melayu.

Orang dulu mengajar menggunakan istilah yang mudah dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab
Opah belajar dalam bahasa Melayu baris atas bawah dan depan, dua di atas, bawah dan depan.

Ada setengah guru pula menggunakan istilah fathah, kasrah dan dommah. Sabdu disebut Syaddah dalam bahasa Arab.Dalam bahasa Melayu jika huruf alif dibariskan atas bunyinya 'a' jika baris bawah bunyinya 'i' dan baris depan bunyinya 'u' Rasanya kita tak lupa lagi 'a' 'i' 'u' bagi harus alif yang dibariskan dengan ataas bawah dan depan.

Walaupun pada peringkat awal menyebut baris itu pun sudah cukup panjang tapi apabila kita telah mengenal tanda-tanda dan bunyinya tersebut jadi mudah. Sesiapa yang sezaman dengan opah tentu masih ingat cara membaca baris-baris ini mesti sebut dulu bukan terus dibunyikan seperti buku Iqra.

Bagi Rasm Uthmani cukup mudah bila kita telah faham tanda dan dibunyikan bagi hukum tajwidnya. Bagaimana mudah sekalipun kita patutlah tahu

1. Hukum Izhar dan huruf-hurufnya yang enam itu alif berhamzah, ghain, ha (kecil), kha,ain dan ha (besar)
Bacaannya terang dah jelas jika nun mati atau tanuin bertemu dengan huruf ini bacaannya jelas tiada dengung dalam resam osmani huruf nun mati itu dibaris matikan.

2. Hukum Ikhfa' dan hurufnya yang 15 itu.
sin,ta,jim, zal. sod,dal,kaf, fa, tha,qaf,tho,dhod,dzo, syin dan zai.
Bacaannya disembunyikan bunyi nun mati dan dengung. Resam osmani tidak ditanda baris mati seperti huruf izhar.

3. Hukum Iqlab dan hurufnya hanya satu iaitu 'ba'. Iqlab maknanya membalikkan pada bahasa dan pada istilahnya menukarkan bunyi huruf berbaris kepada bunyi mim dengan mengekalkan dengungnya.

4. Bilangan harkat bacaan juga dicatit dan diwarnakan dengan warna tertentu untuk kemudahan pembaca samaada dibacakan 2 harkat bila ada huruf mad dibelakangnya atau ditandakan dengan alif kecil di atas huruf tersebut. Jika garis panjang melintang diatas panjangnya bacaannya juga mungkin 4,5 atau 6 harkat. Gunakan jari untuk menentukan bilangan harkatnya. Lama-lama kita akan mahir apabila selalu diulang-ulang.

Baris dua di atas atau di bawah secara sama dibariskan ' = ' dibaca dalah terang dan jelas.
Baris dua di atas atau di bawah secara tak sama ' _--' adalah didengungkan.
Baris dua di depan seperti '69' tidak didengungkan kalau '99' adalah didengungkan

Inilah sedikit ulangkaji opah sendiri untuk ingatan ketika bertaddarus. Paling penting untuk ingatan sendiri, membaca tanpa ilmu yang cukup dan sanggup ditegur apabila membuat silap lebih baik dari tidak pernah langsung membaca sama ada anda mahir atau tidak. Berguru dan belajar semula adalah yang terbaik kalau kita telah lupa......

Mudah-mudahan kita dapat membaca dengan fasih, memanjang dan memendekkan sebutan pada tempat yang betul. Begitu juga dengan dengung dan tidak dengung pada tempat yang betul. Berhenti bacaan pada tempat yang ditetapkan dan maknanya tidak terjejas.


Sunday, June 20, 2010

MUFLIS DI AKHIRAT


Ustaz Syed Nurhisham - Solusi No 20-Hadis

"Adakah kamu semua mengetahui siapakah orang yang muflis?" Sebagaimana biasa , salah satu teknik didikan Rasulullah saw adalah dengan cara komunikasi dua hala iaitu dengan mengemukakan persoalan, diikuti penjelasan Baginda kepada persoalan tersebut.

