Followers

Wednesday, December 23, 2009

LUASNYA NERAKA....!!!

Salam buat semua, opah inginkan kongsikan bersama apa yang opah dapat dari sebuah dairi hadiah seorang teman, kalau ianya anda telah tahu jadikanlah sesuatu peringatan baru bagi diri sendiri termasuk buat opah sendiri, mudah-mudahan kita akan dapat kebaikan darinya.

Yazid Ar Raqasyi dari Anas bin Malik r.a berkata, "Jibrail datang kepada Nabi SAW pada waktu yang ia tidak biasa datang dalam keadaan berubah mukanya?"

Maka ditanya oleh Nabi SAW "Mengapa aku melihat kau berubah muka?"

Jawabnya: "Ya Muhammad, aku datang kepadamu di saat Allah menyuruh supaya dikobarkan nyalaan api neraka, maka tidak layak bagi bagi orang yang mengetahui bahawa Neraka Jahanam itu benar dan seksaan kubur itu benar, dan seksa Allah itu terbesar untuk bersuka-suka sebelum ia merasa aman dari padanya."

Lalu Nabi SAW bersabda : "Ya Jibrail jelaskan kepadaku sifat Jahanam"

Jawabnya, "Ya ketika Allah menjadikan Jahanan, maka dinyalakan selama seribu tahun, sehingga merah, kemudian dilanjutkan seribu tahun sehingga putih, kemudian seribu tahun sehingga hitam gelap, tidak pernah padam nyala dan baranya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak andaikan terbuka sebesar lubang jarum nescaya akan dapat membakaar penduduk dunia semuanya kerana panasnya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan satu baju ahli neraka itu digantung di antara langit dan bumi nescaya akan mati penduduk bumi kerana panasnya.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak andaikan satu pergelangan dari rantai yang disebut dalam Alquran itu diletakkan di atas bukit nescaya akan cair sampai ke bawah bumi yang ke tujuh.

Demi Allah yang mengutus engkau dengan hak, andaikan seorang dihujung barat tersiksa, nescaya akan terbakar orang-orang yang dihujung timur kerana sangat panasnya. Jahanam itu sangat panas dan dalam dan perhiasannya besi dan minumannya air panas campur nanah dan pakaiannya potongan-potongan api.

Api neraka itu ada tujuh pintu, tiap-tiap pintu ada bahagiannya yang tertentu dari lelaki dan perempuan."

Nabi SAW bertanya "Apakah pintu-pintunya seperti pintu-pintu rumah kami?"

Jawabnya, "Tidak. Tetapi ianya selalu terbuka setengahnya di bawah dari lain-lainnya, dari pintu ke pintu jarak perjalanannya 70,000 tahun, tiap pintu lebih panas dari yang lain 70 kali ganda" (lebih bawah lebih panas)

Tanya Rasulullah SAW "Siapakah penduduknya setiap pintu itu?"

Jawab Jibrail a.s "Pintu yang terbawah untuk orang-orang munafik, dan orang-orang yang kafir setelah diturunkan hidangan mukjizat Nabi Isa a.s serta keluarga Firaun sedang namanya AlHawiyah.

Pintu Kedua, tempat orang musyrikin bernama Jahim.

Pintu Ketiga, tempat orang shobi'in bernama saqar.

Pintu Keempat, tempat iblis dan pengikutnya dari kaum majusi bernama Ladha.

Pintu Kelima, orang Yahudi bernama Hutomah.

Pintu Keenam, tempat orang Nasara bernama Saeir"

Kemudian Jibrail diam... segan pada Rasulullah SAW sehingga ditanya , "Mengapa tidak engkau terangkan penduduk pintu ketujuh?

Jawabya, Di dalamnya orang-orang yang berdosa besar dan umatmu yang sampai mati belum sempat taubat"

Maka Nabi jatuh pengsan ketika mendengar keterangan itu, sehingga Jibrail a.s meletakkan kepala Nabi SAW dipangkuannya sehingga sedar kembali dan sesudah ssedar Nabi SAW bersabda, "Ya Jibrail sungguh besar kerisauanku dan kesedihanku, apakah ada seorang dari umatku yang akan masuk ke dalam neraka?"

Jawabnya, "Ya iaitu dengan yang berdosa besar dari umatmu"

Kemudian Nabi SAW pun menangis, Jibrail juga menangis, Nabi masuk ke dalam rumahnya tidak keluar kecuali untuk solat kemudian kembali dan tidak berbicara dengan orang dan bila solat baginda selalu menangis dan memohon kepada Allah SWT.

Dari Hadis Qudsi ; Bagaimana kamu masih boleh melakukan maksiat sedangkan kamu tidak dapat bertahan dengan panas terik matahari Ku. Tahukah kamu bahawa neraka Jahanamku itu;
  • Neraka Jahanam itu mempunyai 7 tingkat.
  • Setiap tingkat mempunyai 70.000 daerah.
  • Setiap daerah mempunyai 70,000 kampung.
  • Setiap kampung mempunyai 70,000 rumah
  • Setiap rumah mempunyai 70,000 bilik.
  • Setiap bilik mempunyai 70,000 kotak.
  • Setiap kotak mempunyai70,000 batang pokok zarqum.
  • Di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 ekor ular
  • Di dalam mulut setiap ular yang panjangnya 70 hasta mengandungi lautan beracun yang hitam pekat.
  • Juga di bawah setiap pokok zarqum mempunyai 70,000 rantai.
  • Setiap rantai diseret oleh 70,000 malaikat.
Firman Allah SWT yang bermaksud "Sesungguhnya orang yang menyembunyikan apa yang telah Kami turunkan dari keterangan -keterangan dan hidayah, sesudah Kami menerangkan kepada manusia di dalam Kitab Suci, mereka itu dilaknat oleh Allah dan dilaknat oleh sekelian makhluk." (Surah AlBaqarah ayat 159)

Berikut adalah nama-nama Syurga dan Neraka untuk pengetahuan kita bersama.

Nama Syurga,
  • Syurga Firdaus
  • Syurga Adn
  • Syurga Naim
  • SyurgaMa'wa
  • Syurga Darussalam
  • Syurga Muaqaamah
  • Syurga Al Muqqamul Amin
  • Syurga Khuldi
Nama Neraka,
  • Neraka Jahanam
  • Neraka Jahim
  • Neraka Hawiyah
  • Neraka Wail
  • Neraka Sa'ir
  • Neraka Ladhaa
  • Neraka Saqar
  • Neraka Huthomah

Friday, December 18, 2009

Selamat Menyambut Tahun Baru 1431 Hijrah

Selamat Menyambut Tahun 1431 Hijrah dan selamat tinggal 1430 yang penuh peristiwa bagi setiap individu.Bagi yang mungkin dah terlupa bacalah doa akhir tahun dan awal tahun lepas asar nanti dan selepas magrib nantisebelum membaca yassin malam Jumaat, seperti kebiasaan kita lakukan setiap tahun.

Mudah-mudahan tahun hijrah 1431 lebih membawa kebaikan dunia dan akhirat.Menambah keimanan dan amalan membuang keburukan dan kesilapan lalu.Memaafkan sesama kita jika ada kesilapan, tapi hutang kenalah bayar.(kecuali sipemiutang reda)
Hampir sebulan opah tidak update blog kerana kesibukan dengan acara perkahwinan anak dan anak buah setiap minggu bermula dari sebelum percutian sekolah lagi. Oleh kerana kampung kami kecil sahaja penduduk lebih kurang 350 orang saja setiap perkahwinan diadakan dengan cara bergotong royong jadi kesibukannya lebih sikit dari orang yang mengadakan kenduri secara kontrak. Setiap minggu ada acara mendirikan khemah dan balai, merebus telor, masak memasak mesyuarat majlis tahlil dan lain-lain lagi

Sekarang dah selesai semuanya jadual dan jadi seperti biasa semula. Salam Maal Hijrah dari opah untuk semua.

Friday, October 30, 2009

SEBELUM SAMPAI WAKTUNYA


Salam Malam Jumaat yang penuh barakah.

Malam ni malam Jumaat, setiap minggu jemaah surau kat kampung opah mengadakan majlis bacaan yassin dan majlis tahlil untuk arwah-arwah ahli keluarga semua penduduk kampung. Mudah-mudahan mereka semua sentiasa dalam keadaan yang terbaik, doa kita semua.

Bila mengadakan majlis begini, opah selalu teringatkan kedua ayah dan bunda apa tidaknya kita pun dah tak lama lagi pendek kata mungkin malam ni esok atau bila-bila saja Malaikat Maut akan datang menjemput. Kita hanya mampu berdoa mudah-mudahan dijemput dalam keadaan yang mulia dan dengan sentuhan Rahmat Allah.

Sebelum kematian, cara kematian sesungguhnya ada kaitan dengan perjalanan hidup kita, pendapat seorang ulamak .Opah masih teringatkan seorang Tok Guru sahabat ayahanda opah yang telah meninggal beberapa tahun sudah, opah sempat ziarahi dia sebelum dia meninggal.
Kata warisnya fizikalnya alhamdulilah sihat nampaknya.Dia tak banyak berbicara walau pun dulu seorang penceramah. Ketika kami ziaarahi, dia sentiasa kelihatan sibuk bertanya waktu solat dan sering mengerjakan solat walaupun bukan dalam waktu solat. Dia sentiasa dalam keadaan berwuduk- tempat wuduk disediakan dalam biliknya.Kadang-kadang dia akan tanyakan anda yang datang "Dah solatkah belum?".

Ramai orang-orang alim dan berilmu menyarankan bacalah Alquran setiap hari dengan surah-surah tertentu contoh Al-Waqiah untuk mengelakkan Nyanyuk....Paling malas pun bacalah satu muka surat pun jadilah sehari. Alquran itu Kalam Allah, ubat segala keresahan dunia ini.

Friday, October 23, 2009

TUGAS ISTERI


Salam semua.

Hari ni Jumaat jadual opah mengikuti kuliah agama.Dah 2 minggu Ustaz menghuraikan terjemahan surah AlBaqarah Ayat 232 mengenai perkahwinan, cerai dan talak.

Ada satu cerita, sebenarnya hadis yang dah diriwayatkan dan disampaikan melalui Ustaz Abu Bakar.

Seorang wanita yang ramai peminat di zaman Nabi telah dipinang oleh ramai orang, tidak dapat menerima satu pun lelaki itu untuk dijadikan jodohnya. Dia akhirnya mengambil keputusan untuk bertemu Rasulullah dan bertanya apakah tanggungjawab seorang isteri kepada suaminya?

Rasululullah pun bersabda, "Jika suami kamu berpenyakit dan tubuhnya diselaputi nanah dan berkudis kamu jilati kesemua kekotoran itu , seluruh tubuh, belum lagi habis tanggungjawab kamu terhadapnya".

Jawab wanita itu " Kalau begitu biarlah aku tidak berkahwin hingga mati".

Taati perintah Allah dan suami selagi tidak bercanggah dengan hukum.... Syurga ganjarannya.

Amin

Wednesday, October 7, 2009

Dana oh! Dana .....

