Followers

Sunday, October 9, 2011

DI ZIARAH KELUARGA JAUH DARI KUOK, PEKAN BARU

Assalamualaikum wr wb.

Setelah merancang beberapa kali dan tidak jadi untuk bertemu saudara mara di Kuok Bangkinang, akhirnya opah dikunjungi mereka. Alhamdulillah syukur pada Allah kerena masih memanjangkan usia untuk bertemu sepupu dan anak saudara dari sana. Walau pun sebahagian besar saudara mara di sini yang masih muda memang berat untuk berkomunikasi dengan mereka dalam loghat Kampar.

Generasi kedua masih boleh bertutur dan memahami bicara dalam loghat kampar tapi generasi seterusnya berbicaralah dalam bahasa standard indon-melayu.(harap perkataan ni sesuai)
Opah masih ingat nenda opah Mailam bunda kepada bunda kami Aisyah bila berbicara dengannya seolah-olah berbicara dengan orang asing yang tidak faham langsung bahasa melayu.
Nenda sebelah ayahanda opah pula langsung tidak pernah opah berjumpa dengannya khabarnya sangat elok rupanya bernama Gandauni. Tidak pernah beliau ke Malaysia. Melayani sepupu selama beberapa hari sangat menyeronokkan. Hilang rasa bersalah padanya kerana berjanji tapi tak tunaikan.Puas hati kerana kali pertama beliau ke sini 2004 opah tak berpeluang mengajaknya ke sini kerana beberapa hal yang tak dapat dielakkan apatah lagi ketika itu opah masih bekerja. Walaubagaimanapun beberapa hari bersamanya memang terbelit juga lidah dalam loghat 'kampar'. Bukannya mahir sangat pun tapi bolehlah sekadar memahami dan membalas balik dalam loghat yang sama. Ini kerana ada perkataannya sama tapi bunyi agak lain sikit.Kedatangan mereka menyebabkan anak buah sibuk nak belajar bahasa kampar. Siap berjugak-jugak dalam fb. Sepupu opah Erna (dipangggil ayahanda opah Maryam) membawa anaknya Isalpani (Agak saja ejaannya) Ini nama Indon sekarang nama Indon dulu-dulu seperti Mailam, Mat Tuah, Gandauni, Mat Ukom, Perak(lahir atas kapal Perak) Lebih kurang sama kes dengan Feri Anugerah Makmur. Bila Isal ditanya mengenai maksud namanya terpinga-pinga dia dan bundanya. Opah tolong jawab bagi pihaknya bahawa maksud nama bagi orang Indon rasanya tak begitu penting seperti orang Melayu Islam di Malaysia.Kebiasaan kita bila dengar nama mesti nak tanya apa maksudnya tidak kira bahasa apa sekalipun. Masa kecil dulu opah selalu tanyakan apa maksud nama opah rasa macam tidak hadhir perkataan nama opah dalam bahasa arab. Ayahanda opah mengatakan nama opah mesti dieja dalam tulisan jawi dengan huruf qaf ro tho ya nun dan ya dan maksudnya subang permata yang dipakai wanita) Nasib baik ada maknanya.Sebelum datang ke Pulau Pinang mereka telah dibawa oleh anak saudara opah Haslinda menemui kakak dan abang opah di negeri Pahang bertemu abang kedua Haji Abd. Halim dan abang keempat Haji Abdulllah dan kakak kelima Hajjah HasanahAlhamdulillah opah sempat membawa keduanya jalan-jalan ke Pulau Pinang menaiki feri dan jembatan Pulau Pinang.

Oleh kerana kita ada masalah komunikasi maka berlakulah beberapa kejadian yang agak melucukan semasa kami nak makan di Gerai Makan Padang Kota Baru. Isal menempah Nasi goreng Pattaya, dia hanya mendengar pelayan menyebut NASI PA TA YA .Bila dihidangkan dia mencari-cari dalam nasi goreng itu mana petainya? Pa tta ya dalam jawi kan petai. Jawab anak opah ini Nasi goreng Siam, mana ada petai.. nasi goreng dibungkus dengan telur.. Indak lomak katanya

Malam pertama di rumah opah Bukit Meratajam,malam kedua bermalam dirumah anak saudara Nurul Huda di Nibong Tebal, esoknya bertemu sepupu opah Hajjah Salmiah di Masjid Tinggi sedang berniaga.

