Followers

Tuesday, August 23, 2011

Antara moreh dan rumah terbuka.

Kita sudah sampai ke penghujung Ramadhan yang penuh rahmah, barakah dan magfirah. Tawaran dan peluang yang Allah SWT tawarkan hampir tamat tempohnya. Alhamdulillah bagi sesiapa yang telah dapat melaksanakan tawaran-tawaran hebat dari Khaliq kita.

Sepanjang bulan ini kita dianjurkan memanjatkan sebanyak-banyak doa dan memohon pengampunan dariNya, membaca dan memahami Alquran sebaik dan sebanyak yang boleh, bersedekah, bersolat tarawih, menghadiri majlis ilmu dan berbagai lagi perbuatan mulia yang pasti akan mendapat ganjaran berlipat ganda. Pahala di bulan Ramadan tidak sama pahala di bulan lain seperti Syawal.

Satu masa dulu jamuan moreh menjadi satu kemestian di setiap masjid atau surau setiap kampung. Boleh dikatakan setiap ahli qaryah mesti melakukan baik secara bersendiri atau berkongsi. Hinggakan ada nama dituliskan di papan kenyataan atau surau mengikut bilangan malam jamuan tersebut. Sejak sepuluh tahun terakhir ini moreh menjadi semakin kurang. Alasannya ekonomi merosot, jemaah yang melakukan solat hingga ke akhir solat berkurangan, mereka juga begitu kenyang, kanak-kanak tidak berminat dengan moreh, tidak ada orang nak uruskan peralatan jamuan tersebut(menghidang dan membasuh) orang muda berhijrah yang tinggal di kampung hanya orang tua-tua. Satu lagi alasan orang tua-tua dah tak dibenarkan makan malam kerana pelbagai penyakit. Moreh hanya diadakan sekali seminggu, kalau ada kematian ada jugalah majlis tahlil dan jamuan. Ketika ini nampak jamuan tersebut dimakan juga atau dibawa pulang oleh jemaah. Opah tidak pasti alasan-alasan yang mana paling tepat kenapa tidak diadakan, kemungkinan kesemua itu adalah penyebabnya.

Apa yang pasti, pahala mengadakan moreh itu tidak kita perolehi jika peluang ini tidak direbut. Kalau kita boleh mengadakan rumah terbuka pada hari raya dengan meriah dan hebat kenapa kita tidak cuba mengambil peluang walau satu malam sahaja dengan gandaan pahala yang juga hebat... Adakan moreh ketika berbuka puasa dan majlis tahlil didahulukan sebelumnya... nampak cara ini agak berkesan di kampung opah.



No comments: