Followers

Wednesday, December 17, 2008

ISLAM DAN KRISTIAN DI JAWA

Assalamualaikum wr...wb..

Jauh berjalan luas pandangan dan tambah pengalaman, pengalaman itulah yang mendewasakan kita untuk meneruskan hidup ini dengan pandangan yang lebih matang dalam pelbagai aspek kehidupan. Bercerita tentang diri dan negara kita saja rasa tak puas, jadi walau pun mungkin ada orang yang lebih tahu atau sudah tahu anggaplah ini hanya luahan hati apa yang opah lihat dan rasa ketika ziarah ke negara jiran kita Indonesia.

Walaupun negara Indonesia bukan negara Islam tetapi majoriti penduduknya beragama Islam. Salah satu program semasa opah ke sana adalah melawat ke Desa Gadog dengan menaiki delman (kereta kuda zaman kuno) menyusuri bandar Cipanas dari Hotel Surya Indah. Kami melawat Taman Kanak-Kanak Iqrak dan Masjid Jami' Al-Islah . Kami disambut dengan selawat,nasyid dan kompang mula-mula terkejut juga tapi memang itulah cara menyambut pelawat dari Agensi Kembara Riadhah sampai. Selain majlis silaturrahim dan jamuan pelawat juga boleh menyumbangkan wang untuk dana Masjid dan hadiah untuk anak-anak di Tadika Iqra (Kebanyakan dari golongan kurang mampu).Rata-rata ahli rombongan termasuk Opah tabik pada Hj. Muzammil ketua rombongan part ni yang opah paling suka yang lain tu samalah dengan program agen pelancongan lain.3 Masjid yang kami ziarahi mempunyai keistimewaan tersendiri iaitu Masjid At Taun di Puncak dan Istiqlal di Jakarta.

Sepanjang jalan dari Hotel Surya Indah ke Masjid Jami' Desa Gadog ini kami melalui perkampungan, melihat surau dan gereja bersebelahan saja. Penganut kristian dan Islam juga tinggal berjiran. Hanya pakaian, haiwan peliharaan dan ucapan yang akan menjelaskan siapa mereka. Kristian dengan skirt , baju tak berlengan memegang anjing melambai-lambai sambil mengucapkan "Hello" Muslim pula akan menyusun jari dan memberi salam lengkap berpakaian menutup aurat.Di Cianjur azan berkumandang setiap waktu solat terasa seperti berada di kampung sendiri di Seberang Perai berbanding semasa menginap di hotel Gren Alia Cikini (Jakarta), puas menunggu bunyi azan tak taulah kalau jarak Masjid Istiqlal (boleh memuatkan 100,000 jemaah) begitu jauh hingga tak terdengar.

Menurut Pak Rizal pemandu pelancong kristian dan muslim hidup aman di sini dalam satu kampung. Berbezanya dengan kita di Malaysia penempatan saja sudah memisahkan kita inikan pula tempat beribadat. Nampaknya walaupun Pulau Jawa adalah salah satu dari 3 serambi Mekah di Indonesia, penganut kristiannya juga tak kurang hebat butkinya binaan Gereja Kristian terbesar bersebelahan Masjid Istiqlal di Jakarta. Suasana ini lebih kurang sama dengan Sumatera.

Opah juga berpeluang melawat kawah gunung berapi yang masih berasap di Gunung Tangkuban Perahu terkenal dengan kisah Sangkuriang. Singgah di Hot Spring, Ciater dan sempat ke Ancol Bay City(kurang suka) dan tidak kurang menariknya Taman Safari Indonesia di Cisarua Bogor . Pelancong memegang dan memberi haiwan makan kecuali Harimau dan Singa. Alamnya masih banyak yang belum tercemar.

KAD DARI TERA



Terima kasih Opah ucapkan...

