Followers

Thursday, November 15, 2012

Zon selesa yang belum pasti

Assalamualaikum wr..wb.. selamat melangkah ke tahun 1434 Hijrah.

Tersentuh hati opah bila bersolat bersama rakan jemaah yang sudah 3 bulan tak mampu ke surau untuk berjemaah tiba-tiba pagi ini dengan bertongkat datang dengan penuh semangat mencari kelebihan dalam solat... alhamdulilah.

Solat berjemaah dengan pahala yang lebih berbanding dengan solat seorang diri. Kelebihan 27 berbanding 1 saja tentulah satu tawaran yang menarik. Jika digantikan rm27 denaan rm1 mungkin nampak.  Ganjaran dan kelebihan yang tidak nampak di mata kasar.  Tiap orang mempunyai impian pelbagai untuk berada di zon selesa di dunia dan akhirat. Itulah sebabnya kita sentiasa berdoa untuk kebaikan di dunia dan akhirat setiap lepas solat.

Dalam mencari zon selesa di dunia dan akhirat inilah melibatkan hubungan baik kita dengan pencipta dan makhluk Allah yang lain khususnya manusia.  Kadang-kadang sebagai  insan kita sangat menjaga hubungan Allah tapi kurang peduli dengan hubungan sesama insan atau haiwan... atau sebaliknya...Dua perkara yang sangat berbeza tapi amat penting dalam hidup ini selagi kita masih mampu bernafas.

Seorang pelacur telah mendapat ganjaran kebaikan dari Allah kerana kasih sayangnya kepada seekor anjing dengan memberikan air di padang pasir. Sebaliknya pula seorang ahli ibadat wanita yang sentiasa bertahajjuj sepanjang malam pula kehilangan pahalanya kerana mengurung seekor kucing tanpa makanan. 

Perancangan Allah kita tidak pernah tahu melainkan harap dan takut padaNya sentiasa. Dimaklumkan juga di akhirat nanti Mahkamah Allah bukan setakat sesama insan saja tetapi antara haiwan sesama haiwan dan manusia dengan haiwan juga ada perbicaraannya.Astagfirullah ...astagfirullah....astagfirullahalazim.

Nampaknya perbicaraan  kita dengan haiwan pun kita kena hadapi apatah  lagi perbicaraan dengan Allah, yang lebih perit lagi dengan insan lain.....mudah-mudahan Allah lembutkan hati insan lain dan boleh memaafkan kita (boleh ke?selepas kita umpat, kutuk dan aniaya dia di dunia) diakhirat nanti.

Kesalahan dan dosa pada Allah boleh bertaubat dan memohon maaf padaNya.  Terumpat (Boleh "ter") rakan boleh bagitahu dia dan mohon maaf padanya(itu pun kalau dia maaf).  Berbanding dengan haiwan kecil yang kita telah bunuh sewenang-wenangnya. 

Mudah-mudahanan Allah merahmati kita, insan lain juga akan maafkan kita tapi semut, lipas, tikus, nyamuk dan lain-lain haiwan hanya Allah saja yang tahu. Nampak macam kita di zon selesa di dunia ini dengan haiwan ini bila mereka semua dah mati tapi bila kita mati....






Tuesday, November 6, 2012

Assalamualaikum wr. wb... Zulhijjah bakal melabuhkan tirainya untuk mengakhiri 1433 hijrah dan fajar Muharam akan menyinsing memulakan awal tahun hijrah 1434 pula. 

Masa terlalu cepat berlalu, opah selalu membilang dan menyedari hari beredar pada petang Khamis malam Jumaat kerana setiap malam Jumaat semua jemaah akan akan berkumpul untuk majlis bacaan yassin dan tahlil, esok paginya pula kuliah Jumaat di Pondok Pengajian.  Selagi mengingatkan cepatnya masa berlalu spontan pula teringatkan kiamat yang akan datang entah bila.

Melalui kuliah minggu lepas ingin opah catitkan untuk ingatan sendiri dan orang lain juga mengenai Sabda Nabi, diriwayatkan melalui Abu Hurairah,

Beberapa tanda Hari Kiamat itu,

1.  Perniagaan tidak laku semuanya.  Hilang keberkatannya.
2.  Sedikit tanaman atau tumbuhan.
3.  Masyarakat suka kepada kerja umpat mengumpat di mana saja.
4.  Riba menjadi satu perkara biasa dalam kehidupan.
5.  Zina menjadi kebiasaan.
6.  Orang-orang kaya akan dimuliakan.
7.  Meninggikan suara fasik di dalam masjid.(bertempik)
8.  Lahir ahli-ahli mungkar lebih ramai dari ahli yang hak.
 