Para sahabat menjawab, "Muflis dalam kalangan kami ialah orang yang tidak berduit dan tidak memiliki sebarang harta (aset)" Jawapan tersebut adalah berdasarkan kefahaman umum masyarakat ketika itu dengan kalimah muflis. Bahkan pada zaman sekarang, apabila disebut kalimah muflis, maka terlintas di dalam fikiran kita ialah seseorang yang tiada duit dan harta serta memiliki liabiliti yang tidak mampu dibayar

Lantas Rasululllah saw menerangkan apakah pengertian muflis yang dimaksudkan. Baginda bersabda yang bermaksud"Orang yang muflis dalam kalangan umatkuialah seseorang yang dibangkitkan di akhirat kelak bersama-sama dengan pahala solat, puasa dan zakat yang pernah dilakukan semasa di dunia. Namun pada masa yang sama, dia juga membawa dosa memaki hamun,memfitnah, memakan harta orang, menumpahkan darah dan memukul orang. Waktu perbicaraan, diambil pahalanya (simuflis) dan dibayar kepada mangsa-mangsa tersebut. sekiranya telah habis pahalanya, diambil pula dosa-dosa mangsanya, lalu dibebankan kepada si muflis. Lalu dihumbankan ke dalam neraka."(Riwayat Abu Hurairah, no 2581)

Penjelasan ini cukkup menggerunkan hati-hati orang yang tersemai iman di dasarnya, mereka bimbang terjerumus ke kancah muflis.

3 Modal , 5 liabiliti

Modal yang dibawa ke akhirat kelak tidaklah terhad kepada 3 jens pahala yang disebut di dalam hadis ini sahaja. Bahkan menurut Ibn 'Allahn al-Syafi'i dalam kitabnya, Dalil al Falihin, juga termasuk pahala amalan soleh yang lain. Ini bermakna segala kira bicara di akhirat kelak berdasarkan "mata wang dosa pahala".

Ketika itu nilai ringgit sudah tidak lakku, begitu juga riyal, dolar dan sebagainya. manusia yang besar modal pahalanya, dia akan bergembira dan bersenang lenang. Manakala yang kekurangan modal, pasti tercari-cari tempat bergantung yang sudah pasti tiada lagi. bertambah malang lagi apabila modal yang sedikit terpaksa dibayar kepada manusia lain yang pernah menjadi mangsanya di dunia dahulu.

Apakah yang terjadi apabila tiba-tiba dia kehabisan modal, sedangkan hutang yang dituntut masih bleum selesai?Maka ketika itu dipaksa pula oleh malaikat untuk memikul dosa mangsa. Sahlah dia telah muflis.

Dosa kepada Manusia.

Apabila ditilik kembali kelima-lima dosa yang menjadi liabiliti di akhirat kelak semua berkait rapat dengan hubungan sesama manusia. Memaki hamun orang lain seperti pekerja, orang miskinorang lemah,apatah lagi isteri atau ibu bapa sendiri, hanya mampu memberikan kepuasan sementara kepada seseorang tetapi bahananya menanti di akhirat kelak. Begitu juga pemfitnah, dia begitu seronok melihat mangsa fitnahnya dibenci masyarakaat atau dikenakan tindakan tertentu di dunia, tetapi dia pasti menyesal apabila diminta membayar pahalanya kepada mangsa fitnah tersebut.Menyesal ketika itu tiada manafaatnya. Bak kata pepatah "Menyesal dulu pendapatan menyesal kemudian tidak tiada gunanya"

Ada juga yang memakan harta orang lain dengan cara yang tidak diredhai agama seperti menipu, pecah amanah, mencuri merampas dan sebagainya. Mereeka begitu licik di dunia ini tetapi kemanakah tempat untuk bersembungi apabila berhadapan dengan malaikat di akhirat kelak.

