Assalamualaikum wr. wb... Syawal sudah sampai ke hujungnya, dan rasanya tidak terlewat lagi bagi opah untuk mengucapkan Salam Aidil Fitri memohon kemaafan untuk semua. Selagi bernama manusia tidak ada orang yang akan terkecuali dengan kesilapan apatah lagi sesama manusia. Sama ada secara sedar atau tidak opah mohon dimaafkan. Mudah-mudahan tidak ada hutang bila di sana nanti.
Setiap kali lepas Ramadan selalu kita saling mengingatkan kemungkinan Ramadhan akan datang usia kita masih Allah panjangkan.Berdasarkan pengalaman ada rakan yang tidak lagi bersama kita walaupun kemarin baru berbual atau solat bersama, pergi dijemput Allah dahulu.
Di kalangan jemaah di kampung opah terdapat seorang yang sangat kami hormati dan kagumi. Menurut beliau usianya lebih dari 100 tahun walaupun di kad pengenalannya belum lagi mencapai 100 tahun.Dia masih sihat mampu berjalan ke surau dengan bertongkat setiap kali waktu magrib, isyak dan subuh tidak pernah tidak hadir kecuali jika ada anak-anak datang mengunjunginya atau berziarah ke rumah anak-anak.. Dia tidak sakit lutut, darah tingggi atau kencing manis. Kalau ada masalah baginya mungkin matanya.
Pada malam selasa yang lalu nenek ini telah berpesan pada salah seorang ahli, jika saya tidak hadir solat subuh esok datanglah jengok saya mungkin saya dah tiada lagi di dunia ini. Nenek yang tinggal seorang diri ini telah bermimpi pada malam sebelum itu dia telah jatuh ke dalam lautan yang sungguh luas, nasib baik dia terduduk pula dalam sebuah tong dan di bawa arus ke tengah lautan,Ceritanya lagi "Agaknya saya dah sampai masa untuk pergi dulul." Kami mendengar dengan rasa terharu kerana mengingatkan cerita dan pesanan terakhr darinya.
Apabila dia tidak hadir berjemaah subuh selasa itu kami bercadang untuk menzirahinya sebelum pulang kerumah. Belum sempat melangkah baru nak memulakan perjalanan, nampak nenek tersebut terbongkok-bongkok datang menuju surau, kami pun bertanya, "Nak ke mana?" " Nak ke suraulah, lama sungguh orang tak azan lagikah?" Dia bertanya. Jawab opah ,"Sekarang dah hampir pukul 7.00 kena balik cepat solat di rumah, orang dah azan lama dah, pembesar suara surau rosak...."Alhamdulillah dia masih sihat lagi walupun sudah hampir 100 tahun belum nyanyuk mampu uruskan diri. Jiran-jiran terdekat membantunya dalam menyediakan makan dan minum memandangkan beliau menolak untuk tinggal bersama anak-anak.