Pastinya telah ada tanda kiamat itu dan akan datang lagi tanda-tanda akhir yang akan menamatkan kehidupan ini. Mudah-mudahan kita semua diakhirkan dalam husnul khatimah, amin.


Wednesday, October 10, 2012

Gemuk belum tentu sihat dan kurus tak semestinya sakit.

Assalamualaikum wr..wb...

Bila anda satu masa dulu gemuk atau berat badan berlebihan dari yang sepatutnya tiba-tiba dalam masa beberapa bulan berat badan anda dah menurun anda kelihatan kurus sedikit (bukan banyak).

Jangan terkejut jika kekurusan yang sedikit itu telah menjadi kan kawan-kawan atau saudara mara yang dah lama tak bersua akan bertanya. (Mereka ini yang peduli akan keadaan anda,  ada juga yang tidak perasan pun kemungkinan tak nampak atau memang dia tak kisah pun)

Anda kena menjawab soalan-soalan ini, " Kamu sakitkah? kencing manis? darah tinggi? jantung atau ada penyakit kronik yang lain, Ya Allah mohon dijauhkan...

Bila anda menjawab dengan mengatakan sekarang anda cuba produk makanan kesihatan untuk sihat tapi kalau kurus itu baik sangatlah.

Seperti biasa kegemukan dengan opah sudah biasa, ahli keluarga opah makin berusia makin bertambah berat badan samalah dengan apa yang berlaku pada opah.

Bila gemuk, yang pasti tekanan darah tinggi akan bertambah, kemungkinan kencing manis pun ada, yang pasti kaki yang kecil tak sanggup lagi menampung badan yang hampir mencecah 90 kg. Lututlah yang menjadi sengsara kerana kerenah tuan badan.

Masa gemuk tidak pula ada orang yang bertanya mengenai kesakitan, kalau ada pun teman rapat. dan saudara mara yang karib dengan kita. Ramai yang akan menegur "Wah sihat ya makin gemuk dan berisi!"

Rasa bersalah dgn berat badan memang ada.

Lepas mencuba sendiri produk makanan tambahan dengan mendisiplinkan diri yang sukar nak didisiplin boleh jugalah opah berada dalam keadaan sekarang. Produk yang baik tak akan berkesan kalau kita tak dapat nak disiplinkan diri. Sabd Nabi  "Makanlah ketika lapar dan berhenti bila kenyang."

Opah telah mencuba produk kesihatan ini lebih kurang 5 bulan dan hasilnya alhamdulillah dengan izin Allah tekanan darah tinggi opah menurun dari 140/90 bertahun-tahun sentiasa diingatkan oleh doktor perubatan menjadi 117/68 , pertama dalam sejarah hidup opah macam tekanan ketika usia opah 30han.

Berat badan juga menurun walaupun belum mencapai berat ideal sebenar opah hanya 8kg saja Syukur pada Allah dan terima kasih pada semua anak menantu yang terlibat dengan produk HERBALIFE mereka.

Semoga mereka berjaya.


Tuesday, September 11, 2012

Azab kubur yang didengari haiwan.

KEMATIAN
Assalamualaikum,   Sedikit sentuhan dari Kuliah Pengajian pagi Jumaat.

Dari riwayat Muslim ,  Sabda Rasulullah "Ada pun segala binatang mendengar azab kubur" .   Maknanya semua jenis haiwan dapat mendengar suara rintihan dan raungan dari dalam kubur.  Tidakkah kita manusia berpeluang mendengarnya.  Kata orang yang mengetahui hanya orang yang boleh menyimpan rahsia saja yang dianugerahkan kebolehan mendengarnya. Jadilah seperti haiwan yang hanya boleh dengar tapi tidak pernah mengongsikan pendengaran mereka dengan kita. Subhanallah1.... Nabi Allah Sulaiman tentu lebih mengetahui kerana beliau memahami bahasa haiwan

Satu lagi kisah yang patut jadi ingatan apabila beberapa ekor lembu tidak mahu lalu berhampiran kubur yang baru saja diabadikan seorang insan yang pada hayatnya tidak baik hingga menjadi tanda tanya pada tuan punya lembu tersebut.(cerita dari Tuan guru opah)   Seorang alim telah memberitahu sebab-sebab keengganan lembu tersebut. Jika semua manusia dan jin diberi peluang mendengar semua aktiviti malaikat munkar dan nakir, rasanya tidak ada orang yang mahu mengorek liang dan menanam jenazah setiap kali ada kematian.