Ada yang berhutang dengan niat untuk tidak membayarnya, pencri mencuri harta majikan, majikan yang menyempurnakn gaji pekerja, peniaga yang menipu dalam urus niaga dan sebagainhya.Manusia yang seperti inilah yamg sangat layak mendapat title muflis di akhirat kelak. Begitu juga para samseng yang memukul dan melukakan orang lain bersedialah berhadapan dengan mangsa-mangsa anda di mahkamah Allah nanti kekuatan dan ruang di dunia ini hanya sementara, tetai ingatlah bahawa doa manusia yang dizalimi tiada hijab di hadapan Allah. Doa mereka mudah dikabulkan.

Bagaimana mengelak dari menjadi Muflis

Ada dua pilihan sahaja mengelakkan diri daripada diisytiharkan muflis diakhirat. Sama ada tidak melakukan melakukan dosa terhadap manusi lain atausekiranya telah melakukannya, mestilah memohon maaf dan redha daripada mangsa ketika di dunia lagi. Biarlah bersusah payah dan menahan malu ketika di dunia kerana ini lebih baik daripada diisytiharkan muflis di akhirat.

Sedarlah seseorang yang diisytiharkan bankrap di dunia, mereka masih ada kawan-kawan atau sanak saudara yang boleh memberi modal untuk memulakan perniagaan kecil-kecilan, tetapi apabila Allah yang telah mengisytiharkan muflis di akhirat, ke manakah lagi hala tuju kita, melainkan ke neraka...sebagaimana yang diungkap oleh Rasulullah saw.
"Ingatlah dosa memaki hamun hanya terhapus dengan cara memohon maaf daripada orang yang dimakinya. Begitu juga dengan memukul dan melukakan orang, Islam memberikan hak qisas (balas balik) kepada yang menjadi mangsa. Perbuatan fitnah pula disyaratkan memohon maaf dan mengistiharkan kepalsuan fitnah tersebut.'

Dosa kelima iaitu memakan harta orang, dia mestilah memulangkan balik nilai harta tersebut aatau mendapatkan redha mangsa.Mampukan kita lakukan semua itu? Jika tidak, jangan melakukan dosa!..

Tuesday, May 25, 2010

BUKAN SYURGA DUNIA


Salam buat semua,

Opah pernah menulis tentang neraka memang menggerunkan dan menginsafkan. Mengingati Syurga yang dijanjikan Allah untuk kita sekiranya kita layak menjejakkan kaki ke sana adalah impian semua orang.

Impian dan bayangan manusia biasa macam kita syurga itu adalah keindahan yang tak dapat nak digambarkan dengan keindahan syurga dunia sekarang jauh beza memang tak boleh nak bayangkan sebab kita ni belum ada peluang untuk menikmati keindahan Syurga Allah hanya dok berangan di atas dunia ni saja.

Syurga dalam bahasa Arabnya AlJannah maksudnya kebun dalam makna yang lain tersembunyi atau suatu tempat di alam akhirat yang bermacam-macam kenikmatan ada di sana yang tidak pernah tergambar oleh mata kita dan terdengar oleh telinga kita. Bagi orang yang bernama Jannah mudah-mudahan akhirnya anda akan masuk Jannah Allah juga.

Dalam hadis qudsi, Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebagai berikut:

"Allah berfirman: Aku telah maenyediakan bagi hambaKu yang soleh-soleh, sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga dan belum pernah terlintas di hati manusia"

Syurga juga mempunyai nama mengikut tingkatan dan keistimewaannya,
Tingkatan Syurga,

1. Syurga Darul Jalal tercipta dari mutiara putih.
2. Syurga Darus Salam, tercipta dari Yaqut merah
3. Syurga Jannatul Ma'wa tercipta dari Jabarjud hijau
4. Syurga Jannatul Khuld tercipta dari Marjan kuning
5. Syurga Jannatun Naim tercipta dari perak putih.
6. Syurga Darul Qaraar tercipta dari emas merah.
7. Syurga Jannatul Firdaus tercipta dari beberapa lapisan perak, emas, yaqud, zabarnud dan berlantai kasturi
8. Syurga Adn tercipta dari mutiara putih berpintu dua emas, lebar pintu antara keduanya sejauh luas langit dan bumi. Bangunannya terdiri dari lapisan emas dan perak. Tanahnya atau dari ambar dan lantainya dari kasturi. Airnya lebih sejuk dari ais lebih manis dari madu. Di dalamnya terdapat sungai 'AlKautsar' ialah Sungai Nabi Muhammad SAW.