Tuesday, December 16, 2008

SATU MASA DULU

Salam untuk semua yang dikasihi. Kebelakangan ini opah sibuk sikit dengan kenduri arwah qurban ,kahwin seterusnya kenduri + hari keluarga famili keluarga opah.Nak buka blog pun tak sempat maklum kenduri di tempat yang berasingan, masa begitu suntuk dengan 3 atau 4 kenduri satu hari di tempat yang berasingan. Tak pergi rasanya tak patut, kita dijemput maknanya rakan-rakan mengharap kedatangan kita . Seronok pergi kenduri bukan kerana jamuannya tapi kerana di situ boleh jumpa kawan dan saudara mara yang dah lama tak bersua. Menghubungkan silaturrahim sangat dituntut dalam agama kita.Di samping kenduri opah juga diziarahi anak buah dan saudara terdekat.Alhamduillah semuanya masih sihat dan seronok sangat diziarahi dan menziarahi.

Dalam masa seminggu inilah opahambil peluang pulang ke kampung asal tempat mula-mula bonda dan ayahanda opah menetap selepas berhijrah ke Tanah Melayu lebih kurang 70 puluh tahun dulu dari daerah Kuok, Bangkinang Sumatera Barat. Atas tanah pusaka ini abang nombor 4 opah bina sebuah rumah rehat untuk kami gunakan bila-bila saja untuk kenduri atau singgah berehat dalam perjalanan atau menginap untuk sambung belajar di UPSI lebih kurang 25 km dari Tanjung Malim.(Bagi anak buah yang rajin menyambung ijazah atau sarjana)

Berada di sini mengingatkan opah sejarah silam keluarga opah . Hanya beberapa tahun saja ayah dan bonda menetap di situ selebihnya mereka berhijrah ke Selekoh,Bagan Datok (Maahad Darul Ulum) selepas itu ke Telok Intan selepas itu ke Pondok Haji Hussin, Langgar Kedah dan akhir sekali ke Kampung Gunung Semanggol (Maahad AlEhya Assharif) Perak. Di sinilah opah dilahirkan dan belajar hingga usia menjangkau 15 tahun. Pernah satu masa opah bertanya ayahanda kenapa ayah berhijrah. Senang saja jawapannya ayah cari tempat yang ada ilmu supaya anak-anak ayah akan jadi orang yang berilmu.(terfikirjuga bagaimana sukarnya dia berpindah dengan jumlah anak yang agak ramai dan masa tu belum ada lebuh raya) Kalau tinggal di kampung yang opah sebutkan tadi mungkin anak-anak ayah takkan jadi orang berilmu. Opah sangat sayang dan hormati ayahanda yang sudah sangat bersedia mengenai masa depan 7 orang anaknya.Hasil hijrah tersebut anak-anaknya dapat menuntut ilmu di tempat-tempat itu.

Tempat asal ayah dan bonda itu masih seperti dulu terutama suraunya. Kampungnya ada perubahan tapi tak banyak dan tak menyerlah, tiada suara azan waktu subuh... sedihnya( selama dua pagi opah tidur di situ mungkin hari lain tidaklah harapnya) . Imam dan bilal semakin uzur pengganti mungkin tidak ada atau kurang bersedia . Bukan saja di sini saja opah rasa ada lagi tempat lain pun mungkin sama orang yang nak mengimarahkan surah dan masjid secara sukarela fardu kifayah sudah berkurang atau tidak ada. Bila surau dan masjid tidak dimeriahkan siapa akan bersuka-ria tentulah iblis laknatullah. Bala akan turun dan yang akan kena semua orang termasuklah opah juga.Opah harap jangan sampai kita jadi seperti Bosnia yang masjidnya dimanggakan dan akhirnya kita sama-sama menyaksikan apa yang telah berlaku di sana.

Apakah tanggungjawab ini hanya pada orang tertentu saja. tidakkah ia menjadi tanggung jawab kita semua terutama lelaki termasuklah anak-anak lelaki opah anak buah dan semua rakyat Malaysia.Ingatlah sebelum terlambat, sebelum kita dijemput malaikat atau kita sudah menjadi mayat semasa masih hayat.(Peringatan untuk diri opah sendiri jua)

Thursday, December 4, 2008

KAD RAYA AIDILADHA dari tera


Terima Kasih Tera, mudah-mudahan Hari Raya Qurban kali ini lebih memberi erti kepada kita semua dalam menghayatinya. JazakAllah.