Salam semua rakyat Malaysia , Indonesia dan Filipina.

Setiap hari kita dipaparkan dengan perkembangan malapetaka yang menimpa negara jiran dan saudara mara kita di Padang dan di Filipina juga. Apa yang telah terjadi tak dapatlah kita nak pertikaikan lagi ia adalah kehendak Rabbul Jalil. Sebagai hamba kita menerima dengan rasa insaf yang amat sangat, Tuhan berhak menarik balik segala rahmat yang diberi sekelip mata saja tanpa amaran apa-apa.

Rakyat Malaysia yang terkenal dengan keperihatinan terhadap kesusahan orang lain pun mula menghulurkan derma sebanyak kemampuan masing-masing dengan berharap akan mengurangkan beban saudara-saudara di sana.

Malangnya bila diwawancara oleh pelbagai sumber maklumat kita dari sini, ternyata ungkapan mangsa-mangsa kebanyakannya kurang puas hati bagaimana wang dana itu diagih2kan . Menurut sumber berita, kebanyakan dana itu akan menipis atau mengurang di perjalanan disapu oleh orang tertentu (pegawai kerajaan Indonkah?) Akhirnya yang sampai ditangan mereka hanyalah Mee Sedap yang dah tak berapa sedap lagi untuk dimakan.

Ingat.... kita mengambil hak orang yang layak menerima,mengambil tanpa keredaan orang yang memberi, janganlah mengundang kemarahan Allah dengan tindakan itu kelak mengundang bala dan bala lagi....Nauzubillah...

Wednesday, September 30, 2009

SOALAN-SOALAN CEPU MAS DI HARI RAYA!

Salam Raya masih segar lagi meskipun Raya Pertama dah lepas jauh, Raya ke Enam juga sudah berlalu. Bahang raya masih ada dengan rumah terbukanya di sana sini.

Selepas kesibukan raya, adalah masa sikit buat opah menziarah dan bertandang da beraya ke alam maya. Kalaulah dapat kita selami dan turut merasai semua rasa sahabat handai kita semua maka amanlah dunia. Tak adalah yang terkecil hati dengan luahan bicara sesama kita.

Dalam suasana keseronokan berjumpa sahabat handai dan anak buah kadang-kadang kita terlepas bicara tertanya soalan-soalan sensitif yang mencetuskan rasa kurang senang di kalangan kita.

Opah pun sama maklum manusia biasa, ada jugalah anak buah yang mengadu.

" Orang mana ada calon dah tanya bila nak kenduri, nak kawin, ni yang bengang ni......" Itulah antara soalan yang kurang disenangi oleh orang yang tidak ada calon lagi terutama anak gadis yang dah berkerjaya. Mungkin bagi setengah orang benda ni tak ada apa pun, katakan yang sebenarnya.

Satu lagi teguran, dah besar dah tinggi, melibatkan bentuk fizikal remaja tersebut, gemuk kurus, hitam putih atau lainnya dia dari kakak dan abang dia...(mungkin kakak dan abang putih lah tu....)

Lepas tu mulalah yang kena tegur ajak balik awal dan tahun depan dia malas nak beraya rumah tersebut.Tidaklah susah sangat secara spontan kita nak cari soalan yang tak menyakitkan hati orang lain.. betul tak? Mungkin boleh tanya dah habis belajar? kat mana sekarang? dah kerja ke belum?

Itulah antara yang opah boleh kongsikan sebenarnya banyak tapi opah rasa semua orang tau.... dan sedar pun.Cuma nak ingatkan diri sendiri, itu yang penting.

Tuesday, September 15, 2009

KAD RAYA...KAD RAYA...

Assalamualaikum...

Kepada semua pengunjung blog Opah, sudi-sudikanlah menerima kad raya digital pertama Opah..


Terima kasih juga kepada Kak Yong yang sudi menjemput Opah untuk menerima Kad Raya darinya. Kalau zaman dahulu, orang hantar kad raya sampai rumah, tapi sekarang, orang jemput dari rumah untuk ambil kad raya pulak...zaman berubah....



SELAMAT HARI RAYA KEPADA SEMUA PENGUNJUNG BLOG MEMORI OPAH!

Sunday, September 13, 2009

AKHIR RAMADHAN-SALAM AIDIL FITRI.

Salam akhir Ramadhan dan salam Aidil Fitr yang akan menjelma dalam masa 5 hari lagi. Para Sufi menangisi hari-hari terakhir Ramadhan mengenang tawaran hebat dari Allah akan berakhir. Ahli yang tak sufi pun menangis juga mungkin ditambah tokok dengan masalah nak sambut raya sama.
Minggu kedua dan ketiga opah sempatlah juga bersama ahli qaryah dan rakan tadarus mengadakan majlis khatam Quran secara sederhana saja di surau. Kami juga dijemput ke peringkat daerah diadakan di Masjid. Alhamdulillah dapat menghabiskan bacaan secara bertadarus bersama rakan-rakan opah yang lebih mahir mengenai ilmu tajwid. Sedaya upaya kami mencuba membetulkan bacaaan dan cuba memahami maknanya dengan bacaan tafsir pulak.

Kelas ini dah setahun lebih diadakan, bukan saja waktu bulan puasa. Alquran merupakan teman, bukan di dunia saja malah dalam qubur nanti, membantu kita ketika di Mahsyar dan ketika hendak melintasi titian Siratulmustaqim (rambut dibelah tujuh besarnya).

Selepas kita dikira dosa dan pahala nanti. Kalau kita selalu membaca dengan betul bacaan akan menjadi lancar disamping pahala yang berganda. Mengetahui isi kandungannya lagilah baik. Bagi perempuan yang hamil kalau sentiasa jadikan bacaan Alquran ini sebagai amalan harian insya... Allah permudahkan ketika anda mengandung, disamping itu berdoalah mudah-mudahan anak yang dilahirkan nanti menjadi insan sempurna akal fikiran dan tubuh badannya.

Seperti tahun2 lepas surau kampung opah juga menganjurkan Qiamullai pada 10 malam terakhir, bermula dari pukul 3.00 pagi diketuai Ustaz Abd. Halim dengan solat-solat sunat tahajjuj, taubat, tasbih. Qiamullail ini berakhir dengan makan sahur. Malam-malam lain jemaah dianjurkan buat sendiri di rumah seperti selalu. Mana tahu kita dapat dipertemukan dengan Lailatul Qadar. Pohonlah apa saja permintaan yang tidak bercanggah dengan hukum Allah insy... Dia Maha Pengampun, pengasih serta penyayang dan sangat mendengar segala permohonan hambanya.

Bagi semua anak , cucu, teman yang tersinggah, yang memang nak singgah, yang tersilap dan tersinggah masuk pondok opah ni, opah ucapkah Selamat Mengakhiri Ramadhan tahun ini dengan cemerlang,(selaras dari mula hingga akhir) dan Selamat Menyambut Aidil Fitri tahun 1430 HIjrah, Salam Tulus ikhlas, Maaf Dzahir Bathin.

Tuesday, September 1, 2009

SALAM MERDEKA

Salam Merdeka buat semua rakyat Malaysia.. Walau pun kita sedang menjalani ibadat puasa semangat untuk menyambut kemerdekaan tetap ada.

Sebagai orang kampung lain, kampung opah turut sama menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan semalam dengan cara tersendiri. Bagi kampung kami sebaik tamat saja solat tarawih satu majlis bacaan yassin dan doa selamat diadakan.Selepas itu semua jemaah dihidangkan dengan nasi daging - sup -daging rebus dan air asam tomato.

Dalam masa menunggu jam 12 malam satu ucapan dari Ajk JKKK bagi mengenang kembali sejarah kemerdekan dan memupuk semangat perpaduan dan akhir sekali membacakan tentang 7 wasiat Raja-raja Melayu. Lagu-lagu patriotik juga diperdengarkan.(Tiada tayangan filem patriotik tahun ini.Seperti tahun lepas caranya tetap sama mengira detik, menyanyikan lagu negaraku dan menaikkan bendera.
Permainan dan lontaran bunga api paling mereka suka, dalam masa dan jumlah yang terhad saja. Semua penduduk walau pun berbeza fahaman politik turut hadir bersama jemaah yang bersolat untuk memeriahkan lagi suasana di samping dapat mengajar generasi muda menghayati dan menghargai kemerdekaan yang kita kecapi hari ini.
Merdeka... merdeka...merdeka...

Sunday, August 23, 2009

BERBUKA DAN BERSAHUR


Ramadhan adalah bulan kita meningkatkan keimanan melalui pelbagai ibadat yang wajib dan sunat. Gandaan pahalanya tak payah ceritalah seronok dengar tapi nak buat banyaklah pulak dugaannya. Biar pun iblis dah dirantai tapi auranya masih banyak yang menggoda kita untuk melakukan pembaziran terutama bila nak mengawal nafsu makan.

Berbuka satu hal, jika ahli keluarga ramai, permintaan masing-masing pelbagai, juadah yang dijual juga beraneka hingga yang melihat begitu teruja walau pun rasanya belum tentu lagi. Ada keluarga makan nasi dulu, kemudian kuih.Inilah yang terjadi pada opah. Dari kecil diajar makan nasi dulu, walau pun ayahanda cuma menjamah kurma dan air suam segelas terus solat.

Bila dah berkahwin, suami dan keluarganya makan kuih dulu, alasan perut dah kenyang sikit, nasi makan tak banyak, solat terawih selesa, tak mengah dengan makanan. Mula-mula sukar nak ubah lepas beberapa tahun dapat opah tukar hingga sekarang. Opah dapat tukar kerana opah mengandung anak kedua dalam bulan puasa jadi perut dah sempit, alhamdulillah tak boleh makan banyak.

Tabiat makan kuih ni pun tak bagus juga, maklum manis lemak dah tentu mengundang pelbagai penyakit. Opah pulak suka kuih yang pedas dan masin, tapi berminyak lah pulak.Kalau dapat kawal makan dalam kuantiti yang sedikit oklah....sendiri punya badan, sendiri mau ingatlah....

Anak-anak ketika kecil mengikut saja tak banyak kerenah makan taklah memilih sangat apa yang kami makan itulah yang mereka makan. Ketika itu pasar ramadhan pun tak semeriah sekarang. Mereka terpaksa menukar cara makan bila berpisah untuk belajar, duit terhad mereka kena makan nasi dulu.Sebab semua kena beli.

Bersahur bagi opah satu masa dulu sesuatu yang sungguh berat, rasa menyesal sangat kalau boleh opah nak undur ke belakang , mana boleh orang nak ke depan. Opah tak suka bangun makan sahur, kalau bangun hanya minum air suam saja. Jadi itulah yang telah berlaku pada ketiga-tiga anak opah bila dah dewasa, bangun hanya untuk minum air saja. Nak kata apa lagi...

Alhamdulillah bila dah berkahwin mujurlah dapat ubah.Rasa tanggungjawab pada suami anak-anak menyebabkan opah bangun disamping naklah juga pahalakan. Pahala sangat besar bangun sahur supaya dapat kita buat ibadat -ibadat lain menggantikan tidur.Sunat bersahur diakhir waktu supaya kita dapat solat subuh pada awal waktu.