Dari apa yang pernah kita dengar dan baca Syurga itu terdapat kebun yang mengandungi pelbagai buah yang boleh dipetik dengan tangan saja jika terdetik rasa ingin menikmatinya. Rasanya tentulah tak sama buah yang kita beli di pasar malam yang belum tentu isinya. Buah-buah itu juga tidak ada musim sentiasa berbuah.

Pintu dan bangunannya juga indah belaka. Pelbagai pintu khasdisediakan Pintu yang pertama tentulah untuk para Nabi, Rasul dan para syuhada dan pintu-pintu orang yang pemurah (Tidak kedekut sama dengan para Nabi tuu..tengok pulak siapa yang pemurah tu, kafir pun ada yang pemurah)

Pintu kedua adalah untuk orang yang menjaga solat dengan wuduk yang baik dan menjaga rukun-rukun solah.

Pintu ketiga adalah pintu orang-orang yang mengerjakan zakat dengan hati yang suci.

Pintu keempat ialah pintu orang-orang yang beramal amar maaruf dan nahi mungkar

Pintu kelima untuk orang yang memerangi hawa nafsu.

Pintu keenam ialah bagi orang yang menunaikan haji dan umrah

Pintu ketujuh adalah untuk orang yang berjihat.

Pintu kelapan ialah untuk orang yang bertakwa, orang yang menjaga penglihataannya dari perkara yang dilarang. Pintu orang yang berbuat kebajikan seperti berbakti kepada ibu bapa dan memanjangkan silaturrahim serta lain-lain kebajikan.

Apa saja yang digambarkan melalui Al quran dan Al hadis adalah gambaran yang memang tidak ada kesamaan syurga duniawi. Dari keindahan bidadari, bantal piring cawan dan gelas bejana makanan dan sungai-sungai madu dan susunya.

Rasanya kalau nak kita gambarkan lagi suasananya maka rindulah kita pada nikmat dan anugerah Allah ini..... kerana untuk ke sana maka redhalah melalui saat-saat sakaratulmaut terlebih dulu...... mudah-mudahan kita semua akan melaluinya dengan mudah dan layak pula untuk memasuki Syurga Allah yang indah itu.

Amin....

Wednesday, December 23, 2009

LUASNYA NERAKA....!!!

Salam buat semua, opah inginkan kongsikan bersama apa yang opah dapat dari sebuah dairi hadiah seorang teman, kalau ianya anda telah tahu jadikanlah sesuatu peringatan baru bagi diri sendiri termasuk buat opah sendiri, mudah-mudahan kita akan dapat kebaikan darinya.

Yazid Ar Raqasyi dari Anas bin Malik r.a berkata, "Jibrail datang kepada Nabi SAW pada waktu yang ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya?"

Maka ditanya oleh Nabi SAW "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan nyalaan api neraka, maka tidak layak bagi bagi orang yang mengetahui bahawa Neraka Jahanam itu benar dan seksaan kubur itu benar, dan seksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya."

Lalu Nabi SAW bersabda : "Ya Jibrail jelaskan kepadaku sifat Jahanam"

Jawabnya, "Ya ketika Allah menjadikan Jahanan, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakaar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panasnya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Alquran itu diletakkan di atas bukit nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yang ke tujuh.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang dihujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang dihujung timur kerana sangat panasnya. Jahanam itu sangat panas dan dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan-potongan api.

Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari lelaki dan perempuan."

Nabi SAW bertanya "Apakah pintu-pintunya seperti pintu-pintu rumah kami?"

Jawabnya, "Tidak. Tetapi ianya selalu terbuka setengahnya di bawah dari lain-lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanannya 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda" (lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah SAW "Siapakah penduduknya setiap pintu itu?"