Menyambung perjalanan ke rumah anak saudara Dee Osman di Pantai Remis menemui kakak sulung opah Hajjah Halimah.Dalam perjalanan ke Teluk Intan sempat lagi kami singgah di Teluk Batik, Lumut.

Akhirnya kami tinggalkan mereka bermalam di rumah kanda ketiga saya Hajjah Maimunah di Chenderong Balai. Mereka dijemput anak saudara saya Dayang Raudhah dari Bandar Tasik Permaisuri dan dibawa berjumpa anak saudara saya Haji Ahmad Fuad di Syah ALam.

Membeli belah di PKNS dan akhirnya baru mereka dihantar baik ke rumah Haslinda Seri Kembangan. Haslinda membawa mereka ke Putra Jaya pada waktu malamnya. Sabtu pagi mereka bertolak balik ke Pekan Baru. Terima kasih dari mereka pada semua yang telah melayan mereka sepanjang berada di Malaysia walaupun tak dapat jumpa dengan semua ahli keluarga.

InsyaAllah tahun depan opah harap dapat menjejakkan kaki ke Pekan Kuok, Pekan Baru.

Friday, September 9, 2011

Bila neuron banyak yang dah mati....

Assalamualaikum, selamat hari raya puasa 6 kepada semua yang telah melepasinya dengan cemerlang... mudah-mudahan diterima Allah SWT.

Bagi sesiapa yang telah mendengar dan menonton Tanyalah Ustaz 8 hb September lepas mesti masih ingat kata-kata Ustaz yang merujuk pelbagai kajian saintifik mengenai penyakit nyanyuk. Hasil kajian tersebut telah menyatakan orang-orang yang nyanyuk kebanyakan mempunyai neuron yang telah mati sebelum dia sendiri meninggalkan dunia ini.

Orang-orang yang pemarah dan suka berfikiran negatif pula akan mengakibatkan stress. Stress ini juga akan mengakibatkan kematian awal neuron. Apabila banyak neuron yang telah mati...jadilah nyanyuk. Adakah ini juga penyebab alzhemier, opah tak perasaan ada tak soalan ini ditanyakan pada ustaz selepas itu.

Untuk menjadikan anda sihat keseluruhannya pastikan rohani dan jasmani anda juga sihat. Jagalah fizikal dengan baik, senaman dan memakan makanan tambahan yang berkualiti dan pastikan anda menjaga hati, mulut atau perkataan yang keluar darinya insya Allah dengan izin Allah anda akan terlepas dari musibah kesakitan. Penawar paling hebat untuk menyihatkan anda dari segala kesakitan ini adalah dengan membaca Alquran setiap hari dan zikrullah. Inilah sebahagian yang opah ingat dari program Tanyalah Ustaz 8 hb. Mungkin penonton lain merakamkan lebih lagi dari opah harap dapat berkongsi supaya kita dapat manafaatkan bersama. WaAllahua'lam.

Tuesday, August 23, 2011

Antara moreh dan rumah terbuka.

Kita sudah sampai ke penghujung Ramadhan yang penuh rahmah, barakah dan magfirah. Tawaran dan peluang yang Allah SWT tawarkan hampir tamat tempohnya. Alhamdulillah bagi sesiapa yang telah dapat melaksanakan tawaran-tawaran hebat dari Khaliq kita.

Sepanjang bulan ini kita dianjurkan memanjatkan sebanyak-banyak doa dan memohon pengampunan dariNya, membaca dan memahami Alquran sebaik dan sebanyak yang boleh, bersedekah, bersolat tarawih, menghadiri majlis ilmu dan berbagai lagi perbuatan mulia yang pasti akan mendapat ganjaran berlipat ganda. Pahala di bulan Ramadan tidak sama pahala di bulan lain seperti Syawal.

Satu masa dulu jamuan moreh menjadi satu kemestian di setiap masjid atau surau setiap kampung. Boleh dikatakan setiap ahli qaryah mesti melakukan baik secara bersendiri atau berkongsi. Hinggakan ada nama dituliskan di papan kenyataan atau surau mengikut bilangan malam jamuan tersebut. Sejak sepuluh tahun terakhir ini moreh menjadi semakin kurang. Alasannya ekonomi merosot, jemaah yang melakukan solat hingga ke akhir solat berkurangan, mereka juga begitu kenyang, kanak-kanak tidak berminat dengan moreh, tidak ada orang nak uruskan peralatan jamuan tersebut(menghidang dan membasuh) orang muda berhijrah yang tinggal di kampung hanya orang tua-tua. Satu lagi alasan orang tua-tua dah tak dibenarkan makan malam kerana pelbagai penyakit. Moreh hanya diadakan sekali seminggu, kalau ada kematian ada jugalah majlis tahlil dan jamuan. Ketika ini nampak jamuan tersebut dimakan juga atau dibawa pulang oleh jemaah. Opah tidak pasti alasan-alasan yang mana paling tepat kenapa tidak diadakan, kemungkinan kesemua itu adalah penyebabnya.