Ketika anak-anak masih kecil mereka selalu bersahur lewat dari kami supaya perut masih kenyang ketika bangun. Semuanya untuk galakkan mereka rajin berpuasa terutama sekali anak lelaki.

Wednesday, August 19, 2009

JUMPA TEMAN LAMA

Salam Ramadhan Almubarak untuk semua,

Dua hari sudah opah dihubungi seorang teman sekolah yang sudah tidak berjumpa hampir 35 tahun. Setelah berbual bercerita kisah di sekolah rendah, menengah kami pun berjanji untuk berjumpa. Kebetulan ibunya yang masih sihat tinggal di Sg. Bogak lebih kurang 40 km dari tempat opah. Walaupun dah hampir setahun sejak bersara opah tak pernah memandu seorang sejauh itu, tapi nak jumpa kawan lama punya pasal opah gagahkan diri juga memandangkan suami ada hal lain.

Sungguh seronok jumpa kawan lama, dalam masa yang singkat itu kami sempat menziarahi seorang teman lagi yang suaminya diserang angin ahmar, dan sedang mendapat rawatan di hospital Taiping.Walaupun perjumpaan tu memakan masa lebih kurang 3 jam rasanya memang tak cukup, bertanya khabar melalui talipon memang tak sama dengan bersua muka. Ketika ini perbualan dalam pertanyaan, kesihatan, anak cucu, kerja pastinya dah bersara pada tahun ini yang sihat dan mampu akan menyambung sampai umur 58.......

Akhir sekali kami juga sempat singgah dan bertemu seorang kawan lagi (yang ni lelaki) seorang YB yang menang dalam Pilihan Raya lepas. Dengan YB ni opah rasa dah 40 tahun lebih tak jumpa.Menurutnya, dia pernah nampak opah dalam bas masa tu dia belum masuk tentera lagi.Sempatlah dia mengajak kami minum sambil bertanya khabar. Opah tanya dia, tak pergi tolong kempen di Permatang Pasirkah? jawabnya, "Dah hantar wakil...". Sempat lagi dia bergurau atau memang betul mereka akan lakukan, "Sekali lagi kami akan bersidang atas pokok pulak bukan bawah pokok."

Tengah sedap berborak suami pulak hantas sms ada jiran sekampung meninggal dan akan dikebumikan sebelum asar. Hajat hati nak lewat balik dibatalkan spontan teringat kematian yang tidak akan menunggu sesaat atau sedetik bila sudah sampai masanya. Selamat menjalankan ibadat puasa.

Tuesday, July 28, 2009

CERITA PONTENG


Menyebut perkataan ponteng saja bagi seorang guru memang rasa bosan sangat tapi bila dah berlaku di daerah kampung dan negara opah rasa pelu juga kita ingat mengingatkan maklum masing-masing ada anak dan cucu.

Di kampung opah, nak kata ulu sangat tu tidak juga tapi kemudahan asas semuanya ada, terdapat 3 buah sekolah yang berdekatan dan berssebelahan itu menunjukkan betapa ramai penduduk kat sini. Dua buat sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah,

Sekolah rendah setakat ini masalah ponteng ni tak ketara sangatlah, kalau ada tak nampak mungkin kerana mereka masih kecil kalau ponteng, gunakan alasan sakit dan duduk di rumah. Ponteng yang serius sekarang di sekolah menengah. (Minta Allah jauhkan anak cucu kita semua)Setiap pagi penduduk kampung boleh nampak mereka berkeliaran di batas ban(taliar kampung) Berkumpul dengan motor menghisap rokok dan dalam pakaian uniform sekolah.

Kalau di bandar mungkin mereka akan Kompleks membeli belah jadi tumpuan, ini di kampung permatang sawah batas tali air jadi tumpuan, sering dikejar guru disiplin.... sedih dan geram tengok keadaan tak sepatutnya terjadi kerana sekolah hari ini semua cukup lengkap guru berijazah belaka, yang diploma dah bersara kalau ada pun boleh dibilang dengan jari.

Menurut pengetua, waris telah berkali-kali dipanggil untuk memberitahu dan mencari jalan keluar bagi menyelesaikan masalah ini tapi mereka tidak datang. Mereka datang kalau anak mereka hendak diberhentikan sekolah.Ada jugalah teguran dari orang tertentu, contoh YDP PIBG tapi apa yang berlaku anak YDP di sekolah yang sama teruk dibelasah...Mesyuarat demi mesyuarat diadakan oleh pihak sekolah, melibatkan PIBG,Pengerusi Masjid, JKKK dan wakil kampung tapi kesannya tak berapa ketara pulak, mungkin kerjasama ibu sangat perlu dlam hal ini.Sekolah opah dulu ada juga mengadakan kursus motivasi untuk ibu-bapa sebelum kursus untuk anak-anaknya. Nampak ketika itu ok jugaklah pencapaian murid-murid di sek. rendah bukan di sekolah menengah.

Kalau oarang yang membaca cerita opah ni seorang guru rasanya dah sering dengar masalah ni cuma mungkin suasananya mungkin berbeza. Kenapalah agaknya mereka tak suka ke sekolah, tak suka dan tak faham pelajaran, tak suka guru, teknik belajar yang membosankan atau pengaruh kawan-kawan. Pergi sekolah bukan perkara yang menyeronokkan lagi.....Generasi hari ini adalah pemimpin akan datang.Teramat sedih, bimbang dan takut kerana yang ponteng tu kebanyakan bangsa kita maklum di kampung itu belum kita dengar ponteng kat bandar.

Wednesday, July 22, 2009

KENDURI DI MANIR.

Salam Syaaban yang jatuhnya pada esok hari bersamaan 23 Julai 2009. Pada 5 hb. Julai lepas opah berkesempatan menunaikan jemputan kenduri anak angkat opah di Kg. Tetambah, Manir Trengganu. Anak angkat opah ni pernah tinggal dirumah opah selama 10 hari semasa BTN mengadakan program anak angkat pada tahun lepas.

Sebelum ini memang ada jemputan kenduri tapi opah tak dapat memenuhi jemputan jagi kali ini opah berkesempatan. Seronok juga tak pernah sekalipun kenduri di Terengganu opah hadiri walau pun dah banyak kali ke sana. Mungkin bagi setengah orang biasa aja. Bagi opah tidak biasa.Bertolak malam dan (tiada bas waktu siang ke T,ganu" jadi tak ada apa sangatlah yang dapat dilihat dalam kelam dan suram.

Persiapan tempat sangat sederhana dan ringkas. Makanan alhamdulillah, kari daging, kari ayam(ada kelainan pada rasa kari tersebut) kampung, sayur keladi + budu, ikan kering, rendang daging (nampaknya) ulam dan sambal belacan.Palingopah suka sayur keladi, opah tanya kenapa warnanya hitam dan kelabu je? jawab mereka , "Doh taamboh budu ke!" patutlah auranya lain je tapi sedap.Tak perlu bubur pulut hitam atau bubur kacang, tiada laksa dan mee kari atau mee goreng mamak atau roti canai untuk disantap lagi.(Ini kebiasaan di Pulau Pinang sekarang)

Opah ada dengar dari kawan-kawan lain memang macam nilah selalunya kenduri kat Tganu.
Tak payah khemah banyak-banyak pelamin pun tak perlu( yang ni tak pasti adakah semua pasangan kat sana tidak bersanding?) Seingat opah kampung opah dulu pun tidak ada adat bersanding atas pelamin,(pengantin didudukkan atas kerusi atau atas katil je) kalau ada bersanding atas pelamin, sesuatu yang sangat pelik ketika itu.Apa pun yang penting Akad Nikah dan isytihar untuk mendapat keberkatan dari Allah bagi pasangan pengantin tersebut.

Saturday, July 4, 2009

MASAK-MASAK BERSAMA IBU MERTUAKU


Salam Rejab yang mulia dan bakal menyambut bulan Syaaban pula selepas tu datanglah Ramadhan bulan kita semua berpuasa. Sekarang rata-rata ramai sedang melakukan ibadat puasa di bulan Rejab. Opah rasa sungguh berbangga melihatkan anak-anak cucu sibuk berebut-rebut peluang istimewa sampai ada yang malu nak makan depan orang kalau hari Isnin dan Khamis. Maklum member puasa awak tak boleh berpuasa.

Bila cerita pasal puasa opah selalu ingatkan apa juadah atau tentang makanan ajelah sebab jualan kurang lainlah kalau bulan Ramadhan, bahan makanan melambak-lambak kat pasar Ramadhan pilihlah mana hendak. Bila cerita pasal makanan opah ingat masa mula-mula opah mendirikan rumahtanga. Orang Perak kahwin dengan Orang Penang. Macam tempoyak nak join dengan belacan lah bolehlah kut. Ada beberapa perbezaan makanan kegemaran, menu keluarga mengikut cita rasa. ada yang opah langsung tak tau.... Susah hati tu ada juga tapi suami bagi semangat apa pun boleh belajar....

Alhamdulillah masakan orang Perak tu nak kata pakar tu taklah bolehlah nak makan tapi kari mamak Penang, kena belajar dulu, tak sama rupanya opah ingat sama aja dulu ambil aja rempah kari mana-mana brand, rupa-rupanya ibu mertuaku giling sendiri rempahnya nilah yang opah kantoi, batu giling pun tak pernah pegang, bila giling cilinya tak naik keatas batu. Terima ajalah memang tak pandai...Opah tinggal bersama ibu mertua selama 15 tahun 1979 hingga 1994 (hingga dia meninggal) lebih kurang sama dengan opah bersama ibu sendiri (keluar belajar tinggal di asrama dan bekerja).

Rupanya banyak yang opah dapat pelajari mengenai masakan dari ibu mertuaku dari petua memilih ikan yang elok untuk dibuat kari, hinggalah menebar roti canai, menyurai roti jala, membuat roti telur dan membalut ketupat pulut dengan daun palas. Ada juga persamaan dengan bonda sendiri tapi tak banyak. Tapi rendang tok orang Perak tetap menjadi pilihan bila raya. Opah sangat berterima kasih kepada dua orang insan ini bonda dan ibu mertua yang telah melahirkan, menjaga dan mendidik opah dan berkorban apa saja(arwah bonda tersayang) dan ibu mertua yang tidak lokek, sentiasa membimbing dan mengajar opah pelbagai perkara paling istimewa mengajar opah pelbagai menu keluarganya maklum untuk santapan anakanda kesayangannya.(Arwah ibu mertua yang dikasihi)Sebenarnya jasa mereka tak dapat nak dibalas dengan kata-kata atau wang ringgit hanya Allah yang akan membalasnya.AminSemasa belajar tulah opah tahu macam mana nak uli roti canai, kenapa bila ditarik tak koyak, roti jala disurai dengan daun pisang aja tanpa acuan atau ibu mertua gunakan jari je....Membalut ketupat dengan daun palas pun bukan semua orang boleh silap-silap bila direbus masuk air kalau tak pandai, atau berkemungkinan jadi ketupat betina..silap balut lah tu.