Jawab Jibrail a.s "Pintu yang terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s serta keluarga Firaun sedang namanya AlHawiyah.

Pintu Kedua, tempat orang musyrikin bernama Jahim.

Pintu Ketiga, tempat orang shobi'in bernama saqar.

Pintu Keempat, tempat iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha.

Pintu Kelima, orang Yahudi bernama Hutomah.

Pintu Keenam, tempat orang Nasara bernama Saeir"

Kemudian Jibrail diam... segan pada Rasulullah SAW sehingga ditanya , "Mengapa tidak engkau terangkan penduduk pintu ketujuh?

Jawabya, Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dan umatmu yang sampai mati belum sempat taubat"

Maka Nabi jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail a.s meletakkan kepala Nabi SAW dipangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah ssedar Nabi SAW bersabda, "Ya Jibrail sungguh besar kerisauanku dan kesedihanku, apakah ada seorang dari umatku yang akan masuk ke dalam neraka?"

Jawabnya, "Ya iaitu dengan yang berdosa besar dari umatmu"

Kemudian Nabi SAW pun menangis, Jibrail juga menangis, Nabi masuk ke dalam rumahnya tidak keluar kecuali untuk solat kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila solat baginda selalu menangis dan memohon kepada Allah SWT.

Dari Hadis Qudsi ; Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tidak dapat bertahan dengan panas terik matahari Ku. Tahukah kamu bahawa neraka Jahanamku itu;
  • Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat.
  • Setiap tingkat mempunyai 70.000 daerah.
  • Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung.
  • Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
  • Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik.
  • Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak.
  • Setiap kotak mempunyai70,000 batang pokok zarqum.
  • Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
  • Di dalam mulut setiap ular yang panjangnya 70 hasta mengandungi lautan beracun yang hitam pekat.
  • Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai.
  • Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat.
Firman Allah SWT yang bermaksud "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan -keterangan dan hidayah, sesudah Kami menerangkan kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekelian makhluk." (Surah AlBaqarah ayat 159)

Berikut adalah nama-nama Syurga dan Neraka untuk pengetahuan kita bersama.

Nama Syurga,
  • Syurga Firdaus
  • Syurga Adn
  • Syurga Naim
  • SyurgaMa'wa
  • Syurga Darussalam
  • Syurga Muaqaamah
  • Syurga Al Muqqamul Amin
  • Syurga Khuldi
Nama Neraka,
  • Neraka Jahanam
  • Neraka Jahim
  • Neraka Hawiyah
  • Neraka Wail
  • Neraka Sa'ir
  • Neraka Ladhaa
  • Neraka Saqar
  • Neraka Huthomah

Wednesday, September 30, 2009

SOALAN-SOALAN CEPU MAS DI HARI RAYA!

Salam Raya masih segar lagi meskipun Raya Pertama dah lepas jauh, Raya ke Enam juga sudah berlalu. Bahang raya masih ada dengan rumah terbukanya di sana sini.

Selepas kesibukan raya, adalah masa sikit buat opah menziarah dan bertandang da beraya ke alam maya. Kalaulah dapat kita selami dan turut merasai semua rasa sahabat handai kita semua maka amanlah dunia. Tak adalah yang terkecil hati dengan luahan bicara sesama kita.

Dalam suasana keseronokan berjumpa sahabat handai dan anak buah kadang-kadang kita terlepas bicara tertanya soalan-soalan sensitif yang mencetuskan rasa kurang senang di kalangan kita.

Opah pun sama maklum manusia biasa, ada jugalah anak buah yang mengadu.

" Orang mana ada calon dah tanya bila nak kenduri, nak kawin, ni yang bengang ni......" Itulah antara soalan yang kurang disenangi oleh orang yang tidak ada calon lagi terutama anak gadis yang dah berkerjaya. Mungkin bagi setengah orang benda ni tak ada apa pun, katakan yang sebenarnya.

Satu lagi teguran, dah besar dah tinggi, melibatkan bentuk fizikal remaja tersebut, gemuk kurus, hitam putih atau lainnya dia dari kakak dan abang dia...(mungkin kakak dan abang putih lah tu....)