Mimpi seorang nenek.

Assalamualaikum wr. wb... Syawal sudah sampai ke hujungnya, dan rasanya tidak terlewat lagi bagi opah untuk mengucapkan Salam Aidil Fitri memohon kemaafan untuk semua.  Selagi bernama manusia tidak ada orang yang akan terkecuali dengan kesilapan apatah lagi sesama manusia.  Sama ada secara sedar atau tidak opah mohon dimaafkan. Mudah-mudahan tidak ada hutang bila di sana nanti.

 Setiap kali lepas Ramadan selalu kita saling mengingatkan kemungkinan Ramadhan akan datang usia kita masih Allah panjangkan.Berdasarkan pengalaman ada rakan yang tidak lagi bersama kita walaupun kemarin baru berbual atau solat bersama, pergi dijemput Allah dahulu.

Di kalangan jemaah di kampung opah terdapat seorang yang sangat kami hormati dan kagumi.  Menurut beliau usianya lebih dari 100 tahun walaupun di kad pengenalannya belum lagi mencapai 100 tahun.Dia masih sihat mampu berjalan ke surau dengan bertongkat setiap kali waktu magrib, isyak dan subuh tidak pernah tidak hadir kecuali jika ada anak-anak datang mengunjunginya atau berziarah ke rumah anak-anak..  Dia tidak sakit lutut, darah tingggi atau kencing manis.  Kalau ada masalah baginya mungkin matanya.

Pada malam selasa yang lalu nenek ini telah berpesan pada salah seorang ahli, jika saya tidak hadir solat subuh esok datanglah jengok saya mungkin saya dah tiada lagi di dunia ini.  Nenek yang tinggal seorang diri ini telah bermimpi pada malam sebelum itu dia telah jatuh ke dalam lautan yang sungguh luas, nasib baik dia terduduk pula dalam sebuah tong dan di bawa arus ke tengah lautan,Ceritanya lagi "Agaknya saya dah sampai masa untuk pergi dulul."  Kami mendengar dengan rasa terharu kerana mengingatkan cerita dan pesanan terakhr darinya.

Apabila dia tidak hadir berjemaah subuh selasa itu kami bercadang untuk menzirahinya sebelum pulang kerumah.  Belum sempat melangkah baru nak memulakan perjalanan, nampak nenek tersebut terbongkok-bongkok datang menuju surau, kami pun bertanya, "Nak ke mana?"  " Nak ke suraulah, lama sungguh orang tak azan lagikah?" Dia bertanya.  Jawab opah ,"Sekarang dah hampir pukul 7.00 kena balik cepat solat di rumah, orang dah azan lama dah, pembesar suara surau rosak...."Alhamdulillah dia masih sihat lagi walupun sudah hampir 100 tahun belum nyanyuk mampu uruskan diri.  Jiran-jiran terdekat membantunya dalam menyediakan makan dan minum memandangkan beliau menolak untuk tinggal bersama anak-anak.

Thursday, July 19, 2012

Sebelum Ramadan

Salam Rejab,Syaaban dan bakal mengunjungi kita Ramadhan AlMubarak.  Bulan mulia dan penuh keberkatan akan menjelang.   Setiap kali bulan Ramadhan  opah sentiasa berdoa bukan setakat ibadat yang diterima Allah dengan rahmat dan kasih sayangnya kita akan memperolehi pahala malah secara tidak langsung meningkatkan kesihatan diri kepada tahap yang lebih baik.

Mengubah cara makan dari yang kurang baik kepada yang lebih sihat adalah sesuatu yang amat sukar.  Opah telah terbiasa dari kecil dengan makanan berlemak, manis dan makanan bergoreng memang menyelerakan. Apabila ahli keluarga opah ada yang terkena strok dan kencing manis belasan tahun dahulu nampak macam ramai ahli keluarga yang lebih berhati-hati memilih makanan.   Sebagaimana kami tahu ahli keluarga opah ramai yang akan menambah berat badan ketika usia meningkat 30han termasuklah opah sendiri.    Keadaan lebih buruk bila kami bertemu pada hari-hari kenduri. Seronok untuk makan tak dapat diceritakan lagi di samping dapat bertemu saudara mara.   Kebanyakan anak buah opah akan merungut sambil makan juga. "habislah dieta aku hari ni...."  Boleh makan tapi pilihlah yang menyihatkan....