Bukan saja opah belajar masak dan belajar menyukai makanan pilihan mereka, maklum tinggal sebumbung dengannya selama 15 tahun, keluarga suami juga belajar menyukai makanan kesukaan keluarga opah, masakan ompok ikan sungai campur tempoyak, nasi himpit dan kuah kacang dan lodehnya, rendang pedas ayam dan rendang tok. Mula-mula tu memang susah juga tapi lama kelamaan bolehlah walau bukan 100 %.Satu saja yang opah tak berapa selesa nak makan hingga sekarang ikan tanpa sisik...kureng sebab bonda dulu tak makan jadi opah pun tak makan. Tidaklah dapat opah menikmati sepenuhnya keenakan sembilang, keli, pelotan, seludu....oleh kerana depa ni semua dijadikan Allah tanpa sisik....

Friday, June 19, 2009

JOM DAPATKAN TAWARAN TERHEBAT DI BULAN MULIA


foto kredit iLuvislam

Salam untuk semua,
Sepanjang masa kita selalu digembar-gemburkan dengan promosi dan pelbagai tawaran dari pelbagai agensi tak kiralah perniagaan beraneka jenis dan perkhidmatan. Kalau kat kampung opah ni dah kurang sikit bab rumah bertuah, gores dan menang. Skim cepat kayalah, bermacam-macam skim, baucar lah koponlah. Opah suka jugak yang rumah bertuah tu, biasanya opah akan tanya itu dan ini last sekali, jadi kalau opah ni bertuah bagilah apa yang nak bagi tu tak payahlah bayar..... duit ke. Kalau kena bayar itu belilah tu... tak ada tuahlah teknik awak nak lariskan barang je.

Tawaran yang opah nak sebut ni sebenarnya lebih hebat dari segala-galanya di dunia ini. Takada satu syarikat pun yang berani tawarkan. Opah juga nak ucapkan selamat menyambut Rejab (bulan Allah) yang jatuhnya pada hari Rabu ini (Kebanyakan kalendar) 24 hb. Julai 2009. Jika diizinkan Allah kita akan bersama menyambutnya. Tawaran pada bulan Rejab inilah yang opah sebutkan pada diri sendiri dan anak cucu serta rakan taulan supaya kita rebut.

Banyaklah kelebihan bulan Rejab ini antaranya.
1. Sabda Nabi, SAW Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat. (Alhadis)
2. Sabda Nabi SAW juga; Bulan Rejab bulan Allah, Bulan Syaaban bulanku, bulan Ramadhan bulan umatku.(Alhadis
3 Kemuliaan Rejab denan malam Israk Mikrajnya, Syaaban dengan malam Nisfunya dan Ramadhan dengan Lailatul-qadarnya.(Alhadis)
4 Malam awal Rejab mustajab doanya (dalam kitab Raudhoh Imam Nawawi)
5. Puasa ssehari pada bulan Rejab mendapat syurga yang tertinggi(Firdaus), puasa 2 hari dilipatgandakan pahalanya. (Alhadis)
6. Puasa 3 hari pada bulan Rejab dijadikan parit yang panjang menghalangkan dia ke neraka (panjangnya setahun perjalanan) (ALhadis)
7. Puasa 4 hari pada bulan Rejab diafiatkan dari bala dan daripada penyakit yang sukar diubati dan daripada fitnah dajal dihari qiamat. (H1N1 termasuklah) (Alhadis)
8 Puasa 5 hari dibulan Rejab aman daripada azab kubur. Puasa 6 hari keluar dari kubur bercahaya mukanya.(Alhadis)
9 Puasa 7 hari di bulan Rejab ditutup daripada nya 7 pintu neraka.(Alhadis)
10. Puasa lapan hari di bulan Rejab dibuka baginya lapan pintu syurga. (Alhadis)
11 Puasa sembilan hari pada bulan Rejab keluar dari kuburnya lalu menyeru : Lailaha Illallah... tidak ditolak dia masuk ke syurga. (Alhadis)
12 Puasa sepuluh hari pada bulan Rejab Allah jadikan baginya hamparan perhentian di titi Sirotolmustaqim pada tiap-tiap satu batu (KM) (Alhadis)
13 Puasa 16 hari pada bulan Rejab akan dapat melihat wajah Allah di dalam Syurga, dan orang pertaman menziarahi Allah di dalam syurga.(Alhadis)
14 Puasa sembilan belas hari pada bulan Rejab dibina baginya sebuah Mahligai dihadapan mahligai Nabi Allah Ibrahim dan Nabi Allah Adam.(Alhadis)
15 Puasa 20 hari pada baulan Rejab diampunkan segala dosa nya yang telah lalu. Maka mulaikan beramal barang yang daripada umurnya (pembaharuan umur) (Alhadis)
16 Berkata Saidina Ali:

* Puasa Rejab 13 hari seperti puasa tiga ribu tahun.
* Puasa Rejab 14 hari seperti puasa sepuluh ribu tahun.
* Puasa Rejab 15 hari seperti puasa seratus ribu tahun.

antaranya lagi
23. Orang yang lemah dari berpuasa pada bulan Rejab hendaklah bersedekah tiap-tiap hari sekurany-kurangnya sebiji roti. (Alhadis)

Antara Amalan yang boleh dilaksanakan di bulan mulia ini.

1. Berpuasa dan lafaz zikir
2. Solat-solat sunat mengiringi solat fardhu.
3. Sunat Israk, Dhuha dan Tasbih.
4. Berdoa memohon keampunan dan taubat, terima amalanibadat, selamat dunia dan akhirat minta lepas dari azabNya di akhirat
5. Bersedekah dan berzikir Lailaha Illallallah.... Allahuakbai 100 kali lepas solat subuh dan Asar
6. Bertasbih Subhana Rabbiyal A'la 100 kali
SubhanAllahiwabihamdih, SubhanAllahilazim 100 kali
SubhanAllah Walhamdulillahi WallAllahuakbar, Walahaulawalaquataillah billAllahil Aliyyilazim 100 kali

7 Selawat ke atas Nabi 10 atau 100 kali
8 Istigfar -selalu disarankan oleh Tok Guru "AstagfirullAllahal Azim Waatubu ilaih" 70 pagi dan 100 petang. ertinya "Aku mohon ampun kepada Allah Yang Maha Agong dan aku bertaubat dengannya"
9 Membaca Alquran dan istigfar kepada ibu dan bapa, seperti doa selepas solat "Allahummagfirli waliwalidaiya...... sampai habis)
(untuk lebih memahami rujuklah buku-buku fazilat Rejab yang ada di pasaran)

Banyak lagi amalan dan kelebihan yang Allah tawarkan kepada kita bulan ini mudah-mudahan kita semua dapat merebut peluang istimewa ini sebaik mungkin. Kalau kita mampu berpusu-pusu ke jualan separuh harga, harga istimewa, jom sana jo sini mengapa tidak jom kita puasa, jom solat sunat dimalam hari ,jom bersedekah, jom kita istigfar dan muhasabah diri dan jom bertaubat..... Jangan lupa .............. Rabu 1 Rejab 1430 Hijrah bersamaan 24 hb. Jun 2009 Jom....jom jom beribadat.......untuk keamanan dan kesenangan diakhirat.Wallahua'lam.

Rujukan opah: Fazilat REJAB, SYA'BAN DAN RAMADHAN oleh Ust. Budiman Radzi.

Saturday, June 13, 2009

REDZALAH KITA DENGAN TAQDIRNYA


Salam dari opah untuk semua.

Percutian yang lepas banyak opah habiskan masa dengan menziarahi kaum kerabat disamping menghadiri walimatulurus anak buah opah dan anak sahabat handai.Ada yang dekat dan ada pula yang memakan masa 5 atau 6 jam termasuklah waktu berhenti rehat dan solat dalam perjalanan.Untungnya perjalanan jauh kita boleh menjamakkan solat, alhamdulillah perjalanan opah tidaklah bermasalah sangat kalau ada pun masaalah sendiri buatlah.

Perkahwinan yang opah hadiri ini adalah sebelah pengantin perempuan (anak saudara opah), Sebelah suaminya dari Mercang, Marang, Ganu kitelah. Sebelah perempuan dari Raub, Pahang.

Kaum kerabat dari Pahang ni dah menyewa sebuah bas untuk menghantar penganatin perempuan pada malam kenduri sebelah lelaki lebih kurang pukul 10 malam bertolak dijangka sampai sebelum subuh. Opah tidak ikut sama cuma sentiasa telefon untuk mengikuti perjalanan mereka maklum kakak opah turut sama dalam bas tersebut.

Alangkah terkejutnya opah bila kalli kedua opah telefon pukul 5 mereka masih di R&R Batu 3 Gambang nak solat subuh, tayar bas pancit dari pukul 1 hingga pukul 5. Oklah juga dekat situ ada surau dan tandas boleh lepak dan tidur.

Keesokannya selesai kenduri selepas ke Kuala Trengganu malamnya mereka bertolak ke Pahang semula, sekali lagi 3 tayar sekali pancit bukan dekat R&R lagi tapi tengah hutan berhampiran Chenor.Kali pertama tu oklah tapi kali kedua kita pun tertanya2 jugalah. Bila diperiksa 3 tayar tersebut adalah tayar tampal yang terkeluar lapisannya. Waktunya sama juga pada pukul 1 hingga pukul 5 pagi kat tepi hutan menantikan tayar diganti.

Kasihan kakak dan ahli rombongannya yang juga ahli keluarga terdampar kat situ. Alhamdulillah akhirnya mereka sampai juga ke kampung dengan selamatnya.

Semasa opah mengajar dulu memang selalu juga buat rombongan sekolah melawat atau bersama rakan-rakan guru semasa kursus, pernah juga bas kami tersangkut pada pasir pantai kat PCB sungguh mengharukan nak menolak bas begitu besar oleh guru-guru yang semuanya perempuan tepi laut pulak tu,nasib baik ada bebrapa orang lelaki yang dalam perjalanan ke KL datang membantu kami hingga bas dapat melepasi lubang pasir.

Perjalanan jauh memang menyeronokkan tapi boleh jadi sebaliknya, opah selalu ingatkan diri sendiri, anak-anak dan murid-murid ketika bersama mereka pastikan sebelum memulakan perjalanan bacalah doa supaya kita selamat pergi dan balik.

Pastikan kita tidak abaikan solat ketika dalam perjalanan, elakkan cerita2 lagha dan mengumpat dalam bas supaya Allah sentiasa lindungi kita.Kalau kita telah menjaga dengan baik semuanya tapi masih lagi ditimpa musibah, Allah hendak menduga kita redzalah kita dengan ketentuannya.

Tuesday, June 2, 2009

TETAMU TAK DIUNDANG


Salam untuk semua,

Sekarang musim mengadakan walimatulurus, sana sini kenduri setiap hujung minggu atau hari biasa pun ada yang mengadakan majlis kenduri mungkin kerana tarikh tak boleh diubah memandangkan terlampau ramai inginkan tarikh yang sama.