Monday, December 1, 2008

PAUSE

Salam untuk semua

Melancong ke luar negara memang menyeronokkan jika ada peluang dan kemampuan, terutama bila dapat bersama orang-orang yang kita kasihi(tidak melebihi kasih pada Allah). Dalam hidup opah dah 55 tahun ni adalah 5 atau 6 kali opah berkesempatan melawat ke luar negeri termasuklah ziarah ke Baitullah( Rumah Allah) di Makkatul Mukarramah menunaikan fardu haji 13 tahun dulu. Alhamdulillah itulah ziarah paling hebat dan tak dapat digambarkan dengan kata-kata cabaran yang dihadapi dan kepuasan selepas menunaikan rukun kelima itu.Berbezalah kepuasan dan keseronokannya dengan lawatan ke tempat lain, bagaimanapun opah nak berkongsi rasa dengan semua cucu opah mengenai ziarah yang baru lepas pada 26 hingga 30 November lepas.


Menunggu di Airport Changkareng

Opah dan suami telah merancang ziarah ini 2 bulan lepas untuk ke Jakarta, Puncak dan Bandung. Opah nak kata seronok sangat tu biasalah nak pergi jalan tentulah seronok sambil mengharap Allah kurniakan kesihatan yang baik bagi kami berdua. Kebetulan Pengarah Urusan pelancongan tersebut kawan sendiri. Pada petang 26 hb. tersebut kami pun bertolak ke Airport Bayan Lepas, pasport antarabangsa pun dikumpul untuk diperiksa seterusnya disahkan tiket perjalanan tersebut oleh pegawai yang bertugas. Tiba-tiba suami opah datang dengan wajah yang tak berapa seronok bertanya opah bila tarikh tempoh tamat pasport opah.
Opah kata kalau tak salah Mac 2009. "Mana boleh ke luar negara, sepatutnya tempohnya 6 bulan, ni dah tinggal 4 bulan". Masa tu opah rasa sangat bersalah, kenapalah opah tak periksa pasport tu langsung. Pihak imigresen Malaysia nampaknya macam boleh lepaskan tapi bila sampai di Jakarta nanti tak taulah kata seorang pegawai yang dikenali oleh seorang peserta rombongan. Bukanlah takut pada sesiapa kerana yang patut ditakuti hanya Allah.Opah rasa tak pergi pun tak palah tapi tiket semua dah beli dah bayar semua penginapan dan makan semasa di sana, bawa badan dan pakaian saja.

Akhirnya opah dan suami buat keputusan pergi juga dan tawakkal pada Allah. Kata ketua rombongan, "Buat bodoh saja bila sampai dekat pegawai kastam di sana nanti. Kalau kita bayar sikit rasanya boleh lepas" Inilah cara yang paling opah tak suka memberi dan menerima sama je balasannya.Bukan opah kedekut tapi cara itu bertentangan dengan hukum dan prinsip hidup kita.Tak taulah kalau tak ada jalan lain kenalah kita anggap sedekah je. 2 1/2 jam dalam penerbangan rasa begitu lama sambil berdoa dan mengharap penantian ini berakhir dengan kebaikan. Sampai saja di Airport Changkareng, memanglah bila sampai pemeriksaan pasport dengan opah sekali dibawa masuk berjumpa Bapak Kepala Imigrasi. Orangnya masih mudah dan wajahnya biasa saja dan ada senyuman( senyuman itu satu sedekah)Dia bertanya kenapa ni Makcik, Opah pun cepat cepat minta maaf, ibu tak sedar langsung hanya disedari sudah di airport Bayan Lepas. Dia mengatakan "Memang salah memasuki negeri itu dengan tempoh tamat 4 bulan pasport , untuk kali ini ibu dimaafkan tapi jangan lain kali ya".Dia juga bertanya apa tujuan kami ke sana, suami opah menjawab nak makna angin saja.Sempat lagi dia bergurau"Kalau saya nak makan nasi" Akhirnya perkara itu selesai tanpa ada bayaran atau sogokan. Ini hanyalah undang-undang dunia dan manusia yang cipta .