Beberapa minggu  lepas opah dapat merasai menu kenduri yang rasanya bagi opah cukup mudah dan tidak membebankan bagi orang berpenyakit.  Menunya Ayam bakar bersalut rempah, pecal jawa, dan kerabu sayuran bersambal kelapa dan kari daging.  Tidak perlu nasi dan daging.   Ayam, pecal dan kerabu sudah cukup mengenyangkan, dalam pecal sudah ada kentang, taukua dan pelbagai sayuran.

Bayangkan kalau ada 7 jemputan kenduri pada satu hari dan dijamu dengan menu yang hampir sama. Daerah tempat tinggal opah jamuan kenduri kahwin ada pelbagai, macam raya.  Ada buruk dan ada baiknya.  Tetamu banyak pilihan dan tuan rumah banyak tanggungan. Kenduri adalah isytihar sahaja yang wajib akad nikah.  Jika mampu berlebihan tidak menjadi masalah.

Kita di ambang Ramadhan yang penuh barakah, bulan mengumpul pahala dan mencari rahmat, merasai bagaimana menjadi orang yang lebih sabar dalam keadaan berlapar.  Merasai apa yang dirasai umat Islam  lain di mana saja yang sentiasa dalam kelaparan kerana kesusahan dan ketiadaan makanan.  Sentiasa mengingati diri sendiri kalaulah aku di situ....Tidak lupa menjaga lidah dan kelakuan untuk menjamin puasa yang 100 % markahnya.  Ulangkaji semula perkara-perkara membatalkan puasa supaya tidak tersasar untuk ingatan diri sendiri.

Mudah-mudahan Ramadhan ini menjadikan kita lebih sihat untuk menjalani ibadah puasa dan lain-lain ibadat istimewanya solat tarawih.

Tuesday, April 10, 2012

Ayah dan Bonda.

Satu ketika dulu usia opah lebih kurang 4 tahun, tidak ada pusat-pusat asuhan seperti yang ada sekarang, abang dan kakak semua telah ke sekolah. Jarak umur dengan kakak yang terdekat dengan opah adalah 8 tahun. Opah adalah peneman setia bonda. Ke mana saja dia pergi opah akan ikut. Ketika bonda mengambil upah menoreh getah atau menuai padi opah akan mengikutnya dari ladang di kaki Bukit Semanggol hingga ke perbatasan sawah. Opah sangat suka mengikutnya dan memerhatikan bonda bekerja dengan berbekalkan air minuman dan cucur bawang.Paling penting dibawa ialah kapur sireh untuk disapukan pada bekas gigitan nyamuk. Mungkin ketika itu nyamuk aedes belum ada. Dia akan menghamparkan tikar dan opah akan menanti bonda hingga selesai, kalau menoreh sampai jadi sekeping getah baru boleh pulang. Ketika bonda menoreh matanya liar memerhatikan dan mendengarkan sebarang bunyi memandangkan ladang getah berdekatan dengan hutan tebal. Di samping takutkan binatang buas bonda juga takutkan manusia yang mungkin berniat jahat. Setelah dewasa baru opah faham kenapa opah jadi peneman bonda.

Ketika ayahanda keluar berdakwah dan berjualan selama beberapa minggu atau mungkin sebulan lebih kami akan bersama bonda, makan minum seadanya apa yang ada.Kemewahan seperti hari ini tidak pernah dibayangkan sesuai kehidupan ketika itu. Selalunya bonda akan membuat nasi lemak berlaukkan sambal sardin dan sotong kering untuk dijual di kantin sekolah atau di kedai makan berhampiran. Kami kena bangun awal untuk membantu membungkus nasi lemak. Opah dan kakak akan tolong menghantarkan nasi yang telah siap dibungkus. Selain dari nasi lemak bonda juga menjual mee sanggol yang digoreng, dibungkus dengan daun rambai. Setiap petang selain dari menguti wang jualan kami juga akan pergi membeli daun pisang dan mengumpul daun rambai dari pokok di tepi rumah. Menu tradisi ini masih boleh disediakan oleh adik beradik opah. Hingga sekarang masih terasa sambalnya.


Bonda opah juga boleh menjahit pakaian, ini juga kerja sampingannya selain dari berkebun sayur dan tebu. Tebu menjadi tanaman utama bonda. Dia bukan saja menjual tebu, sebatang tebu dijual dengan harga 50 sen hingga 1 ringgitt Bonda juga telah mencipta mesin tebu sendiri dengan mengapit dua batang kayu pada pokok untuk menghimpit batang tebu bagi mengeluarkan air. Bonda bagi kami sangat hebat dalam mencari rezki. Selain berjualan nasi lemak waktu pagi dan gorengan pisang dan ubi waktu petang.

