Followers

Thursday, March 22, 2012

Jangan Marah


Assalamualaikum wr...wb...

Hampir berbulan lamanya tidak menuliskan sesuatu untuk mengingati diri sendiri dan mungkin juga untuk sesiapa yang tersinggah secara tidak sengaja.

Satu masa dulu opah pernah ditanya oleh seorang Tuan Guru yang opah ikuti ketika dia mengajar mengenai berapa hadis yang telah opah hafal. Katanya lagi "Ada hafal 40 hadis? Memang secara jujur jawapannya memang tidaklah. Ketika itu opah hanya menjawab adalah beberapa hadis yang diajar oleh Pak Ustaz ketika nak mengambil peperiksaan SPM dan SRP. Tuan Guru yang ketika itu belum bergelar "Abuya" lagi hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Boleh bayangkan rasa hati ketika itu.

Hingga kini masih membaca dan cuba memahami hadis 40 Imam Nawawi sekadar yang termampu. Terbaru opah dihadiahkan Hadis 40 yang ditulis oleh Ustaz Zahazan Mohamed dan Haji Muhamad Zakaria. Opah ingin kongsikan Hadis 16 ini kerana perkara ini memang sangat berkait dengan kita setiap hari di mana saja dalam apa keadaan sekalipun. Hadis 16 tajuknya "Jangan Marah" atau dalam bahasa Arabnya "La Tagdhab". Opah panjangkan supaya dapat diulangi dan mengambil pengajaran darinya.


HADIS 16 JANGAN MARAH

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berilah wasiat kepadaku. Nabi bersabda: "La Tagdhab"maksudnya: "Jangan Marah" Beliau mengulanginya beberapa kali dan bersabda, "Jangan Marah".
(Riwayat Ahmad no. 8729, alBukhari no. 5765 dan al Tirmizi no 2020)

Huraian dan Inti Sari.

Pengarang kitab alIfshah berkata: "Mungkin tindakan Nabi menasihati lelaki itu disebabkan Baginda mengetahui sikapnya sering marah, sehingga nasihat ini ditujukan khusus kepadanya. Nabi SAW memuji orang yang dapat mengendalikan hawa nafsunya ketika marah.

Sabda baginda yang bermaksud.

"Bukanlah dikatakan orang kuat kerana dapat menumbangkan lawannya tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya di waktu marah."

ALLAH JUGA MEMUJI ORANG YANG DAPAT MENGENDALIKAN NAFSUNYA KETIKA MARAH DAN SUKA MEMBERI MAAF KEPADA ORANG LAIN.

Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud,

"Sesiapa yang menahan marahnya padahal dia boleh melepaskanya , kelak Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan segala makhluk sehingga dia diberi hak untuk memilih bidadari yang disukainya.

Pengajaran

* Dianjurkan bagi setiap Muslim memberikan nasihat yang baik.

* Kita hendaklah mengenal perbuatan-perbuatan yang bersifat kebajikan.

* Kita hendaklah sentiasa menambah wawasan ilmu yang bermanafaat.

* Kita dianjurkan mengulangi percakapan hingga pendengar menyedari betapa penting kedudukannya.

* Islam menggalakkan umatnya meninggalkan sifat pemarah.

* Selalulah mendapatkan nasihat, mengetahui aspek-aspek kebenaran dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan dengan ilmu yang bermanafaat.

* Sedikit bercakap dan banyak bekerja.

* Orang yang marah bertanggungjawab atas akibat perbuatan marahnya.

*Marah yang terpuji ialah marah kerana mencari keredaan Allah SWT, membela agama Allah, membela kehormatan seseorang Muslim yang dihina atau direndah-rendahkan.

Cara Mencegah Kemarahan

* Jauhi akhlak yang tercela seperti sombong, tinggi diri, bangga diri, menghina orang lain, banyak bercanda, suka perdebatan dan sebagainya.

* Didik diri dengan akhlak mulia seperti sabar, lemah lembut, tidak tergesa-gesa dalam segala hal dan sebagainya.

* Berlatih memaafkan orang yang membuat salah.

* Bersikap tawaduk.

* Mengucapkan ta'awwuz. Auzubillahhi minassyaithanirrajim.

* Mengubah posisi daripada berdiri kepada duduk atau daripada duduk kepada berbaring.

* Berhenti berbicara.

* Berwuduk.

Alhamdulillah dan syukur kiranya kita dapat mengawal kemarahan dalam apa keadaan di mana juga. Apa yang pasti opah tak mau lupa bahawa, bila kita suka marah syaitan sangat suka......