Alhamdulillah Hari tu bagi opah adalah hari ini dalam sejarah, walupun dah biasa jugalah dengan perjalanan ke luar negeri tapi Allah tetap menduga kita, tiap-tiap sesuatu yang terjadi ada hikmahnya,mungkin Allah tak mau kita dilalaikan dengan duniawi hingga lupa pada kebesaran Allah. Wallahua'lam

Wednesday, November 26, 2008

Terimalah Qurbanku


Assalamualaikum,

Opah harap semua kita diberi Allah dalam keadaan sihat walafiat dalam menjalani kehidupan masing-masing. Tidak lama lagi kita akan menyambut Hari Raya Haji atau Hari Raya Qurban.

Bagi penduduk kampung Opah setiap tahun kami akan menunaikan ibadat qurban ini dengan menyembelih sekurang-kurangnya 4 ekor setahun. Ada juga penduduk luar yang turut menunaikan ibadat itu bersama kami di sini.

Pada masa opah kecil dulu nak buat qurban satu perkara yang agak sukar memandangkan ekonomi dan cara hidup kita pada waktu itu. Pendapatan tak seberapa walaupun harga lembu murah. Hari ini ada pelbagai cara ibadat ini dijalankan.Opah dan atuk pun turut juga menjalankan ibadat qurban dengan pembayarannya secara kutu (mengumpul bayaran secara bulanan).

Mungkin anda di luar sana pun ada cara lain bolehlah kita kongsikan di sini Pernah opah dan atuk buat di tempat kerja. Hasilnya memberansangkan juga, setiap tahun ada ibadat qurban dibuat.Ramai orang dapat melaksanakan lebih dari sekali bahkah berbelas kali melebihi 7 kali maknanya qurban seseorang itu sudah cukup seekor lembu.

Mengikut Tok Guru opah Lembu qurban itulah yang akan kita naiki untuk ke Padang Mahsyar apabila Kita akan dipertemukan dengan Allah SWT .Jadi kalau kita ambil sebahagian bermakna kita akan menaiki lembu itu bersama 6 orang lain. Oleh itu sekiranya mampu bolehlah kita lakukan berkali-kali atau seekor lembu untuk diri kita sendiri saja. Daging qurban boleh diagih-agih kepada orang miskin atau setaraf dengannya untuk hidangan sendiri di rumah mengikut kesukaan mereka.Orang yang berqurban pula tentulah mendapat ganjaran yang lebih hebat dari Allah SWT.

Terdapat banyak sekali pengajaran dan juga ganjaran yang kita perolehi apabila kita melaksanakan ibadat qurban antaranya,

1. Peluang bertaqarrub kepada Allah (mendekati Allah)Ia dapat dilakukan oleh mereka yang benar-benar mempunyai rasa kesedaran dan keimanan yang terbit dari hati serta sifat taqwa untuk melakukannya. Kalau tidak dia takkan sanggup keluarkan wang untuk membeli seekor kambing atau sebahagian dari lembu untuk diqurbankan dan diagih-agihkan kepada orang yang memerlukan. Allah telah memuji golongan ini dalam Alquran Surah Alhaj ayat 37 maksudnya:

"Daging dan darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi yang sampai kepadanya ialah amal yang ikhlas yang berdasarkantaqwa dari kamu. Demikianlah ia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat dan petunjuknya. Sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang yang berusaha supaya banyak amalnya

2. Bukti keikhlasan dan ketaatan hambanya kepada Allah SWT. Ibadat ini jadi bukti kesetiaan serta ketaatan seseorang hamba kepada Allah SWT. Dengan berqurban kita akan mendapat tempat yang mulia di sisi Allah sebagaimana dijelaskan oleh Rasullullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud,
"Wahai manusia, sembelihlah qurban dengan mengharapkan pahala daripada Allah dengan darahnya. Sesungguhnya darah qurban itu jika ia tumpah ke bumi maka ia akan mengambil tempat yang mulia di sisi Allah Azzawajalla."
(Hadis Riwayat AlTibrani)

