Followers

Thursday, February 28, 2013

Sumpah hantu raya...

Sekadar gambar hiasan
Assalamualaikum wr..wb...dah habis semua perayaan yang di sambut tunggu pilihanraya saja.  Bila sebut raya saja otak secara spontan ingat benda-benda yang berkaitan dengannya.  Rasa bahagia bila menyebut Hari Raya dan yang menyeramkan bila ada orang kata Membela Hantu Raya.

Opah ingat masa sekolah dulu ada cerita dalam buku bacaan di sekolah, tak ingat pula apa nama buku tersebut . Terdapat satu cerita Hantu Raya dimasukkan ke dalam botol. Ini bermakna hantu raya boleh mengecilkan dan membesar sama macam cerita jin juga.

Seorang rakan ingin kongsikan cerita mengenai kampungnya yang dikatakan sangat pelik dan penuh dengan cerita-cerita misteri mengenai jumlah pesakit jiwa yg jumlahnya agak ramai jika dibandingkan dengan bilangan penduduk bagi sebuah kampung kecil.  

Pada mula kedatangannya ke kampung tersebut terdapat 7 orang pesakit mental di kampung tersebut.  Penduduk tak ramai lebih kurang 200 orang saja ketika itu.  Ada yang pasif dan ada yang agresif.  Ada yang telah dimasukkan ke Hospital Bahagia bila ada kes polis, contoh mencederakan orang .  Pesakit  jiwa yang lama masih ada dan ada juga yang telah meninggal kerana sakit tua dan kemalangan. Sekarang masih ada lagi dan bertambah pula yang baru lebih muda.

Bermacam punca dikaitkan dengan pesakit-pesakit ini.  Ada yang dikatakan  ibunya pun sakit ketika mengandungkannya.  Ada juga yang jadi begitu setelah bercerai dengan suami , dikaitkan juga dengan sihir dari bekas suaminya. Perkahwinan dengan ahli keluarga terdekat menyebabkan anak kurang sihat.  Suami berkahwin lain isteri tertekan jadi kurang siuman. Terdapat juga kerana menuntut ilmu tapi tidak dapat menunaikan syarat-syarat tertentu.

Satu masa dulu dikatakan ketika kampung tersebut mula dibuka untuk dijadikan tempat tinggal, datuk nenek penduduk di situ bersahabat dengan jin yang bergelar hantu raya. Khidmat hantu raya ini digunakan untuk menjaga kampung. Beberapa pantang larang mesti dipatuhi terutama apabila kenduri.  Umpamanya selagi belum selesai kenduri segala sisa makanan tidak boleh dibuang ke tanah, jika dibuang tuan rumah jatuh pengsan dikatakan 'Tok Nenek' tak suka.  Kena buat pulut kuning dan sebagainya.

Hingga sekarang katanya  masih ada lagi pesakit jiwa, masalah sosial masih ada tahap serius juga walaupun ceramah, kelas agama  tahap kedatangan jemaah ke surau seperti 30 seperti dulu tidak berubah. Kalau ada perubahan sedikit sangat . Perselisihan pendapat dan pandangan memang sentiasa ada.  Perselisihan  mengenai harta pusaka masih ada antara sesama keluarga. Bahkan mengenai imam pun ada.

Kata kawan opah adakah kejadian ini kerana makhluk-makhluk  ini masih berleluasa dan berkuasa walaupun tuan-tuannya sudah lama meninggal dunianya. Mungkin ada kaitannya dan rasa opah semua perkara di atas kerana janji iblis pada Allah supaya beri peluang dia hidup untuk mengajak umat manusia semua bersamanya ke neraka nanti.Tidak kisahlah sama ada dalam bentuk hantu raya ke jin atau apa-apa saja. InsyaAllah kalau sudah dapat rasakan Allah berada dimana saja semua perkara akan terasa mudah.Tidak perlu bersandar pada makhluk seperti Hantu Raya.