Sebagai orang yang dijemput kita wajib menghadirikan diri walau pun mungkin ada 5 atau 6 jemputan setiap hari. Hadir untuk raikan rakan yang kenduri nak makan mungkin dah tak terdaya lagi. Selalunya kita dijemput baru kita hadir, ada juga tetamu yang tak diundang tapi menghadirkan diri dengan tujuan lain. Opah tak pasti orang lain pernah mengalami hal ni.Beberapa rakan mengingatkan opah semasa hendak mengadakan walimah anak sulung opah dulu. "Hati-hati dengan tetamu tak diundang!" Pastikan bilik pengantin dan almari tempat menyimpan barang berharga ada ahli keluarga terdekat yang sentiasa memerhati dan pastikan tidak digeledah oleh tetamu tak diundang tadi.

Macam tak percaya pada suatu majlis perkahwinan anak rakan suami opah, cincin perkahwinan hand phone dan lain-lain barang berharga disapu oleh tetamu tak diundang.Apa yang lebih sedih lagi satu album wang yang dihantar oleh pihak lelaki juga pernah didapati kosong dibawah katil sang pengantin, sekelip mata, ribuan wang hantaran disapu bersih.

Berhati-hatilah jika kita mengadakan kenduri di rumah terutama rumah kampung yang banyak ruang dan pintu-pintu yang membolehkan tetamu tak diundang ini menerobos dan menyamar jadi tetamu yang nak tolong ambil itu dan ini dalam rumah atau bilik pengantin...

Saturday, May 23, 2009

PENANTI YANG SEDANG MENANTI

Salam untuk semua.

Sudah lama opah tak menulis apa pun, bukan kerana teruja sangat nak mengundi kali ketiga dalam masa baru 11/2 tahun ini, menanti sangat pun tidak tapi rasa lega juga bila calon BN tidak bertanding bukan seronok sangat nak pangkah bebas atau pkr. Bila bertanding berlakulah ceramah dan kempen yang mengata lawannya tidak hebat yang baik hanyalah dia. Pengikut-pengikut baru nak bertegur sapa setelah perang kempen pilihanraya kali 2 dulu. Perang kali 1 pun tak habis lagi kesannya. Kalau bercerita kebaikan yang mungkin dia boleh buat kalau diberi peluang oklah juga tapi kalau masing-masing membongkar keburukan orang lain untuk berkempen, tulah yang opah rasa sangat takut kerana kita mesti ingat Allah akan buka aib kita di akhirat nanti jika di dunia ini kita suka buka aib orang.(Opah pun ingatkan diri opah juga)


Makcik-makcik kat kampung opah asyik bertanya " Tak mengundi takpa ka?" ada yang tanya "Tak undi tak salah ka?" "Awat polis ramai sangat kat Penanti dan Bukit Mertajam? Ramai sangat ka orang jahat kat tempat kita ni?

Opah tanya mereka " kenapa tak mau keluar undi?" Bermacam alasan yang dapat, tak larat, nak undi sapa pulak berapa kali nak undi orang mengundi 5 tahun sekali, takut tengok muka orang (perayu undilah tu) chenge sangat(garang), macam nak gaduh saja.Ada yang nak pergi kenduri jauhlah pulak. Masing-masing dok bertanya sapa calon ni tak kenai pun?Akhirnya kita tanya kita jawab sendirilah.

Penanti memang menanti tapi rakyatnya belum tentu lagi, maklum dalam Malaysia ni pengundi paling pandai berpolitik dan mahir mengundi adalah orang-orang di Parlimen Permatang Pauh, dengar kempen selalu keluar mengundi pun selalu. Apa pun yang opah rasa semua mereka mahukan kedamaian bukan pergaduhan tak kira parti mana pilihan mereka.

Sunday, May 10, 2009

SETIAP HARI ADALAH HARI IBU

Salam buat semua yang opah kasihi dan ingati terutama ibu-ibuyang masih muda dan yang seusia dengan opah. Terima kasih pada anak-anak yang mengucapkan Selamat Hari Ibu buat Opah tanda ingatan dan kasih sayang bukan pada hari ini saja.

Setiap hari, bagi opah adalah Hari Ibu yang patut diraikan dan diistimewakan untuk mengekalkan Hubungan yang baik dengan Allah SWT dan sesama insan. Marilah kita jana iman kita dengan mengekal dan menambah baik akhlak kita disamping membuang jauh-jauh sifat-sifat buruk kita semoga hari mendatang lebih baik dari hari yang telah berlalu. Ingati ibu kita setiap hari bukan pada 10 Mei sahaja. Sekurang-kurangnya 5 kali sehari selepas solat doakan kebaikan untuknya samaada beliau masih hidup atau sudah tiada.

Saturday, April 11, 2009

DI MANALAH SILAPNYA

Salam untuk semua,

Masa opah di sekolah rendah dulu cerita Si Tanggang dan Malim Kundang memang dah terpahat dalam hati opah dan rakan-rakan sezaman dengan opah. Rasa takut sungguh mengingatkan sumpahan seorang ibu terutama bila melawat Batu Caves sekarang dah jadi Kuil Hindu

1. Opah kira perlakuan siTanggang zaman silam sudah berkurangan di zaman serba canggih dan lebih islamik, rupayanya tidak. Kalau tak salah opah pada 7 April lebih seorang ibu meluahkan rasa terlukanya hati dan perasaanya kerana tingkah laku anaknya dalam sebuah akhbar, penulis menamakan tajuk penulisan itu si Tanggang moden(Opah pinjam tajuk ini). Perkahwinan antara dua darjat ini merenggangkan antara si anak dari ibu malang ini, walau pun rumah ibu ini telah diubah suai seperti lengkap untuk menantu kayanya menginap, tenyata ia masih kurang senang nak pulang ke rumah mertuanya hingga sampai ke tahap membawa air mineral untuk minuman kalau pulang. Ada ketikanya mereka lebih suka menginap di hotel.
(alhamdulillah kita tak tau siapa dia tidak dinyatakan penulis -baguss... bercerita untuk iktibar bukan mengumpat)

2. Seorang ahli qaryah kampung opah bertahun-tahun tidak diambil peduli oleh anak tunggalnya yang hanya tinggal lebih kurang 60 km dari sini.Usianya melebihi 85 tahun hampir nyanyuk (Minta Allah jauhkan kita dari perkara begini) Anaknya dari kalangan orang yang berada jugalah (makan gaji) . Sekarang makan minum dibiayai Pejabat Kebajikan Masyarakat dan diawasi dan diuruskan oleh jiran tetangga.Rasanya dah banyak kali juga hal ini dimaklumkan kepada sang anak........oleh jiran tetangga mengenai keuzuran ibu tua ini.

3. Seorang sahabat pula bercerita adiknya seorang jurutera telah berkahwin dengan seorang wanita jurutera juga anak tunggal lebih kurang macam cerita no. 2 tadi menetap di kampung isteri langsung tidak pernah pulang . Anak bongsu dari 7 beradik.Apa yang baik sikit adik beradik ramai boleh menjaga kedua ibu bapa yang telah uzur.

Selalunya cerita begini adalah hasil tak sefahaman pendapat dalam pemilihan jodoh, kurang didikan agama, masalah dalaman keluarga (bergaduh sesama ahli keluarga), perceraian contohnya boleh menggangkan hubungan anak dengan kedua ibu bapa terutama kalau sebelah pihak menanamkan rasa benci kepada pihak sebelah lagi.(mungkin ibu atau ayah)

Pada ibu dan bapa restu dari anda berdua amat penting dalam perkahwinan, janganlah kerana terlalu marah sehingga mengeluarkan perkataan yang tidak baik contoh sumpah..... perkataan yang tak baik.Ada juga yang kuat berleter bila anak dan menantu sampai dirumah.

Perlakuan kita hari ini menjadi tontonan anak-anak janganlah kita lupa sejarah akan berulang. Kedua orang tua kita atau anak kita tidak ada gantinya di dunia ini. Wang bukanlah segala-galanya yang muda juga akan mati apatah lagi orang tua.Mudah-mudahan anak-anak kita semua akan sentiasa mendapat petunjuk dan rahmat, terlindung dari perbuatan yang keji.

Wednesday, April 1, 2009

Mengalahkan Jaguh Gusti Arab

Rukanah satu nama yang amat terkenal di kota Mekah sebagai seorang yang kuat dan bertubuh sasa. Dia sangat terkenal tiada orang yang tidak mengenalinya dan berani pula menentangnya.Sentiasa bangga dengan kekuatannya, malah berani mencari lawannya.

Nabi Muhammad s.a.w mengetahui akan kemasyhuran Rukanah itu.Kekayaan dan keangkuhan nya sering diperkatakan orang ramai. Terlintas dalam fikiran Nabi jika Rukanah ini dapat diajak memeluk agama Islam, beliau boleh mendatangkan kesan kepada usaha dakwah Rasulullah s.a.w.Pada satu ketika datanglah kesempatan Nabi untuk berdakwah dengan baik kepada Rukanah baginda sangat berharap berhasil apa yang terlintas dalam fikirannya itu.

Waktu itu Rukanah berada di Syi'b(jalan dekat bukit Mekah). Nabi bertemu dengannya dan berkata,
" Wahai Rukanah!,belumkah engkau bertaqwa kepada Allah dan menerima agama yang aku sampaikan?"
Jawab Rukanah,
"Muhammad, apakah buktinya sebagai tanda di ats kebenaran agama engkau?"
"Bagaimana jika aku dapat mengalahkan engkau dalam bergusti, adakah engkau akan beriman kepada Allah dan Rasul Nya? Bertanya Nabi s.a.w.
"Baiklah, wahai Muhammad." Rukanah menyambut pelawaan.
"Bersiaplah engkau," perintah Nabi.
Rukanah sangat yakin dan sombong dan menganggap Nabi hanya berolok-olok atau main-main dia pun bersiap sebagaimana selalu untuk menghadapi lawannya.
Nabi dapat memegang badan Rukanah dan degan cepat membantingnya. Rukanah menjadi terkejut (beruk barangkali) dan meminta ulangi sehingga tiga kali masih tak dapat melawan bantingan Nabi Muhammad, akhirnya dia mengaku kalah dalam kehairanan sangat pada kekuatan Nabi.
Selain Rukanah Nabi s.a.w juga berjaya menentang Abu Aswad AlJumahy yang masyhur dengan keistimewaannya sendiri. Pernah beliau tegak di atas sekeping kulit lembu dan menyuruh sepuluh orang cuba menarik kulit itu dari tapak kakinya. Beliau tetap tegak berdiri bagaikan batu besar malahan kulit tersebut yang koyak kerana tarikan tersebut.
Nabi telah mengajaknya berlawan sebagai satu jalan dakwah kepadanya memeluk Islam.
"Jika engkau dapat menjatuhkan aku, aku akan beriman kepada engkau," demikian kata Abu Aswad kepada Nabi. Beliau sendiri yang memberikan syarat, berlainan dengan Rukanah yang diajak Nabi jika kalah.
Cabaran Aswad itu diterima oleh Nabi s.a.w..Nabi juga berjaya menjatuhkan Aswad sehinggga mengalami kekalahn yang memalukan. Walaupun kalah beliau tidak jadi beriman dan tidak menepati janjinya.
Walau apa yang terjadi akhirnya, Nabi telah berjaya menundukkan mereka dengan tenaga luar biasa yang berasal dari kekuatan iman kepada Allah.Baginda telah melakukan dakwah kepada orang ramai menurut kemampuan dan keadaan masing-masing. Nabi Muhammad Pemimpin Yang Terunggul.