3. Ibadat qurban dapat menebus dosa hamba. (Nilah yang kita dok harap, sertailah jua dengan amalan). Berqurban boleh menebus dosa-dosa kita iaitu dengan setiap titisan darah ternakan yang kita qurbankan, sebagaimana sabda Rasulullah SWA kepada anaknya Saidatina Fatimah RA yang maksudnya;
"Berdirilah di sisi qurbanmu dan saksikanlah ia. Sesungguhnya titisan darahnya yang pertama itu pengampun bagimu atas dosa-dosamu yang telah lalu" Hadis Riwayat AlBaihaqi
Malah bulu binatang yang diqurbankan tu juga adalah satu kebajikan sebagaimana menurut sebuah hadis Riwayat AlBaihaqi maksudnya
"Berqurbanlah dengan hati yang rela sesungguhnya setiap muslim yang menghadapkan sembelihnya ke arah qiblat, maka darahnya, kotorannya dan bulunya itu adalah kebajikan dan bakti kepada timbangan pada hari kiamat"

Jika diperhatikan daripada keterangan yang disebutkan tadi jelas menunjukkan bahawa keseluruhan amalan atau pekerjaan yang berhubungkait dengan ibadat qurban itu, mempunyai kelebihan yang sangat besar kepada orang yang melakukan ibadat qurban itu. Bermula daripada perbuatan menyembelih, saksikan penyembelihan, darah,bulu dan memperbesarkannya akan mendapat ganjaran dari Allah SWT.Mudah-mudahan selepas kita mengetahui fadilat dan atau kelebihan dan ganjarannya dari ibadat qurban ini terbukalah hati untuk melakukannya demi kebaikan bersama.

Jika kita mampu membeli keperluan lain dengan harga yang begitu mahal apalah salahnya jika kita rebut peluang yang Allah berikan setahun sekali iaitu melakukan ibadat qurban .Wallahhuaklam. Selamat Hari Raya Aidil Adha dan selamat menunaikan ibadat qurban.

Sunday, November 23, 2008

SEMBAHYANG.

ASSALAMUALAIKUM

Opah percaya semua orang pasti tahu erti sembahyang atau solat bagi orang Islam. Opah pun dah tahu solat ini sejak umur enam tahun lagi. Kita dah bersolat bertahun-tahun lamanya tapi hanya Allah saja yang tahu berapalah markah solat kita tu.Bila mati esok barulah diperlihatkan dan dirasakan keputusannya.Tidak dinafikan pula sesetengah orang Allah telah tunjukkan didunia lagi kesan meninggalkan atau mengabaikan solat, alhamdulillah kalau dia cepat menyedarinya.Tidak kurang pula orang-orang yang telah Allah perlihatkan ganjaran yang baik dari solat yang dipersembahkan. Opah tujukan khas catatan ini untuk peringatan bagi opah sendiri sebagai hamba Allah dan anak cucu opah yang sangat-sangat opah kasihi terutama yang masih liat dan lalai ketika mengerjakan solat.

"Ketahuilah wahai saudara-saudara sekelian, moga-moga Tuhan tambahkan kami dan kamu pengetahuan agama dan memimpin kami ke jalan lurus serta menghindarkan kami dari segala kejahatan diri dan kemahuan nafsu; bahawa sembahyang itu adalah tiang agama dan sepenting-penting asas Ialam yang lima sesudah dua kalimah syahadat. Duduknya pada sisi agama, laksana pada sisi tubuh.Jika orang tidak bisa hidup tanpa kepala, demikian pula dengan agama, tidak bisa teguh tanpa sembahyang." Demikian maksud dari sebuah hadis.


"Peliharalah sembahyang dan sembahyang pertengahan, serta tegaklah berdiri mematuhi perintah Allah" (albaqarah:238)

Ada dua hakikat bagi sembahyang, iaitu hakikat lahir dan hakikat batin.Ia dikira sempurna kiranya dapat melaksanakan kedua-dua hakikat ini sekaligus.

