Followers

Tuesday, February 16, 2010

MAAFKAN SAYA


Mohon maaf...... ... dalam hidup ini entah berapa kali kita minta maaf. Apa ertinya kalau selalu sangat minta maaf, ada beberapa andaian akan dibuat, mungkin kita selalu buat silap. terburu-buru buat keputusan, buat dulu baru fikir...atau memang kita tak sengaja dan memang ditakdirkan begitu, tidak boleh juga menyalahkan takdir tapi kita perlu redha pulak untuk menampakkan keluhuran dan keikhlasan hati sendiri.Rasanya ada baiknya juga selalu minta maaf dari tak pernah langsung minta maaf walaupun ternyata buat salah.

Opah ingat pesan seorang ulama, selalunya dalam hidup ini ada dua hubungan patut kita jalani dengan sebaik mungkin. Kalau dua hal ini dapat ditangani dengan sempurna hidup kita akan selamat dunia dan akhirat.Pertama kita menjaga hubungan dengan Allah SWT dan kedua menjaga hubungan sesama insan.

Dengan Allah SWT yang Mahaberkuasa dan Maha Pengasih dan Penyayang setakat ini rasanya paling senang kita memohon maaf. Tiada protokol yang susah nak berjumpa dan nak berbicara dengannya. Tiada had masa tiada cuti bila-bila masa kita boleh memohon kemaafan darinya walaupun kita tidak tau masa bila kita akan diampunkan, bila masa doa kita akan dimakbulkan.Apa yang pasti dia sentiasa mendengar dan melihat apatah lagi jika kita berada dalam landasan dan cara mendekatinya dengan penuh rasa TAKUT DAN HARAP.Apa yang kita tak pasti keikhlasan hati sendiri yang tiada RIA' langsung.

Kalau dengan Allah kita sangat yakin walaupun tidak tau di Mahkamah Allah(Akhiratlah) nanti apa kesudahannya tapi sekurang-kurangnya kita mempunyai keyakinan seratus peratus Allah mendengar setiap rintihan dan permohonan hambanya yang membuat silap atau dosa.

Sekiranya dengan Allah SWT kita cukup yakin, yakinkah anda kemaafan yang dipohon sesama insan. Pasangan suami isteri yang berpisah mempunyai masalah tertentu selalunya akan saling tuduh menuduh, bahkan saman menyaman sampai ke mahkamah. Kalau selesai di mahkamah dunia pun diakhirat kita belum terlepas lagi.Hari ini kalau kita baca dan dengar selalu di pelbagai media bukan hanya pasangan yang dah berkahwin, malah bertunang dan lebih menyedihkan pasangan kekasih yang tidak ada apa-apa ikatan pun boleh mengheret pasangan ke mahkamah.Minta Allah jauhkan kita semua.

Kalau diikutkan apa sangatlah ikatan belum rasmi itu. Biasalah kita hanya merancang tapi ketentuan dari Allah. Berjanji bercinta bagai nak rak tapi kalau Allah tak izin redha sajalah.Pasti ada hikmahnya. Alangkah baiknya kalau cinta seagung dan semurni itu dicurahkan khas untuk Allah SWT... rindu dan harap sentuhan dari Ilahi itu lebih bermakna dari cinta sesama insan yang pasti KEMATIAN menunggu diakhirnya.

Kesilapan dan kesalahan memerlukan kemaafaan yang benar-benar ikhlas di dunia, kalau tak sempat memohon maaf, nanti diakhirat. Kesalahan dan kesilapan macam satu hutang yang perlu dibayar bila tak sempat pulak nak memohon maaf masa hidup.Nak dibayar dengan duit masa tu duit dah tak laku yang ada hanya kebaikan dan pahala. Kalau pahala tu banyak oklah kalau tak ada terpaksalah menanggung dosa orang yang kita tak sempat memohon maaf.