Apa yang pasti, pahala mengadakan moreh itu tidak kita perolehi jika peluang ini tidak direbut. Kalau kita boleh mengadakan rumah terbuka pada hari raya dengan meriah dan hebat kenapa kita tidak cuba mengambil peluang walau satu malam sahaja dengan gandaan pahala yang juga hebat... Adakan moreh ketika berbuka puasa dan majlis tahlil didahulukan sebelumnya... nampak cara ini agak berkesan di kampung opah.



Wednesday, August 10, 2011

BERGURU SEMULA...


Membaca Alquran sepanjang hidup kita sangatlah dituntut apatah lagi di bulan puasa yang mulia ini. Orang yang Sentiasa mengamalkannya semasa hayat akan ditemani segala kebaikan ketika berada di dalam kubur untuk menantikan hari kiamat nanti.

Kebaikan lain merupakan pahala apabila kita telah dibangkitkan semula tentulah lagi banyak Allah anugerahlan kepada pembacanya. Bayangkan 1 huruf untuk 10 pahala....kalau dah tamat sebuah quran berjuta-juta pahala yang akan kita perolehi itu pun kalau kita ikhlas membaca kerana untuk mendapat rahmat Allah semata-mata.

Membaca quran dulu dan sekarang sama saja cuma hari ini bermacam cara anak-anak diajar mengaji dengan pelbagai kaedah, iqra' menggunakan cd dengan menonton program di tv pun memang boleh membantu orang yang kurang pandai tajwid.

Al quran rasm Uthmani nampak lebih mudah dibaca bagi orang yang kurang mahir tajwid seperti opah. Ada catatan tanda bacaan dalam bahasa Arab dan ada juga dalam bahasa Melayu.

Orang dulu mengajar menggunakan istilah yang mudah dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab
Opah belajar dalam bahasa Melayu baris atas bawah dan depan, dua di atas, bawah dan depan.

Ada setengah guru pula menggunakan istilah fathah, kasrah dan dommah. Sabdu disebut Syaddah dalam bahasa Arab.Dalam bahasa Melayu jika huruf alif dibariskan atas bunyinya 'a' jika baris bawah bunyinya 'i' dan baris depan bunyinya 'u' Rasanya kita tak lupa lagi 'a' 'i' 'u' bagi harus alif yang dibariskan dengan ataas bawah dan depan.

Walaupun pada peringkat awal menyebut baris itu pun sudah cukup panjang tapi apabila kita telah mengenal tanda-tanda dan bunyinya tersebut jadi mudah. Sesiapa yang sezaman dengan opah tentu masih ingat cara membaca baris-baris ini mesti sebut dulu bukan terus dibunyikan seperti buku Iqra.

Bagi Rasm Uthmani cukup mudah bila kita telah faham tanda dan dibunyikan bagi hukum tajwidnya. Bagaimana mudah sekalipun kita patutlah tahu

1. Hukum Izhar dan huruf-hurufnya yang enam itu alif berhamzah, ghain, ha (kecil), kha,ain dan ha (besar)
Bacaannya terang dah jelas jika nun mati atau tanuin bertemu dengan huruf ini bacaannya jelas tiada dengung dalam resam osmani huruf nun mati itu dibaris matikan.

2. Hukum Ikhfa' dan hurufnya yang 15 itu.
sin,ta,jim, zal. sod,dal,kaf, fa, tha,qaf,tho,dhod,dzo, syin dan zai.
Bacaannya disembunyikan bunyi nun mati dan dengung. Resam osmani tidak ditanda baris mati seperti huruf izhar.

3. Hukum Iqlab dan hurufnya hanya satu iaitu 'ba'. Iqlab maknanya membalikkan pada bahasa dan pada istilahnya menukarkan bunyi huruf berbaris kepada bunyi mim dengan mengekalkan dengungnya.