Petikan dari Kisah Ringkas Kehidupan Rasulullah S.A.W -NAWAWI DUSUKI.

Monday, March 23, 2009

NAK JADI TEMAN RASULULLAH DISYURGA?

Assalamualaikum.. wr..

Baru-baru ini seluruh umat Islam serata dunia menyambut Hari keputeraan dan kewafatan Nabi kita Muhammad SAW iaitu pada 12 Rabiulawal lepas bertepatan pada hari Isnin.Ramai antara kita berpuasa sunat pada hari yang kebetulan hari bersejarah bagi umat Islam.

Di surau opah turut mengadakan Majlis Maulid tersebut. Sambutan secara sederhana dengan majlis ceramah dan sedikit jamuan ringan.

Di sini opah nak kongsikan apa yang Penceramah jemputan dari PUZ negeri Pulau Pinang itu sampaikan pada petang itu. Antara perkara yang beliau sentuh adalah bagaimana hendak mencontohi Rasulullah MAKAN....Kalau kita sayang dan kasih kepada Rasullullah contohilah perkara yang semua orang lakukan setiap hari...Beliau menyenaraikan bagaimana Rasullulah menjamah rezkinya setiap hari, menggunakan 3 jari, tidak membuang makanan yang jatuh dari pinggan,makan dan basuh jika dikhuatiri najis(Firaun juga tidak membuang makanan yang jatuh)makanan yang terjatuh itu mungkin disitulah keberkatannya, mengambil makanan paling hampir dulu, menjilat kesemua jari selepas habis makan - hisapan itu akan menghancurkan lagi bahan makanan kita tadi dengan lebih sempurna. Inilah antara yang opah ingat rasanya di luar sana pun ramai yang boleh senarai lebih lagi boleh kita kongsikan bersama.

Dalam satu lagi kuliah , Ustaz Abu Bakar menyatakan Jabir b. Samurah menyatakan,

1. Sesiapa yang hafaz 40 hadis selepas walat Nabi. Beramal dengan hadis itu ia akan menjadi rakan Nabi di dalam Syurga nanti.
2. Sesiapa yang membelanjakan hartanya untuk menuntut ilmu yang bermanafaat juga tidak ketinggalan akan bersama Rasulullah nanti.
3. Sesiapa yang membaca setiap kali selepas solat Surah AlIkhlas sebanyak 11 kali disamping mengamalkan memelihara imannya juga akan bersama Rasululullah nanti.
4.Tidak ketinggalan sesiapa yang duduk dalam malis ilmu dan tazkirah dan memanafaatkannya akan berpeluang bersama Rasulullah nanti di Syurga.

Opah harap pada diri opah sendiri kita semua boleh merebut peluang ini bersama selagi hayat masih ada.

Saturday, March 21, 2009

SALAM TAHNIAH

Salam untuk anak cucu opah dan sahabat handai yang dikasihi, mudah-mudahan anda di luar sana sentiasa sihat penuh rahmat dan hidayat dari Allah SWT.

Opah dah lama tak menulis walau ada jugalah niat nak menulis memandangkan problem dengan internet kat rumah. Sekarang dah ok. Biasalah manusia pun ada kala sihat dan ada kalanya sakit, apatah lagi dengan ciptaan manusia sendiri, Ada kekurangan dan ada kelebihan.

Opah ucapkan tanhiah pada sesiapa saja yang mempunyai anak yang telah mencapai kejayaan cemerlang atau sederhana dalam STPM dan SPM yang lepas, yang terbaca blog opah ni.Bagi yang mendapat keputusan kurang memuaskan, ini bukanlah sesuatu yang dah berakhir, peluang membaiki kesilapan masih ada. Berikan semangat bukan kutukan, anda lebih faham siapa anak anda yang sebenar.....Banyak bidang yang boleh diceburi asalkan bersesuaian dengan keputusan dan cita-cita mereka sendiri.

Friday, February 27, 2009

PUSAT PENGAJIAN OPAH

Salam untuk semua,

Opah harap semua anak cucu opah Allah dikurniakan kesihatan dan keselamatan dan petunjuk Allah sentiasa. Opah dah lama menanam hasrat nak bercerita tentang tempat pengajian opah tapi baru sekarang baru dapat, hanya untuk dikongsikan. Ianya terletak agak ke dalam sedikit lebih kurang 8 km dari BM atau Bukit Mertajam. Ada dua pusat pengajian kat sini dikendalikan oleh dua orang Ustaz, Ustaz Abu Bakar dan Ustaz Mutalib. Pada hari Jumaat, kuliah pengajian di Kubang Semang -Ustaz Abu Bakar. Pada hari Sabtu, di Kampung Petani -Ustaz Mutalib. Kedudukan dua pusat pengajian ini berdekatan dipisahkan oleh lebuhraya Butterworth -Kota Baru.

Pelajaran yang diajarkan sama saja antara keduanya, cuma cara penyampaian saja berlainan mengikut pendekatan masing-masing.Kuliah yang diberikan untuk Hadis, Tafsir,Tasauf dan Usul Fiqh Kuliah pengajian bermula pukul 8.30 hingga 11.00 pagi. Kitab-kitab yang digunakan Minhajulabiidn, Baghiatul tullab dan Tafsir Nurul Ihsan.

Ustaz Abu Bakar akan memulakan sessi awal dengan bacaan doa dan memilih satu hadis setiap minggu untuk kupasan lanjut selama lebih kurang 20 minit. Kemudian menyambung kuliah tafsir lebih kurang 40 minit, diteruskan kuliah usul Fiqh.Ustaz akan membaca kitab-kitab yang opah sebut tadi sambil membuat kupasan memberi contoh yang berkaitan dengan tajuk. Ustaz akan merujuk kitab dan kita semua membaca bersama kitab masing-masing. Kita semua boleh bersoal jawab dengan ustaz kalau ada masalah hantarkan secara bertulis bagi kaum wanita.Kuliah ditamatkan dengan bacaan Yassin dan doa setiap minggu.Air doadari bacaan Yassin disediakan di surau sesiapa saja boleh mengambil untuk penerang hati, penyembuh penyakit dengan izin Allah. Kuliah pada pagi Ahad juga diadakan khas untuk orang yang masih bekerja.

Pusat pengajian keduanya bukan saja menyediakan pengajaran untuk pesara macam opah tapi untuk remaja lelaki juga boleh belajar di sini sepenuh masa. Dulu dikatakan Sekolah Pondok . Pondok dah tak ada tapi rumah panjang lengkap dengan keperluan asas disediakan untuk penuntut dewasa dan remaja ini.Surau ditengah ,dewan terbuka, rumah panjang dan kediaman ustaz. Kerusi disediakan. Penuntut dewasa boleh menderma mengikut kemampuan untuk kuliah ini tidak dipaksa, setiap minggu.

Pusat pengajian Ustaz Mutalib terdapat masjid yang lebih besar, ada hotel Nahdhoh Inn . Pelancong yang memerlukan penginapan semasa ke sini boleh datang di Nahdhoh Inn. Bezanya di sini tidak ada rumah panjang. Kelas fardhu ain untuk anak-anak sekolah rendah disediakan setiap hari dari 5.30 petang hingga lepas solat Isyak berjamaah Isyak di Masjid, lebih kurang 9.00 malam

Di kedua-dua pusat pengajian ini menyediakan tapak jualan untuk sewaan dengan harga rm10 satu tapak. Berbagai jualan pada kedua hari tersebut bermula dari 7.30 pagi hingga 11.00 t. hari. Dari makanan, ikan dan sayur, pakaian ubat-ubatan lebih kurang macam pasar malam atau pasar tani. Orang ramai yang hadir bukan saja dapat belajar ilmu, siap membeli-belah kuih muih dan lauk pauk lagi. Kebanyakan penuntut ilmu dari daerah Seberang Perai, Tanjung (Pulau) Kedah Selatan dan Perak Utara.Setiap hari Jumaat dan Sabtu pekan Kubang Semang akan sesak dengan kenderaan yang membawa ribuan penuntut ilmu.

Inilah cerita opah tentang pusat pengajian kat tempat opah mudah-mudahan Allah sentiasa gerakkan hati kita untuk menambah kebaikan dan membuang keburukan kita setiap hari, Amin.

Wednesday, February 25, 2009

JAWAPAN TAG KAKYONG

Salam untuk semua , kak yong ini jawapan opah untuk kak yong.

1. Were you named after anyone
Ya, tokoh pemodenan wanita Indonesia Raden Adjeng....
2. When was the last time you cried
Malam Jumaat lepas semasa berdoa lepas solat.
3. Do you like your handwriting
Kalau tak suka siapa lagi....
4. What is your favourite lunch meat
Ikan goreng atau bakar
5.Do you have kids?
3 orang saja. 2 putra seorang puteri, 29, 27 dan 24. (dah tua pun)
6. If you another person would be friends with you?
Pasti.
7. Do you use sarcasm?
Tidak suka lebih baik berterus terang.
8. Do you have your tonsils?
Tiada
9. Would you bungee jump?
Tidak pernah ada peluang ....sekarang oh... tidak
10. What is your favourite cereal?
Oat
11. Do you untie your shoes when you take them off?
Ya ketika lepas berjoging je.
12 What is your favourite ice cream?
Strawberry
13.What is the first thing you notice about people?
Wajah dan suara
14.Red or pink
keduanya
15. What is your least favourite thing about your self
kadang-kadang lupa
16. Who do you miss the most?
Arwah Ayahanda dan bonda
17. Do you want everyone to complete this list?
Tidak perlu.
18.What colour of pants and shoes are you wearing?
seluar panjang hitam (dalam rumah tak pakai kasut)
19What are you listening to right now?
Klasik Nasional
20If you are crayon, what colour would you be?
Biru
21.Favourite smells
Bunga Melur
22. Who was the last person you talked to on phone/
Anakanda ketiga saya.
23. Do you like the person who sent this to you/
Pasti, silaturrahim kerana Allah mereka rakan saya walau pun tak pernah lagi bersua.
24.Favourite sports to watch?
Tak berapa suka tengok.
25. Hair colour
Hitam
26. Eye colour
Coklat pekat
27. Do you were contacts?
Tidak, cermin mata ketika membaca saja.
28. Favourite food
Soto ayam
29Scary movies or happy endings?
Keduanya
30 Last movie you watched
-----------------
31What colour of shirt are you wearing?
Biru dan hitam
32 Summer or winter?
Keduanya kalau boleh...
33.Hugs or kissses?
Keduanya bergantung dengan siapa
34. Favourite desert
Cendol Sagu
35 Most likely to respond?
Perkara yang saya tahu dan ada pengalaman, motivasi pendidikan, agama dan masakan.
36. Least likely to respond?
Ghibah-menceritakan keburukan orang lain
37What Book are you reading
Perang Armageddon dan Imam Mahdi
38What is on your mouse pad?
-------
39.What did you watch on tv last night
Luar lingkungan
40.Favourite sounds
Bacaan ayat suci Alquran.
41Rolling stones or beatles
---------
42What is the further you have been from home?
Tanah suci Mekah- Saudi Arabia
43.Do you have a special talent?
Melukis.
44.Where were you born?
Gunung Semanggol
45Whose answer are you looking forward to getting back?
Tidak sesiapa

Tuesday, February 17, 2009

KES LANGGAR LARI

Salam kasih sayang untuk semua anak cucu opah, harap anda semua sihat seisi keluarga.Cerita kali ini untuk ingatan kita termasuk opah jugak sebab membawa kenderaan ni kena berhati-hati biar pun masuk kampung macam kampung opah ni. Seasiapa pun boleh kena jika alpa termasuklah opah.