Akhirnya bonda dapat mengumpul sedikit wang untuk memulakan satu lagi perniagaan kecil-kecilan iaitu dengan menjual kain batik dan pelikat, tudung renda dari France dan baju sut untuk wanita. Pakaian ini bonda beli dari Jalan Penang di Pulau Pinang, dijualkan untuk orang-orang kampung opah secara berhutang. Bonda tidak bersekolah tapi boleh membaca melalui kelas dewasa. Mengenal nombor membaca nama bas dan menghafal ayat-ayat lazim dari Muqaddam.Beliau juga merupakan seorang jurukira dan juruaudit hebat. Boleh mengingati sesiapa yang masih berhutang dan berapa jumlah hutangnya lagi serta tarikh-tarikh bayarannya.Dia meminta kami tuliskan semua sipemiutang dalam satu buku dan catitkan semuanya. Sekiranya ada yang belum jelaskan hutang, dia minta kami tuliskan surat memohon bayarannya. Nampaknya dia mendahului PTPTN.....

Keuntungan dari jualan dan perniagaaan kecil-kecilan itu telah dikumpulkan untuk menyara kami, membantu ayahanda dan akhirnya membeli tanah tempat kami menetap dari tuan tanah. Memandangkan tanah itu agak luas juga walaupun tak sampai seekar bonda dan ayahanda telah membina rumah di kawasan yang agak tinggi memandangkan tapak lama selalu ditenggelami air. Kakinya selalu mengalami kemerahan kerana selalu mengharungi air banjir. Banjir spontan ini akan terjadi kalau hujan turun sejam tidak berhenti-henti dan akan kering dalam seminggu...... halaman rumah akan menjadi lecah berair dan berselut.

Ayahanda yang mengajar di mesjid dan surau sekitar daerah Perak tengah hingga ke sebahagian daerah di Pahang dan Selangor. Apabila ayahanda pulang dia akan membelikan bahan jualan seperti pakaian dan kitab-kitab pengajian dari kedai-kedai Arab di Bagan Serai seperti kedai Syed Munasar dan Syed Saaid. Opah sangat suka mengikuti ayahanda pergi ke kedai tersebut kerana suka dengar ayahanda berbahasa Arab dengan mereka walaupun opah tak faham pun. Semua pakaian di gunting dan dijahit oleh bonda, ketika itu kakak-kakak dan bonda akan menjahit pakaian sebelum ayahanda pergi semula. Malah ayahanda sendiri berkebolehan menjahit juga....

Ayahanda dan bonda bukan saja telah membesarkan kami 6 beradik dengan usaha sendiri tapi juga menjaga 2 orang sepupu kami dari yang dibawa dari Indon hingga mereka dewasa dan berkahwin. Selepas itu menjaga lagi 2 orang sepupu yang kematian bundanya hingga dewasa.Bagi opah mereka sangat hebat walaupun ketika itu tidak ada "Bersamamu" Kami belum lagi kelaparan walaupun makan nasi ada ketika dengan berlauk ikan sungai yang dijala sendiri oleh bonda.

Ayahanda mengajar dan berdakwah tidak cenderong kepada sebarang fahaman parti politik...Tidak pernah bersangka buruk pada sesiapa pun. Ingatannya, jangan tinggalkan solat kerana solat itu tiang agama. Allah akan tambah rezki orang yang bersyukur dan bagi orang yang kufur azabnya sangat pedih. Ada dua papan hitam di rumah kami yang sentiasa ayahanda tukar penulisannya apabila beliau pulang. Ingatan dan amarannya pada kami bukan saja dengan kata-kata tetapi diabadikan dengan tulisan di papan itu supaya kami sentiasa membaca dan mengamalkannya.

Ya Allah kasihani ayahanda dan bonda saya rahmati dan ampuni keduanya. Tempatkan keduanya di kalangan orang-orang yang beriman.

Thursday, March 22, 2012

Jangan Marah


Assalamualaikum wr...wb...

Hampir berbulan lamanya tidak menuliskan sesuatu untuk mengingati diri sendiri dan mungkin juga untuk sesiapa yang tersinggah secara tidak sengaja.