Lepas tu mulalah yang kena tegur ajak balik awal dan tahun depan dia malas nak beraya rumah tersebut.Tidaklah susah sangat secara spontan kita nak cari soalan yang tak menyakitkan hati orang lain.. betul tak? Mungkin boleh tanya dah habis belajar? kat mana sekarang? dah kerja ke belum?

Itulah antara yang opah boleh kongsikan sebenarnya banyak tapi opah rasa semua orang tau.... dan sedar pun.Cuma nak ingatkan diri sendiri, itu yang penting.

Thursday, November 13, 2008

MASA ANAK SEDANG PERIKSA





Assalamualaikum.. wr wb....

Sekarang ni musim peperiksaan,dah lepas UPSR hari ni dah keluar keputusan. Orang yang berjaya pastilah merasa seronok yang kurang berjaya atau gagal pasti merasakan sedih. Bukan anak saja yang sedih malah dua ibu bapalah yang amat terasa sangat, opah tak rasa ada orang boleh ignore saja benda-benda macam ni. Suasana macam kecoh jugak kat sekolah dah tentulah si anu si dia ni dia tu, guru-guru pun kalut maklum orang yang mengajar nak tengok prestasi murid atau prestasi pengajaran mereka sendiri. Nampakanya kekalutan bila keputusan keluar tak sama dengan kekalutan masa nak periksa yang opah rasalah.

Opah ni taklah pandai sangat tak ada ijazah pun tapi pengalaman opahlah semasa 3 orang anak opah( anak pun 3 saja) mengambil periksa UPSR.SRP ,SPM sampai ke Matrik dan Universiti opah rasa cukup bimbang dan risau. Langkah untuk mengurangkan kebimbangan itu , mungkin anda atau orang lain pun dah buat tapi biarlah opah kongsi bersama mungkin dapat menbantu anda yang sedang menghadapi situasi ini:
1. Opah kalau boleh tak mau terlibat langsung dalam aktiviti mengumpat (kalau boleh sepanjang masa selagi hidup) Doa pengumpat sukar dimaqbulkan atau tak termaqbul.Didik anak-anak kita jangan suka mengumpat atau menceritakan keburukan orang lain.
2 . Didiklah anak supaya solat Hajat pada malam peperiksaan belikan buku panduan solat hajat padanya. Ingatkan dia selalu setelah kita berusah kita perlu berdoa supaya ilmu kekal dan dapat dikeluarkan bila menjawab. Memahami soalan dan dapat menjawab dengan tepat. tidak lupa.Mohon pada Tuhan supaya doromgkam hati anak kita untuk mengulangkaji perkara-perkara yang akan disoal nanti
3. Pada hari dan waktu anak sedang berjuang dengan soalan perperiksaan, opah masa kerja dulu akan cari waktu opah rehat untuk solat hajat dan baca yassin. kalau anak periksa waktu petangopah tak kerja) opah akan duduk di tikar sembahyang solat, baca quran atau paling koman zikir sampailah masa anak opah periksa tu dah tamat.
4. Dalam masa menunggu keputusan opah cuba kalau tak dapat tiap-tiap malam, malam Jumaat atau Isnin atau Khamis buat solat Hajat danTahajjuj supaya Allah berikan yang terbaik untuk anak-anak opah dalam peperiksaan itu.
5. Opah selalu ceritakan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh saudara-saudara atau sepupu atau adek beradek sebelah keluarga opah dan atuk yang telah berjaya mendapat degree, master dan phd supaya mereka rasa patut mengikut jejak langkah mereka atau merasa malu kalau tak berjaya.

Amalan-amalan tulah yang opah buat hinggalah mereka bertiga berjaya dari UPSR hinggalah ke IPTA dan dah bekerja pun dalam pelbagai bidang yang berbeza. Syukur pada Tuhan yang mengurniakan kejayaan bagi ketiga mereka. Biar apa pun bidang mereka hari ini opah rasa syukur sangat kerana mereka adalah orang yang mempunyai ilmu dalam bidang masing-masing.