Subuh hari Isnin lepas opah dan member-member surau opah terkejut besar melihat bumbung khemah depan surau kami sudah menyembah bumi. Apa hal pulak ni hujan tidak ribut pun tidak siapa yang bagi runtuh bumbung yang memang dipasang depan surau kami ni. Hasil soal siasat maka tahulah kami puncanya.

Seorang agen emas zulian dari kampung sebelah, belum sempat mulakan bisnes disebuah rumah jiran telah terlanggar salah satu tiang semasa nak berpatah balik. Difahamkan baru dapat lesen memandu.Terlanggar, dilanggar itu taqdir qadha' dan qadar Allah. Pemandu wanita tersebut terkejut apatah lagi bumbung tersebut telah menghentam bumbung kereta barunya. Nasib baik dia sempat keluarkan kereta dari bawah bumbung yang dah ranap ke bawah kerana tiangnya dah patah.Terkejut dengan keadaan itu dia terus balik ke rumah. Seorang ahli qaryah kampung kami yang nampak dan mengenalinya terus ambil tindakan kerumahnya malam itu dan memberitahu sang suami yang belum diberitahu lagi ketika itu.
Alhamdulillah sekarang dah selesai, suaminya datang membayar ganti rugi tiang yang patah pada Pengerusi Surau kami. Macam kes langgar larilah pulak. Bezanya ini surau hak orang ramai kalau di jalan raya dengan manusia lain pulak ceritanya. Siapa tak pernah silap dalam hidup ni beranikan diri mengaku kesalahan dan minta maaf. Kemarahan selalunya akan terpadam dengan Kemaafan.

Sunday, February 15, 2009

ADA HIKMAHNYA DISEBALIK SESUATU

Salam ukhwah dan kasih sayang untuk semua anak cucu opah, saudara-mara opah tak kiralah orang Pas ke PKR atau Umno. Opah sebagai insan kerdil yang tak punya apa-apa kuasa pun kecuali berdoa pada Allah yang Maha Kuasa (Tuhan bagi semua kita yang berlainan parti) memohon ketenangan dan penyelesaian dengan cara paling baik.

Bila kita dalam nafsu amarah sangat takut kita dipengaruhi oleh sidia tu plak. Kalau kita tidak dapat berpuas hati sesama insan biarlah Allah yang menentukan siapa betul dan siapa salah. Tunggu..... dan lihat atau rasakan Allah itu Maha Adil Pengasih dan Penyayang dan jangan lupa Azabnya juga ...... Mudah-mudahan Allah selamatkan kita semua.

Friday, February 6, 2009

PERAK NEGERIKU

Salam untuk semua, mudah2an Allah sentiasa menganugerahkan kita kesihatan, kedamaian dan... semua yang terbaik opah pohonkan. amin.

Sebagai rakyat negeri Perak walau pun dah tinggalkannya lebih kurang 30 tahun hanya balik sekali-sekala hati dan perasaan opah tak pernah melupakan negeri tempat opah dilahir dan dibesarkan. Alhamdulillah walaupun tak menetap di Perak opah sentiasa ikuti saat-saat suka duka, cemas dan dramatiknya apa yang berlaku dalam minggu ini pada negeri kesayangan opah tu.

Tidak terlibat dengan politik sangat tapi ikuti juga perkembangannya, opah sangat berharap pada kedua-dua pihak yang berundur dan yang dinobatkan semula sentiasa berwaspada ingatlah kuasa adalah amanah Allah. Di akhirat pemimpinlah yang akan dipersoalkandulu(semua kena termasuklah opah yang kerdil ni) sebab tulah di zaman Rasulullah pemimpin adalah dari kalangan Ulama'. Di zaman Rasulullah segalanya boleh dirujuk pada Nabi Muhammad, pemimpin yang tidak dapat kita bandingkan dengan sesiapa pun ...... Kalau tak dapat ikut semua pun ambillah teras perjuangannya atau ikut landasan yang sama jangan menyimpang sebab Islam itu adalah cara hidup.

Friday, January 23, 2009

TERKENA SIHIR ,KETEGURAN DAN BUATAN ORANG


Salam untuk semua,

Setiap hari menjadi-jadi pulak cerita hantu kat tv. Opah bukanlah suka sangat tapi bila tengok rancangan lain adalah pulak iklannya. Mahu tidak mau tengok jugalah dah depan matakan. Mungkin di luar sana ada orang yang pernah disihirkan atau terkena buatan orang dalam pelbagai bentuk. Banyakalah istilah yang sering digunakan seperti kena santau, buatan orang, kena tegur dek jin dan macam-macam lagi.


Opah adalah juga pengalaman kena tegur tapi masa kecil dulu dalam ketika itu dalam lingkungan 6 tahun, Opah dan rakan-rakan suka merayau ke hutan kecil di kaki Gunung Semanggol, kampung kelahiran opah, mencari tumbuhan namanya Pokok Lemba untuk dimakan kemudian minum air rasanya sangat manis. Apabila pulang ke rumah malamnya opah dikatakan meracau-racau dan menangis hingga dipanggilkan bomoh, bomoh yang dipanggil pulak tak sempat naik rumah lagi dan menurun ( tak sedar diri). Bomoh tu kata mungkin opah dah pergi main ke kawasan makluk halus dan dah kena tegur smapai demam. Tak taulah opah sejauh mana kebenaran cerita ni. Tapi yang pasti demam tu Allah takdirkan mungkin minum air sungai dengan buah lemba banyak sangat.

Pengalaman bersama orang yang terkena sihir sangatlah mencabar, kadang-kadang takut kita pulak yang terkena kalau lemah semangat.Ketika tinggal di asrama dulu rakan-rakan yang terkana histeria menjerit-jerit nak lari ke Gunung berhampiran. Peristiwa ini berlaku bila antara kami yang suka sangat ketawa-ketawa dan bergurau lebih-lebih pada waktu siang. Malamnya ada yang nampak kepala orang di atas tali kelembu bergerak ke sana ke mari. Sungguh menyeramkan. Warden panggil Ustaz dan bomoh untukk menenangkan mereka. Kalau sorang takpalah jugak ini sampai 5 atu 6 orang jadi serentak. Tiap-tiap dorm ada wakilnya.

Kampung opah tinggal sekarang pun masih terdapat kejadian. contoh terkena santau, baru-baru ini anak jiran (dikatakan bomoh) terkena santau, akibatnya kegatalan seluruh badan dan mengalami pendarahan, mungkin luka usus kerana santau yang diperbuat dari seerbuk kaca.Tiap penyakit ada penawarnya. Seorang rakan guru terkena santau sampai peringkat jarum peniti keluar dari kakinya semasa sedang exam. Dia disembuhkan dengan izin Allah melalui Dr. Harun Din di Bangi.

Dalam semua pengalaman dan cerita yang opahtahu tidak sama dengan penderitaan yang ditanggung oleh seorang ahli keluarga opah(wanita) dia dengan izin Allah hingga kini usianya 66 tahun telah menderita akibat tekanan jiwaselama 47 tahun. Menurut ceritanya dia dikenakan oleh bekas suaminya yang mahu dia balik semula padanya ( bajunya dicuri dan suaminya menggunakan khidmat bomoh siam seperti yang diceritakan). Sebelum itu dia menuntut fasakh dari suami kerana suami kaki judi (barang kemas digadaikan) dan cemburu (sekarang mungkin dah jadi baik).

Usia perkahwinan 3 bulan dan dia mengandung anak pertama ketika itu. Wanita ini mengalami sakit jiwa yang teruk dan bila melahirkan anak, anak meninggal pulak. Bertambah2-tambahlah penyakit yang menimpa. Dia akhirnya menerima rawatan di Tanjong Rambutan hampir lapan tahun. Kini terlantar lumpuh sebelah badan dipelihara oleh seorang adek lelaki yang sungguh menyayanginya walau pun dia ternyata sudah tidak berdaya dan tak tau apa-apa lagi dalam hidup ini.Allah lebih tahu mengenai sesuatu kejadian itu. Mudah2an Allah akan takdirkan yang terbaik untuknya diakhirat nanti.

Adakah orang-orang yang melakukan atau mengenakan orang lain kerana tak puas hati, dendam akan terselamat di dunia ini? Dunia ini hanya sementara.

LAMBAIAN KAABAH. 2

Assalamualaikum wr...wb...

Opah harap semua rakyat Malaysia dalam keadaan yang masih stabil walaupun tiap-tiap hai kita dihidangkan dengan berita pembunuhan,perceraian, pergaduhan kalau tak bunuh pun dicampaknya anak sendiri dalam tong sampah, tak tau lah manusia ka apa ? Opah harap sesuatu yang baik boleh menyedarkan dan mengubah suasana hari ini kepada yang lebih baik terutama keadaan di Gaza. Mungkinkah sesuatu boleh boleh dilakukan oleh Obama... atau lebih teruk lagi.(Minta Tuhan jauhkan)

Opah terpanggil menulis sedikit lagi episode yang tertinggal, terima kasih Lin selalu ingatkan opah. Nak cerita tapi takut pulak jadi mengumpat kerana cerita-cerita ni berlaku di tanah suci, tak dimasukkan dulu kerana endingnya opah tak dapat kesan tapi untuk pengajaran diri opah sendiri dan orang lain opah ceritakan jugalah. Cuma kita tak sebutkan namanya (supaya jadi harus ceritanya menurut Datuk Hassan Din AlHafiz).

Cerita ini berlaku kepada seorang individu dari negara jiran yang suaminya walaupun sudah ke Mekah tapi tidak dapat menghampiri atau menatap Kaabah. Apa yang dia nampak hanyalah lautan. Isterinya menangis setiap hari di Masjidilharam . Apabila ditanya mengenai perbelanjaan ke Mekah itu isterinya menyatakan dia sendiri meragui darimana datang duit itu kerana suaminya termasuk dari golongan kurang mampu.Ia dinasihatkan supaya berjumpa dengan orang yang lebih alim untuk menyelesaikan masalah suaminya memandangkan tawaf keliling Kaabah adalah rukun haji. Macam mana nak dilakukan kalau yang dia nampak laut semata-mata dan takut untuk mendekatinya.