Contohnya orang yang mengumpat seseorang sama ada melalui lisan atau tulisannya mesti memohon maaf kepada siapa saja yang biasa diumpatnya.Mengumpat atau membuka aib orang sangatlah ditegah oleh Nabi, sehingga ada antara sahabat yang disuruh mencuci mulut selepas didengari Nabi mereka mengumpat.Mulut yang mengumpat seolah-seolah sedang memakan daging sahabat mereka sendiri, dipenuhi darah.

Mohonlah maaf ketika insan itu masih hidup supaya kita tidak diisytiharkan muflis sebelum dibicarakan.Opah mengingatkan diri opah sendiri yang dah banyak buat silap kerana opah adalah insan biasa ....

Thursday, February 4, 2010

MESTIKAH SEKUFU?


Salam buat semua,meskipun semua ini bukan isu panas, bukan isu politik tapi kalau dibiarkan ada juga yang diheret ke mahkamah dari tajuk ini. mestikah sekufu? apa yang sekufu? selalunya kita kaitkan dengan perkahwinan atau ijabkabul antara dua insan yang datang dari dua keluarga yang berlainan. Jika terasa perit melaluinya mungkin ada yang tak kena. Mungkin kerana tak sekufu?

Setaraf bukan saja miskin kaya, berpendidikan (modern atau konservatif), darjat, rupa paras atau apa saja yang kita kalau nak perincikan banyaknya...Maklum apabila kita telah membuat keputusan untuk memilih pasangan kita bukan saja memilih dirinya tetapi apa saja yang ada kaitan dengan dirinya, kerjayanya keluarganya dan yang penting cara hidupnya dan keluarganya.

Masa berkawan kita pasti tak tahu semua perkara tentang pasangan kita. Dah kahwin baru tau. Walaubagaimanapun ada pasangan yang lansung tak kenal hanya melalui orang tengah dapat melalui cabaran walau pun tak berapa sekufu...Tahniahlah anda patut bersyukur kerana taqdir yang baik memihak kepada anda.

Seorang ibu mengeluh kerana dia kurang senang dengan suasana rumah bisannya atau mertua anaknya. Bila opah tanya kenapa? Saya kesihankan anak lelaki saya apabila dia pulang ke rumah mertuanya. Hari-hari terpaksa memandang aurat bukan muhrim, adik iparnya semua perempuan tidak menutup aurat(tak pakai tudung) bila dia balik ke sana. Sedangkan dia bukanlah muhrim mereka.

Abang ipar bukan abang kandung? Pendidikan sama, rupa paras lebih kurang, kerjaya lebih kurang sama tapi suasana dan didikan agama kurang sama.

Anak ibu ini, seorang lelaki telah dilatih menjaga pergaulan, aurat orang yang bukan muhrim di rumahnya, termasuk sepupu sepapat, ipar duainya. Mereka mesra tapi tidak melanggar batasan.Dia sangat menghormati anak menantu dan bisannya hanya satu perkara ini saja dia kurang puas hati.Bagaimanapun anak ini berjaya membiasakan isterinya dengan cara didikan ayah dan bondanya ketika di rumah mereka sendiri.

Seorang ahli akademik yang berjaya dalam kerjayanya terpaksa memendam rasa bertahun-tahun dan akhirnya rumahtangga yang dibina berantakan selepas puluhan tahun berkongsi hidup dengan pasangannya.

Pasangannya lebih modern (western) dari keluarga yang makan gaji sedangkan dia anak seorang ulama dari kampung yang tak punya apa-apa harta melainkan ilmu agama dan tanah tempat berteduh.

Akhirnya mereka berpisah setelah hampir 30 tahun berkongsi hidup.Hanya dia dan bekas isterinya yang tahu kenapa mereka mesti berpisah.

Opah pun tak pasti adakah kerana tak sekufu atau keduanya dari latar belakang yang berlainan atau pun pendidikan dan kerjaya yang agak berbeza antara keduanya menyebabkan terjadinya pelbagai masalah dalam perkahwinan mereka.

