Followers

Monday, November 8, 2010

APA ERTI 9 ZULHIJJAH PADA KITA - HJH. JALILAH ABDULLAH


Salam 1 Zulhijjah 1431 Hijrah. Selamat berpuasa sunat .Mudah-mudahan permulaan yang baik akan mendapat ganjaran dari Allah SWT. Mudah-mudahan ibadat sunat ini akan diteruskan hingga 8 dan 9 Zulhijjah. Opah panjangkan catatan editor Majalah Anis bulan ini untuk kita berkongsi sesuatu, terutama bagi yang belum sempat membacanya.

Sebaik gelincir matahari pada tarikh 9 Zulhijjah di tanah Arab bermulalah ibadat kemuncak bagi jemaah haji yang wukuf di Arafah. Seafdal-afdal doa ialah doa di Arafah.

Nabi SAW sendiri diriwayatkan mula berdoa dari waktu gelincir matahari hinggalah terbenam matahari. Inilah waktu kemuncak baginda memanjangkan doa dalam juraian air mata. Haji terakhir baginda bersama umat yang sangat dikasihinya. Panjang doa baginda kerana kemuncak rindu cinta yang amat sangat untuk bertemu Allah. Hiba doa baginda kerana mendoakan kesejahteraan untuk umat yang bakal ditinggalkan sesudah sempurnanya wahyu al-Quran diturunkan. Itu sejarahNabi kita Muhammad SAW.

Setiap tahun bumi Arafah semakin ramai jumlah umat Muhammad berwukuf. Selepas solat jamak tamam Zuhur dan Asar berjemaah, khatib sudah mula membaca khutbah dalam pelbagai bahasa mengikut bangsa yang menjadi tetamu Allah di situ.

Rata-rata jemaah bagai anak kecil , sedu-sedan bertangisan menghitung dosa-dosa diri dan keluaarga di bawah tanggungannya. Benarlah Arafah bagai padang Mahsyar, perhimpuan yang hanya disaluti kain putih dengan satu matlamat, mohon keampunan kepada Allah, mohon jadi orang baru bagai bayi baru dilahirkan. Suci dari pada dosa.

Melewati pukul 12 tengahari waktu di Arafah bermula dari gelincir matahari ketika itu di negara kita telah masuk waktu Asar. Andai kata mata kasar kita dapat melihat sesungguhnya langit dan bumi Arafah ketika waktu Maghrib terasa sungguh sesak dan berasak-asak dengan turunnya ribuan malaikat, roh para Nabi da roh orang-orang soleh. Semuanya bersesak-sesak di bumi Arafah, sama-sama mengaminkan doa umat Muhammad yang memohon pengampunan daripada Allah SWT.

Lebih hebat lagi, Allah Azzawajalla turun ke langit dunia bukan hanya mahu mengangkat doa para jemaah haji sebaliknya mahu sama mengangkat doa hamba-hambaNya yang tiada di Arafah, yang tidak pergi haji TETAPI menghadirkan diri dalam suasana Arafah, berhimpun bersama keluarga di rumah masing-masing.

Mari kita ubah budaya yang tidak merasa apa-apa pada haari sembilan Zulhijjah kepada rasa ingin merebut cinta Allah. Bersiap-siaplah kita sekeluarga di rumah bermula pada petang Asar sembilan Zlhijjah dengan membersihkan diri dan berwuduk. Penuhkan majlis denga berdoa, berzikir dan memohon ampun dosa-dosa kita kepada Allah. Ketika itu bayangkan diri kita sekeluarga bersama para jemaah berselimut putih di Arafah sedang menangis menadah doa keampunan sebelum menjelangnya berbuka puasa pada hari kemuncak wukuf itu.

Selepas berbuka kita sekeluarga terus berdoa lagi minta kesejahteraan keluarga dan umat Islam sedunia. Sesungguhnya doa selepas seorang hamba berbuka puasa sangat makbul di sisi Allah SWT. Selepas solat magrib berjemaah mari kita terus bertakbir dan berzikir, membaca Quran dan melakukan solat taubat mohon Allah ampunkan dosa kita.

Jangan kita cuaikan masa "keramat" yang hanya beberapa jam membawa hingga ke tengah malam dengan sibuk memikirkan perkara yang berkait dengan nafsu makan sahaja. Sesungguhnya Arafah adalah lambang cinta kita kepada Allah.

Lambang cinta Allah kepada kita

Salam Aidiladha

3 comments:

Abd Razak said...

Salam Opah...

Semoga Opah sihat dan sentiasa dalam rahmat kasih sayang~Nya..

Terima kasih untuk peringatan hari yang sangat mutajab doanya..

Opah said...

Salam En. Razak, Alhamdulillah opah sihat walau pun sibuk sikit dengan kelahiran cucu ketiga pulak.Mudah-mudahan kita dapat manafaatkan tarikh tersebut sebaiknya.

Unknown said...

opah,
salam aidil adha... walau sudah agak berlalu... aduh, tahun ni saya memang terlepas saat itu.. lalai lah ni.. tahun lepas, ade sahabat yg ke mekah.. dikirmkan sms sbg ingatan...