Perkara lahirian; berdiri, membaca, ruku' sujud dan seumpamanya itu dari tugas sembahyan yang lahir.
Perkara batinnya khusyu' hadir hati, tulus ikhlass yang sempurna, meneliti dan memahami makna-makna bacaan, tasbih dan seumpama itu dari tugas-tugas sembahyang yang lain.
Tugas yang lahir ialah bahagian badan dan anggota . Manakala tugas sembahyang yang batin, ialah bahgian hati dan rahsia kebatinannya. Yang kedua inilah tempat yang diperhatikan Allah terhadap setiap hambaNya yakni hati dan rahsia dalam dirinya.

Berkata Imam Ghazali Rahimahullah: Perumpamaan orang yang mendirikan sembahyang secara hakikat lahir saja , serta mengalpakan hakikat batinnya, ibarat seorang menghadiahkan seorang puteri yang sudah mati, tidak bernyawa lagi, kepada seorang Maharaja Agung. Dan perumpamaan orang yang alpa mendirikan hakikat sembahyang nya yang lahir, ibarat seorang menghadiahkan puteri yang kudung kaki tangannya, buta pula matanya, kepada seorang raja. Mereka akan disiksa dan dianiaya oleh raja kerana menghina kedudukan raja serta mengabaikan haknya.

Imam Ghazali menyambung lagi, katanya: Samalah perumpamaannya dengan anda yang menghadiahkan sembahyangmu itu kepada Tuhan. Awas! janganlah sampai anda menghadiahkan sembahyang dengan sifat-sifat tersebut. sehingga anda patut menerima siksaan Allah. Sekian maksudnya.

Meninggalkan dan mengabaikan solat samalah menempah tiket ke neraka jahanam. Diriwayatkan sekali meninggalkan solat 40 tahun kita akan berada dineraka.
Ketika di dalam kubur nanti pahala dari ibadat lain tidak dapat mendekati atau kita rasai sekiranya kita tidak mengerjakan solat. Nauzubillah ....



petikan dan rujukan "Nasihat Agama dan Wasiat Iman" oleh Imam Habib Abdullah Haddad

Monday, November 17, 2008

TERKINI DARI OPAH

Assalamualaikum ...

Beberapa hari ini Opah sibuk dengan satu lagi aktiviti tapi blog tetap buka dan lihat, terharu sungguh opah dengan komen dari anak Demang.terima kasih demang, teruma kasih juga En. Maountweller yang memberi sokongan pada opah.Opah ni taklah pandai sangat nak link-link tapi alhamdulillah opah telah melahirkan anak-anak yang ada jugak kepakaran yang boleh mengajar opah bila mereka balik atau ada di sisi opah, ada yang ajar opah dari jarak jauh pun.

Sudah hampir tujuh bulan opah bersara ke mana opah dan atuk pergi selalu ditanya rakan-rakan apa aktiviti sekarang dah melancung kemana? soalan-soalan yang sama dari orang yang berlainan. Begitu prihatin rakan-rakan opah, ramai juga yang tanya tak jemu ke duduk rumah? Opah jawab, Setakat ni belum lagijemu, rasa selesa dengan pelbagai aktiviti yang opah rancang bersama atuk setiap hari.

Masa bekerja dulu opah hanya libatkan diri sedikit saja dengan masyarakat maklum kita terikat dengan masa kerja. Sekarang sepenuh masa boleh bersama rakan-rakan suri rumah kawan opah. Kebanyakan mereka tak bekerja tapi ada yang begitu berminat nak berniaga kecil-kecilan, jadi dalam minggu ni opah dan rakan2 baru memulakan aktiviti perniagaan ni. Mereka ada kepakaran membuat kuih-kuih basah jadi kami cuba dengan pelbagi kuih muih termasuklah opah, buat semangat kata mereka.Nak tolong dengan wang ringgit mungkin kita tak bertahan jadi opah beri sokongan dan turut menyumbang bahan jualan. Alhamdulillah setakat ni jualan setiap hari habis , jualan bermula pukul 7.30 pagi hinggalah pukul 9.00 pagi.Kami berjualan di di hadapan pintu gerbang jalan utama ke kampung opah pembelinya dari kampung opah jugak. Setakat ini penduduk kampung opah ni walaupun mempunyai fahaman politik yang berbeza dan taraf hidup pun berbeza masih dapat bersatu hati lagi.Sebagai orang tua opah selalu ingatkan mereka apa pun fahaman kita Tuhan kita tetap satu, agama kita satu.Orang Umno ke orang PKR ke Pas ke Allah itulah Tuhan kita.Cukuplah musim Pilihan raya kita mempertahankan parti dan calon masing-masing.Berjuanglah dalam apa jua biarlah matlamatnya adalah sama untuk umat Islam sejagat.