Kisah benar untuk ingatan diri sendiri.

Saturday, January 23, 2010

PERLUKAH CERITA HANTU DAN TAHYUL...

Salam buat semua.

Menonton tv memang setiap hari bagi opah. Pertamanya nak dapat maklumat selain dari internet. Tak semua program opah tengok. Walaubagaimanapun semenjak dua menjak ni banyaklah pulak stesen yang menayangkan cerita hantu dan tahyul.

Opah tak pasti apa pendapat semua pembaca mengenai cerita hantu dan tahyul yang ditayangkan hampir setiap hari di stesen tv kita tak kira swasta atau tidak.

Perlukah kita di zaman ini menonton cerita hantu tu?..... Perlukah anak cucu kita yang akan jadi pewaris zaman nanti disogokkan dengan alam hayalan ni..... sesuaikah pengalaman ini disogokkan kepada mereka yang nak ganti pemimpin hari ini (tak kiralah pemimpin parti pembangkang atau kerajaan) .

Kalau ada sesiapa sudi berkongsi kebaikan dari tayangan tersebut opah suka sangat nak dengar alasannya. Kerana hiburan semata-mata dan isi masa lapang dan memang itu periuk nasi orang industri filem. Memang ada drama yang bagus dari stesen tertentu tidak dapat dinafikan. Bukankan media ini perantara untuk menyampaikan info, mengubah budaya dari yang kurang baik kepada yang lebih baik.

WALLAHUA'LAM

Monday, January 18, 2010

Pondok Ustaz Abu Bakar

Salam Safar dan mungkin tidak terlewat untuk semua orang kalau opah nak ucapkan Selamat Tahun Baru 2010. Sebab nilah N3 pertama opah bagi tahun 2010 atas permintaan seorang pengunjung, anakanda Bakri.

Untuk pengetahuan anakanda Bakri dan orang lain juga, (yang berminat) Pondok Ustaz Abu Bakar terletak Bersebelahan lebuhraya BKE (Butterworth Kulim Express). Untuk ke sini anda perlu susur keluar Kubang Semang.Rasanya lokasinya tak susah nak cari. Rajin bertanya tak sesat jalan.

Pengambilan murid rasanya tidak terhad mengikut umur tapi yang opah nampak lepasan dari sekolah rendah yang ramai dan menengah pun ada jugalah.Lepasan diploma atau orang yang dah bekerja pun ada tapi kuliah biasa untuk orang dewasa pada hari Jumaat dan Ahad pagi.Kurikulum untuk murid yang belajar dan menetap di situ Bahasa Arab Pengajian Agama meliputi Feqah, Tafsir, Tauhid Sirah...Yang ni kena tanya Tok Guru lebih terperinci.

Selain dari mempelajari Bahasa Arab dan Pengajian Agama Islam mereka juga dilatih berkebun, menternak haiwan pelihaaraan, pertukangan dan binaan simen untuk hiasan landskap.

Yuran pengajian, penginapan dan makanan dikenakan juga disamping keluar masuk diawasi. Murid hanya lelaki saja yang opah nampaklah. Perjalanan kuliah kena berhubung dengan pihak urusetia atau Ustaz.Opah tulis berdasarkan apa yang nampak semasa kuliah kami hari Jumaat, pelajar-pelajar turut sama dgn kuliah tersebut.Dalam masa yang sama Ustaz akan sentuh sikit dan ajar juga Nahu Bahasa Arab dalam kuliah kami.Kalau nak maklumat lanjut lagi berhubunglah dgn. Ustaz Abu Bakar Hj. IsmailMK 20 TBP5497 Permatang Tengah, Kubang Semang 14400 Bukit Mertajam.045381894 . Harap maklum.

Wednesday, December 23, 2009

LUASNYA NERAKA....!!!

Salam buat semua, opah inginkan kongsikan bersama apa yang opah dapat dari sebuah dairi hadiah seorang teman, kalau ianya anda telah tahu jadikanlah sesuatu peringatan baru bagi diri sendiri termasuk buat opah sendiri, mudah-mudahan kita akan dapat kebaikan darinya.

