Followers

Tuesday, April 10, 2012

Ayah dan Bonda.

Satu ketika dulu usia opah lebih kurang 4 tahun, tidak ada pusat-pusat asuhan seperti yang ada sekarang, abang dan kakak semua telah ke sekolah. Jarak umur dengan kakak yang terdekat dengan opah adalah 8 tahun. Opah adalah peneman setia bonda. Ke mana saja dia pergi opah akan ikut. Ketika bonda mengambil upah menoreh getah atau menuai padi opah akan mengikutnya dari ladang di kaki Bukit Semanggol hingga ke perbatasan sawah. Opah sangat suka mengikutnya dan memerhatikan bonda bekerja dengan berbekalkan air minuman dan cucur bawang.Paling penting dibawa ialah kapur sireh untuk disapukan pada bekas gigitan nyamuk. Mungkin ketika itu nyamuk aedes belum ada. Dia akan menghamparkan tikar dan opah akan menanti bonda hingga selesai, kalau menoreh sampai jadi sekeping getah baru boleh pulang. Ketika bonda menoreh matanya liar memerhatikan dan mendengarkan sebarang bunyi memandangkan ladang getah berdekatan dengan hutan tebal. Di samping takutkan binatang buas bonda juga takutkan manusia yang mungkin berniat jahat. Setelah dewasa baru opah faham kenapa opah jadi peneman bonda.

Ketika ayahanda keluar berdakwah dan berjualan selama beberapa minggu atau mungkin sebulan lebih kami akan bersama bonda, makan minum seadanya apa yang ada.Kemewahan seperti hari ini tidak pernah dibayangkan sesuai kehidupan ketika itu. Selalunya bonda akan membuat nasi lemak berlaukkan sambal sardin dan sotong kering untuk dijual di kantin sekolah atau di kedai makan berhampiran. Kami kena bangun awal untuk membantu membungkus nasi lemak. Opah dan kakak akan tolong menghantarkan nasi yang telah siap dibungkus. Selain dari nasi lemak bonda juga menjual mee sanggol yang digoreng, dibungkus dengan daun rambai. Setiap petang selain dari menguti wang jualan kami juga akan pergi membeli daun pisang dan mengumpul daun rambai dari pokok di tepi rumah. Menu tradisi ini masih boleh disediakan oleh adik beradik opah. Hingga sekarang masih terasa sambalnya.


Bonda opah juga boleh menjahit pakaian, ini juga kerja sampingannya selain dari berkebun sayur dan tebu. Tebu menjadi tanaman utama bonda. Dia bukan saja menjual tebu, sebatang tebu dijual dengan harga 50 sen hingga 1 ringgitt Bonda juga telah mencipta mesin tebu sendiri dengan mengapit dua batang kayu pada pokok untuk menghimpit batang tebu bagi mengeluarkan air. Bonda bagi kami sangat hebat dalam mencari rezki. Selain berjualan nasi lemak waktu pagi dan gorengan pisang dan ubi waktu petang.

Akhirnya bonda dapat mengumpul sedikit wang untuk memulakan satu lagi perniagaan kecil-kecilan iaitu dengan menjual kain batik dan pelikat, tudung renda dari France dan baju sut untuk wanita. Pakaian ini bonda beli dari Jalan Penang di Pulau Pinang, dijualkan untuk orang-orang kampung opah secara berhutang. Bonda tidak bersekolah tapi boleh membaca melalui kelas dewasa. Mengenal nombor membaca nama bas dan menghafal ayat-ayat lazim dari Muqaddam.Beliau juga merupakan seorang jurukira dan juruaudit hebat. Boleh mengingati sesiapa yang masih berhutang dan berapa jumlah hutangnya lagi serta tarikh-tarikh bayarannya.Dia meminta kami tuliskan semua sipemiutang dalam satu buku dan catitkan semuanya. Sekiranya ada yang belum jelaskan hutang, dia minta kami tuliskan surat memohon bayarannya. Nampaknya dia mendahului PTPTN.....

Keuntungan dari jualan dan perniagaaan kecil-kecilan itu telah dikumpulkan untuk menyara kami, membantu ayahanda dan akhirnya membeli tanah tempat kami menetap dari tuan tanah. Memandangkan tanah itu agak luas juga walaupun tak sampai seekar bonda dan ayahanda telah membina rumah di kawasan yang agak tinggi memandangkan tapak lama selalu ditenggelami air. Kakinya selalu mengalami kemerahan kerana selalu mengharungi air banjir. Banjir spontan ini akan terjadi kalau hujan turun sejam tidak berhenti-henti dan akan kering dalam seminggu...... halaman rumah akan menjadi lecah berair dan berselut.

Ayahanda yang mengajar di mesjid dan surau sekitar daerah Perak tengah hingga ke sebahagian daerah di Pahang dan Selangor. Apabila ayahanda pulang dia akan membelikan bahan jualan seperti pakaian dan kitab-kitab pengajian dari kedai-kedai Arab di Bagan Serai seperti kedai Syed Munasar dan Syed Saaid. Opah sangat suka mengikuti ayahanda pergi ke kedai tersebut kerana suka dengar ayahanda berbahasa Arab dengan mereka walaupun opah tak faham pun. Semua pakaian di gunting dan dijahit oleh bonda, ketika itu kakak-kakak dan bonda akan menjahit pakaian sebelum ayahanda pergi semula. Malah ayahanda sendiri berkebolehan menjahit juga....

Ayahanda dan bonda bukan saja telah membesarkan kami 6 beradik dengan usaha sendiri tapi juga menjaga 2 orang sepupu kami dari yang dibawa dari Indon hingga mereka dewasa dan berkahwin. Selepas itu menjaga lagi 2 orang sepupu yang kematian bundanya hingga dewasa.Bagi opah mereka sangat hebat walaupun ketika itu tidak ada "Bersamamu" Kami belum lagi kelaparan walaupun makan nasi ada ketika dengan berlauk ikan sungai yang dijala sendiri oleh bonda.

Ayahanda mengajar dan berdakwah tidak cenderong kepada sebarang fahaman parti politik...Tidak pernah bersangka buruk pada sesiapa pun. Ingatannya, jangan tinggalkan solat kerana solat itu tiang agama. Allah akan tambah rezki orang yang bersyukur dan bagi orang yang kufur azabnya sangat pedih. Ada dua papan hitam di rumah kami yang sentiasa ayahanda tukar penulisannya apabila beliau pulang. Ingatan dan amarannya pada kami bukan saja dengan kata-kata tetapi diabadikan dengan tulisan di papan itu supaya kami sentiasa membaca dan mengamalkannya.

Ya Allah kasihani ayahanda dan bonda saya rahmati dan ampuni keduanya. Tempatkan keduanya di kalangan orang-orang yang beriman.

1 comment:

Miss Etown said...

Nice Blog,Feel Free To Visit N Follow My Blog. :)