Thursday, November 13, 2008

MASA ANAK SEDANG PERIKSA





Assalamualaikum.. wr wb....

Sekarang ni musim peperiksaan,dah lepas UPSR hari ni dah keluar keputusan. Orang yang berjaya pastilah merasa seronok yang kurang berjaya atau gagal pasti merasakan sedih. Bukan anak saja yang sedih malah dua ibu bapalah yang amat terasa sangat, opah tak rasa ada orang boleh ignore saja benda-benda macam ni. Suasana macam kecoh jugak kat sekolah dah tentulah si anu si dia ni dia tu, guru-guru pun kalut maklum orang yang mengajar nak tengok prestasi murid atau prestasi pengajaran mereka sendiri. Nampakanya kekalutan bila keputusan keluar tak sama dengan kekalutan masa nak periksa yang opah rasalah.

Opah ni taklah pandai sangat tak ada ijazah pun tapi pengalaman opahlah semasa 3 orang anak opah( anak pun 3 saja) mengambil periksa UPSR.SRP ,SPM sampai ke Matrik dan Universiti opah rasa cukup bimbang dan risau. Langkah untuk mengurangkan kebimbangan itu , mungkin anda atau orang lain pun dah buat tapi biarlah opah kongsi bersama mungkin dapat menbantu anda yang sedang menghadapi situasi ini:
1. Opah kalau boleh tak mau terlibat langsung dalam aktiviti mengumpat (kalau boleh sepanjang masa selagi hidup) Doa pengumpat sukar dimaqbulkan atau tak termaqbul.Didik anak-anak kita jangan suka mengumpat atau menceritakan keburukan orang lain.
2 . Didiklah anak supaya solat Hajat pada malam peperiksaan belikan buku panduan solat hajat padanya. Ingatkan dia selalu setelah kita berusah kita perlu berdoa supaya ilmu kekal dan dapat dikeluarkan bila menjawab. Memahami soalan dan dapat menjawab dengan tepat. tidak lupa.Mohon pada Tuhan supaya doromgkam hati anak kita untuk mengulangkaji perkara-perkara yang akan disoal nanti
3. Pada hari dan waktu anak sedang berjuang dengan soalan perperiksaan, opah masa kerja dulu akan cari waktu opah rehat untuk solat hajat dan baca yassin. kalau anak periksa waktu petangopah tak kerja) opah akan duduk di tikar sembahyang solat, baca quran atau paling koman zikir sampailah masa anak opah periksa tu dah tamat.
4. Dalam masa menunggu keputusan opah cuba kalau tak dapat tiap-tiap malam, malam Jumaat atau Isnin atau Khamis buat solat Hajat danTahajjuj supaya Allah berikan yang terbaik untuk anak-anak opah dalam peperiksaan itu.
5. Opah selalu ceritakan kejayaan-kejayaan yang dicapai oleh saudara-saudara atau sepupu atau adek beradek sebelah keluarga opah dan atuk yang telah berjaya mendapat degree, master dan phd supaya mereka rasa patut mengikut jejak langkah mereka atau merasa malu kalau tak berjaya.

Amalan-amalan tulah yang opah buat hinggalah mereka bertiga berjaya dari UPSR hinggalah ke IPTA dan dah bekerja pun dalam pelbagai bidang yang berbeza. Syukur pada Tuhan yang mengurniakan kejayaan bagi ketiga mereka. Biar apa pun bidang mereka hari ini opah rasa syukur sangat kerana mereka adalah orang yang mempunyai ilmu dalam bidang masing-masing.