Satu masa dulu opah pernah ditanya oleh seorang Tuan Guru yang opah ikuti ketika dia mengajar mengenai berapa hadis yang telah opah hafal. Katanya lagi "Ada hafal 40 hadis? Memang secara jujur jawapannya memang tidaklah. Ketika itu opah hanya menjawab adalah beberapa hadis yang diajar oleh Pak Ustaz ketika nak mengambil peperiksaan SPM dan SRP. Tuan Guru yang ketika itu belum bergelar "Abuya" lagi hanya mengangguk-anggukkan kepalanya. Boleh bayangkan rasa hati ketika itu.

Hingga kini masih membaca dan cuba memahami hadis 40 Imam Nawawi sekadar yang termampu. Terbaru opah dihadiahkan Hadis 40 yang ditulis oleh Ustaz Zahazan Mohamed dan Haji Muhamad Zakaria. Opah ingin kongsikan Hadis 16 ini kerana perkara ini memang sangat berkait dengan kita setiap hari di mana saja dalam apa keadaan sekalipun. Hadis 16 tajuknya "Jangan Marah" atau dalam bahasa Arabnya "La Tagdhab". Opah panjangkan supaya dapat diulangi dan mengambil pengajaran darinya.


HADIS 16 JANGAN MARAH

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a. bahawa seorang lelaki berkata kepada Nabi SAW: Berilah wasiat kepadaku. Nabi bersabda: "La Tagdhab"maksudnya: "Jangan Marah" Beliau mengulanginya beberapa kali dan bersabda, "Jangan Marah".
(Riwayat Ahmad no. 8729, alBukhari no. 5765 dan al Tirmizi no 2020)

Huraian dan Inti Sari.

Pengarang kitab alIfshah berkata: "Mungkin tindakan Nabi menasihati lelaki itu disebabkan Baginda mengetahui sikapnya sering marah, sehingga nasihat ini ditujukan khusus kepadanya. Nabi SAW memuji orang yang dapat mengendalikan hawa nafsunya ketika marah.

Sabda baginda yang bermaksud.

"Bukanlah dikatakan orang kuat kerana dapat menumbangkan lawannya tetapi orang yang kuat ialah orang yang mampu mengendalikan hawa nafsunya di waktu marah."

ALLAH JUGA MEMUJI ORANG YANG DAPAT MENGENDALIKAN NAFSUNYA KETIKA MARAH DAN SUKA MEMBERI MAAF KEPADA ORANG LAIN.

Diriwayatkan daripada Nabi SAW bahawa Baginda bersabda yang bermaksud,

"Sesiapa yang menahan marahnya padahal dia boleh melepaskanya , kelak Allah akan memanggilnya pada hari kiamat di hadapan segala makhluk sehingga dia diberi hak untuk memilih bidadari yang disukainya.

Pengajaran

* Dianjurkan bagi setiap Muslim memberikan nasihat yang baik.

* Kita hendaklah mengenal perbuatan-perbuatan yang bersifat kebajikan.

* Kita hendaklah sentiasa menambah wawasan ilmu yang bermanafaat.

* Kita dianjurkan mengulangi percakapan hingga pendengar menyedari betapa penting kedudukannya.

* Islam menggalakkan umatnya meninggalkan sifat pemarah.

* Selalulah mendapatkan nasihat, mengetahui aspek-aspek kebenaran dan sentiasa menambah ilmu pengetahuan dengan ilmu yang bermanafaat.

* Sedikit bercakap dan banyak bekerja.

* Orang yang marah bertanggungjawab atas akibat perbuatan marahnya.

*Marah yang terpuji ialah marah kerana mencari keredaan Allah SWT, membela agama Allah, membela kehormatan seseorang Muslim yang dihina atau direndah-rendahkan.

Cara Mencegah Kemarahan

* Jauhi akhlak yang tercela seperti sombong, tinggi diri, bangga diri, menghina orang lain, banyak bercanda, suka perdebatan dan sebagainya.

* Didik diri dengan akhlak mulia seperti sabar, lemah lembut, tidak tergesa-gesa dalam segala hal dan sebagainya.

* Berlatih memaafkan orang yang membuat salah.

* Bersikap tawaduk.

* Mengucapkan ta'awwuz. Auzubillahhi minassyaithanirrajim.

* Mengubah posisi daripada berdiri kepada duduk atau daripada duduk kepada berbaring.

* Berhenti berbicara.

* Berwuduk.

Alhamdulillah dan syukur kiranya kita dapat mengawal kemarahan dalam apa keadaan di mana juga. Apa yang pasti opah tak mau lupa bahawa, bila kita suka marah syaitan sangat suka......