4. Bilangan harkat bacaan juga dicatit dan diwarnakan dengan warna tertentu untuk kemudahan pembaca samaada dibacakan 2 harkat bila ada huruf mad dibelakangnya atau ditandakan dengan alif kecil di atas huruf tersebut. Jika garis panjang melintang diatas panjangnya bacaannya juga mungkin 4,5 atau 6 harkat. Gunakan jari untuk menentukan bilangan harkatnya. Lama-lama kita akan mahir apabila selalu diulang-ulang.

Baris dua di atas atau di bawah secara sama dibariskan ' = ' dibaca dalah terang dan jelas.
Baris dua di atas atau di bawah secara tak sama ' _--' adalah didengungkan.
Baris dua di depan seperti '69' tidak didengungkan kalau '99' adalah didengungkan

Inilah sedikit ulangkaji opah sendiri untuk ingatan ketika bertaddarus. Paling penting untuk ingatan sendiri, membaca tanpa ilmu yang cukup dan sanggup ditegur apabila membuat silap lebih baik dari tidak pernah langsung membaca sama ada anda mahir atau tidak. Berguru dan belajar semula adalah yang terbaik kalau kita telah lupa......

Mudah-mudahan kita dapat membaca dengan fasih, memanjang dan memendekkan sebutan pada tempat yang betul. Begitu juga dengan dengung dan tidak dengung pada tempat yang betul. Berhenti bacaan pada tempat yang ditetapkan dan maknanya tidak terjejas.


Monday, July 25, 2011

HALALAN TOYYIBA....

Assalamualaikum wr wb...

Sekali sekala cerita pasal makanan ni seronok juga. Makan semata-mata untuk meneruskan hidup bukan hidup semata-mata untuk makan. Untuk mendapatkan makanan yang halalan toiyibah sekarang di negara pelbagai kaum seperti Malaysia tidaklah sukar sangat tapi kenalah pandai pilih supaya dia jadi halal dan toiyibah bukan toiyib tapi tak halal atau halal tidak toiyibah.

Tersentuh hati bila mendengar cerita anak saudara opah yang dah dua tahun bertugas di Somaliland, makanan kurang, makan bubur dibanyakkan kuahnya kadang-kadang makan mentega yang dicairkan. Kalaulah kita berada di sana...kita memang kena memilih yang halal dulu...keutamaannya.

Malaysia yang terdiri dari pelbagai kaum dengan berlainan agama memang terkenal dengan himpunan pelbagai budaya termasuklah MAKANAN. Makan merupakan aktiviti penting bagi manusia untuk meneruskan hidup. Apa yang lebih penting bila usia semakin lanjut dan aktiviti makan juga akan diteruskan dengan pelbagai kaedah pilihan sendiri. Maknanya orang dah tua tapi masih boleh makan seperti orang muda. Tahniahlah kepada sesiapa yang dapat mengekalkan dalam keadaan begini. Semua ini rahmat Allah kepada anda.

Sifat suka masak dan suka makan kadang-kadang membawa padah dengan izin Allah. Keluarga opah kebanyakannya suka masak dan suka makan, makanan yang pedas masin dan lemak... Kuih-kuih manis agak kurang. Oleh itu ada di antaranya bila dah meningkat empat puluhan kenalah menahan selera terhadap makanan-makanan in terutama yang berlemak dan masin untuk mengelakkan kenaikan darah tinggi dengan izin Allah juga. Inilah yang dikatakan halal tapi tak toiyibah.... Makanlah dalam kuantiti yang sedikit atau agak sendiri padan patut dengan diri anda sendiri.

Ramai orang yang dah lama hidup bukan tua akan mengalami sembelit akibat pemakanan, gigi untuk mengunyah pun dah tanggal serta kurang pulak aktif atau bersenam. Orang Melayu selalunya menganggap sayur dan buah akan menyebabkan angin dan sakit urat. Pendapat ini ada juga kebenarannya melalui pengalaman kita. Kita juga telah diajar sejak kecil, dulu Ilmu Kesihatan di sekolah, cikgu ajarkan makan sayur dan buah untuk pelawas. Sudah begitu lama di ajar makan sayur dan buah tapi memang ada saja kanak-kanak yang tidak suka makan buah dan sayur. Bukan saja ibu bapa memaksa makan cikgu tadika terpaksa memujuk dan mencipta nasi goreng sayur untuk mereka..

Syukur alhamdulillah kerana kita masih mampu makan kerana ada banyak makanan dan boleh memilih mengikut kemampuan dan kesihatan. Salam akhir Syaaban dan selamat menyambut Ramadhan AlMubarak... mudah-mudahan makanan yang halalan dan toiyibah menjadi keutamaan nanti.