Monday, November 10, 2008

DUNIA INI PINJAMAN SAJA

Hari ni Opah nak cubalah mengarang nak asah balik otak yang nak kata berkarat tu mungkin taklah tapi hampir-hampirlah. Rassa-rasanya boleh guna lagi

Pagi-pagi lagi opah dikejutkan dengan berita kematian seorang ahli qaryah yang lebih tua sikit dari opah dan dah bersara pun. Difahamkan kematiannya kerana sakit penat. Opah tidak pula terus ziarahi mayat tersebut memandangkan sudah bersiap dengan pakaian dan kasut untuk berjoging dengan atuknya. Berjoging adalah aktiviti harian opah dan atuk bukanlah setiap hari mungkin seminggu adalah 3 atau 4 kali bukan apa, niat harti tu nak juga menziarahi rumah Allah lagi sekali jadi disamping sentiasa muhasabah diri memelihara iman agar sentiasa condong rasa rendah diri pada yang Maha Pencipta opah nak jugalah memelihara kesihatan maklum nak ke Mekah mengerjakan ibadat haji memerlukan keimanan dan kekuatan fizikal. Terutama untuk mengerjakan Rukun Tawaf dan Saei. Mesti kuat dan tahan untuk berjalan berkilo-kilo kat Mekah. Jadi selepas habis berjoging lebih kurang 40 minit mengikut laluan biasa di perbatasan sawah padi berhampiran kediaman, kami pun pergilah menziarahi sahabat tersebut.

Bila menziarahi mayat secara spontan sesiapa pun termasuklah opah yang dah memang orang kata adatnya opahlah yang pergi dulu nanti , akan teringat bila aku akan mati atau bila malaikat maut akan menjemput aku walaupun difahamkanoleh tok-tok guru dalam sehari 7 kali dia datang melawat kita. Jadi itulah sebabnya kita sebaiknya menziarahi orang yang meninggal supaya sentiasa mengingati mati. Sabda Nabi Orang yang paling hampir dengan Tuhan adalah orang yang bertaqwa.Orang yang bertaqwa pula adalah orang yang selalu mengingati mati.
Jadi bagi Opah selagi kita hidup ingati mati untuk mencanai iman, menambah ilmu menambah ibadat.

Opah sekali lagi dikejutkan dengan berita kematian saudara paling tua dalam keluarga opah.
Pada 11.Nov 2008 Setelah sakit tua hampir beberapa tahun dia pulang menemui Penciptanya. Menurut Ayong kakak opah yang sulung, abang ipar opah seperti dah tahu saat kematiannya. Baru dua hari lepas opah ziarahinya. Masa tu kami berbincang untuk mengadakan Hari Keluarga 2008 bagi famili opah. Setiap tahun kami adakan Majlis Tahlil dan bacaan Yassin pada hari ini. Semua ahli keluarga opah ipar duai anak saudara sepupu cucu saudara dan semuanya akan berkumpul. Pada tahun ini kami cadangkan Majlis itu akan diadakan di rumah Ayong memandangkan keuzuran keduanya.Pada masa perbincangan itu Abang ipar opah tu telah berkata "Buatlah kenduri saya dah nak mati". Pada malam kematiannya pun dia ada menyebut dia nak mati esoknya. Sesungguhnya kekuasaan Allah yang tiada batas itu telah membolehkan hambanya ada yang dapat merasakan saat-saat akhir hidupnya dan ada sesetengahnya tidak ingat langsung saat kematiannya hinggalah dijemput Malaikatmaut, Nauzzubillah .........mudah-mudahan kita dijauhkan dari perkara tersebut. Jadi cadangan mengadakan Hari Keluarga atau Majlis Tahlil itu tetap diteruskan walaupun beliau telah pergi. Mudah-mudahan rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan bersama para solihin, Amin.Tinggallah dunia tinggallah segala yang dikasihi sesungguhnya dunia ini hanyalah pinjaman di sanalah tempat kita yang kekal.

video

Saturday, November 8, 2008

GAMBAR PERTAMA SAYA

Ini arwah bonda saya yang dikasihi bersama dua anak saya pada tahun pada tahun 1985

ASSALAMUALAIKUM...

Pertama kali buat ni...harap-harap berkekalan la penulisan ini...
Sekian...