Yazid Ar Raqasyi dari Anas bin Malik r.a berkata, "Jibrail datang kepada Nabi SAW pada waktu yang ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya?"

Maka ditanya oleh Nabi SAW "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan nyalaan api neraka, maka tidak layak bagi bagi orang yang mengetahui bahawa Neraka Jahanam itu benar dan seksaan kubur itu benar, dan seksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya."

Lalu Nabi SAW bersabda : "Ya Jibrail jelaskan kepadaku sifat Jahanam"

Jawabnya, "Ya ketika Allah menjadikan Jahanan, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakaar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panasnya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Alquran itu diletakkan di atas bukit nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yang ke tujuh.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang dihujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang dihujung timur kerana sangat panasnya. Jahanam itu sangat panas dan dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan-potongan api.

Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari lelaki dan perempuan."

Nabi SAW bertanya "Apakah pintu-pintunya seperti pintu-pintu rumah kami?"

Jawabnya, "Tidak. Tetapi ianya selalu terbuka setengahnya di bawah dari lain-lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanannya 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda" (lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah SAW "Siapakah penduduknya setiap pintu itu?"

Jawab Jibrail a.s "Pintu yang terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s serta keluarga Firaun sedang namanya AlHawiyah.

Pintu Kedua, tempat orang musyrikin bernama Jahim.

Pintu Ketiga, tempat orang shobi'in bernama saqar.

Pintu Keempat, tempat iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha.

Pintu Kelima, orang Yahudi bernama Hutomah.

Pintu Keenam, tempat orang Nasara bernama Saeir"

Kemudian Jibrail diam... segan pada Rasulullah SAW sehingga ditanya , "Mengapa tidak engkau terangkan penduduk pintu ketujuh?

Jawabya, Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dan umatmu yang sampai mati belum sempat taubat"

Maka Nabi jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail a.s meletakkan kepala Nabi SAW dipangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah ssedar Nabi SAW bersabda, "Ya Jibrail sungguh besar kerisauanku dan kesedihanku, apakah ada seorang dari umatku yang akan masuk ke dalam neraka?"

Jawabnya, "Ya iaitu dengan yang berdosa besar dari umatmu"

Kemudian Nabi SAW pun menangis, Jibrail juga menangis, Nabi masuk ke dalam rumahnya tidak keluar kecuali untuk solat kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila solat baginda selalu menangis dan memohon kepada Allah SWT.

Dari Hadis Qudsi ; Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tidak dapat bertahan dengan panas terik matahari Ku. Tahukah kamu bahawa neraka Jahanamku itu;
  • Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat.
  • Setiap tingkat mempunyai 70.000 daerah.
  • Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung.
  • Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
  • Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik.
  • Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak.
  • Setiap kotak mempunyai70,000 batang pokok zarqum.
  • Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
  • Di dalam mulut setiap ular yang panjangnya 70 hasta mengandungi lautan beracun yang hitam pekat.
  • Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai.
  • Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat.
Firman Allah SWT yang bermaksud "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan -keterangan dan hidayah, sesudah Kami menerangkan kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekelian makhluk." (Surah AlBaqarah ayat 159)

Berikut adalah nama-nama Syurga dan Neraka untuk pengetahuan kita bersama.

Nama Syurga,
  • Syurga Firdaus
  • Syurga Adn
  • Syurga Naim
  • SyurgaMa'wa
  • Syurga Darussalam
  • Syurga Muaqaamah
  • Syurga Al Muqqamul Amin
  • Syurga Khuldi
Nama Neraka,
  • Neraka Jahanam
  • Neraka Jahim
  • Neraka Hawiyah
  • Neraka Wail
  • Neraka Sa'ir
  • Neraka Ladhaa
  • Neraka Saqar
  • Neraka Huthomah