Satu lagi cerita seorang individu yang mempertikaikan kandungan air zam-zam akhirnya dikatakan mengalami serangan sakit saraf, dinasihatkan meminum air zam-zam untuk mengatasinya. Perisitiwa ini juga dirujuk pada ulama, ketika di sana. Selepas itu khabarnya dia beransur pulih.

Mudah-mudahan cerita ini menjadi iktibar kepada kita supaya lebih berwaspada apabila hendak melakukan ibadah haji.

Monday, January 12, 2009

DARI KOLEKSI VIP

Salam untuk semua.

cerita satu
Pada waktu senggang dua orang murid Tahun 4 sedang berbual tanpa menyedari diperhati dan didengari oleh guru kelas mereka.

Murid I "Hang nak dak jadi cikgu bila besak nanti"
Murid 2 "Huish, aku tak maulaa.."
Murid 1 "Pasai apa? jadi cikgu baguih, depa kata gaji mahai, cuti banyak boleh marah kat orang"
Murid 2 "Tu laa, betui cikgu memang selalu marah, tu aku tak mau,"
Murid 1 "Nii. pasai apa tak boleh marah haa?"
Murid 2 "Orang kata marah kat orang cepat tua tau, pastu darah jadi tinggi, mati cepat oo..."


cerita dua.
Beberapa orang guru sedang berbual di kantin. Seorang guru perempuan baru sampai turut sama dalam perbualan tersebut. Seorang guru mula nak bergossip mengenai hal-orang . Cikgu perempuan berkata,

" Kalau nak teruskan saya minta diri dulu, saya ingat nak makan tadi dan saya tak mau ada saham yang dah pasti merudum diakhirat nanti".

Cerita tiga
Seorang waris datang berjumpa guru kelas anaknya Tahun 1 selepas 3 bulan ke sekolah. Katanya. " Macam mana cikgu anak saya tu, boleh ka dia belajar" tak sempat lagi cikgu tu menjawab, dia berkata lagi, " Malas tu cikgu kat rumah, lembab, suruh belajar tak nak, lasak pulak tu". baru berhenti dan boleh lah cikgu tu menjawab " Boleh tak kamu berenti dari kata kat dia perangai yang tak elok tu semua,kamu tu mak dia perkataan yang kamu kata tadi Allah nak makbul bila-bila pun boleh, biasalah baru 3 bulan, dia mau ke sekolah dan ikut arahan guru semasa belajar kira oklah. Kamu patut bimbing dia lagi kat rumah jangan harap cikgu semua kat sekolah ada 30 orang murid lagi" .

"Saya tak sengajalah cikgu kata-kata tadi tu," "Takpalah yang lepas tu cukuplah jangan sebut yang tak baik tentang anak kita, kamu kata dia lasak, kamu ingat tak masa saya ajar kamu dulu bagaimana keadaan kamu?" Cikgu tu tak sedar terungkit lah plak kisah waris yang bekas muridnya dulu. "Pernah tak saya kutuk kamu macam kamu kata pada anak kamu tadi?". Kata waris itu " Tak pernah cikgu" ia menjawab dengan perlahan agaknya teringat macam mana cikgu yang sama ini pernah mengajarnya. Cikgu tu terus mengajar lagi (maklum cikgu) "Cikgu dan Ibu samalah Sayang oii, keberkatan dan kemasinan mulutnya sebab tu tak boleh dok kata haru biru kat anak atau anak didik kita"

cerita empat.

Seorang guru Bahasa Inggeris berbangsa India (Tahun4 di sk) mengadakan ujiaan lisan bagi kelasnya.Dalam kertas ujian tersebut terdapat gambar sebagai bahan penguji. Guru itu menyoal beberapa soalan dalam BI dan murid tersebut boleh menjawab dengan lancar .

Salah satu gambar bahan ujian itu adalah gambar seorang wanita Cina memakai ceongsam.

Guru itu bertanya, "Do you like her?

Jawab murid itu "No.."

Guru itu agak terkejut lantas bertanya, "Why?"

Murid itu menjawab "Because she is not- muslim"

Tersentak guru itu lalu bertanya "Do you like me"

Jawab murid itu "Yes.."

Tanya guru itu lagi "Why?"

Jawabnya " Because you are my teacher".

Hampir dua tiga minggu jugak perkara ini menjadi bualan hot antara guru-guru bukan Islam di sekolah itu. Adakah semua orang Islam mengajar anaknya memusuhi bukan Islam? Memang ajar tak suka tapi bukan buat Kurang Ajar seperti Israel menyembelih rakyat Palestin walau sebangsa tak seagama.Kita hormati dan hargai mereka yang mengajar dan membimbing anak-anak kita dengan hati yang tulus sebagaimana kita yang pernah diberi tugas membimbing bangsa mereka juga.

Sunday, January 11, 2009

DOA UNTUK RAKYAT PALESTIN

Salam buat semua umat Islam,

Opah percaya ramai antara anak cucu opah ada menerima sms untuk mendoakan rakyat palestin. Alhamdulilah ada jugalah opah forwardkan untuk anak cucu mana yang sempat. Kita nak tengok berita pun dah mangli macam dah tak ada harga nyawa orang Islam di sana. Kita di sini masih boleh bersantai-santai, beribadah dengan selesa mereka di sana berperang untuk mempertahankan nyawa. Untuk nyawa saja belum sempat mereka fikirkan bumi mereka.

Seluruh dunia umat Islam pasti bersimpati tetapi tidak 100% bagi orang Arab sendiri. Mereka masih sanggup menutup sempadan mendiamkan diri, mempunyai agenda sendiri, menyekat keperluan kepentingan rakyat di sana.

Kita doakan sesuatu dari Allah untuk mengajar Israel Laknatullah itu juga kesedaran dan perubahan pada negara-negara Arab yang tidak dapat bersatu lagi dalam menangani hal ini.
Mudah2an Allah ubat hati perut mereka tu semua, jangan dok jaga kepentingan diri sendiri saja
terutama sekali Mesir yang menutup sempadannya dengan Palestin.

SMS yang opah terima.. pemimpin Hizbullah Lebanon Sye Hassan Nasrallah meminta seluruh umat Islamuntuk melafazkan Quran Surah Fath ayat 26-27 Surah Yunus ayat 85,86 dan 88, sebarkan agar Israel hancur -fwdkan

Wednesday, January 7, 2009

BERMASAALAH DI PRA ATAU TINGKATAN 1


Salam untuk semua terutama anakanda yang anaknya baru melangkah ke pra, tahun 1, tingkatan 1 atau tingkatan 4. Adakah anda salah seorang dari mereka yang masih berada di sekolah sehingga hari ini untuk menunggu buah hati yang masih belum bersedia itu?

Kalau anda masih menunggu di sekolah hingga 10 hari atau lebih, firasat opah anak anda sedang mengajar anda bukan anda yang mengajar dia. Tinggalkan dia dengan rasa kasih sayang pada gurunya yang pada masa yang sama adalah ibunya atau bapa. Tidak ada seorang guru pun dalam dunia ini(kecuali ada kes terpencil) yang ada niat buruk pada muridnya. Pada guru yang baru posting baru jumpa anak-anak sabarlah , kita telah pilih kerjaya ini teruskan dengan pelbagai teori yang andaDdah pelajari. Bagi si kecil sentuhan anda padanya sangat mujarab untuk menenangkan hati. Ada juga yang makin agresif bila disentuh, mainan, aktiviti pelbagai,pujukan dan kawan rapat dekat rumah mungkin dapat membantu. Rujuk kesukaannya pada waris.

Ini bagi pra atau tahun 1 bagaimana pulak dengan Tingkatan Satu di Sek. Menengah. Ada teman terpaksa menukar anaknya ke 3 buah sekolah dari Januari ke Mac. Dari sekolah tawaran asrama harian duduk di asrama(Sek 1), tukar ke sek men. agama pilihan juga tapi berulang(sek 2), dari sek. men. agama ke sek biasa(sek.3). Kekal di sek ini berulang dari rumahnya jalan kaki saja.

Adakah anak ini sama nak kita kategorikan dengan anak di pra yang masih menangis? Bila sampai usia ini kadang-kadang ibu bapa kena ikut rentak cita-cita atau pilihan mereka sendiri berbeza dengan si kecil tadi. Kedua ibu bapa ini inginkan anak ini mendapat didikan agama dari SMKA bukan nak paksa jadi siapa2 tapi anak ini ada agenda sendiri.Akhirnya mereka mengalah dan sentiasa mendoakan anak ini akan mendapat hidayah dan rahmat Allah walau pun tidak di SMKA.

Anak ini akhirnya berjaya melepasi PMR dengan cemerlang dapat pulak tawaran ke Asrama Penuh bidang Mek Engin. Sekali lagi dia menolak. Kali ini kedua ibu bapa tidak lagi membantah.
Akhirnya dia berjaya ke Universiti dalam jurusan yang dia minati- Vaterinar dan Pertanian.

Friday, January 2, 2009

LAMBAIAN KAABAH.



Assalamualaikum wr...wb...

Menunaikan fardu haji rukun kelima bagi Umat Islam adalah satu kemestian. Opah pasti semua umat Islam di mana saja mereka berada tentu menanam azam untuk ke sana. Bagi yang belum pernah tentu menjadi perkara penting dalam hidup ini dan menunggu masa dan ketika duit cukup atau duit dah cukup nama belum disenarai untuk pergi lagi. Bagi sesiapa yang dah pergi pulak sentiasa merindui lambaian kaabah terutama bila tengok blog sheikh Helmi.

Apa-apa pun opah berharap sesiapa yang berpeluang menunaikan rukun kelima ini lakukan dengan niat dan amal yang betul dan ikhlas. Bila kita telah niat untuk pergi pahala dah pun dapat apatah lagi setelah dapat ke sana dan mengerjakan ibadat haji. Tidak sama nilai dan proses untuk ke sana berbanding dengan ke tempat lain.

Firman Tuhan ayat 97 Surah AlImran yang bermaksud,

"Allah mewajibkan haji ke Rumah Suci (Kaabah) atas semua yang kuasa pergi ke sana."

Sabda Rasulullah s.a.w maksudnya

"Islam itu ditegakkan atas 5 dasar
  • Menyaksikan bahawa tidak ada Tuhan yang hak (patut disembah) melainkan Allah dan bahawasanya Nabi Muhammad itu pesuruh Allah
  • Mengerjakan sembahyang 5 waktu
  • Membayar zakat
  • Mengerjakan haji
  • Berpuasa pada bulan Ramadhan

(Sepakat Ahli Hadis)- Rujuk Fiqh Islam-H Sulaiman Rasjid.

Takut dan harap sentiasa bermain dalam fikiran bila mendengar cerita-cerita jemaah yang terdahulu. Takut kerana diduga oleh yang Maha Berkuasa, harap harap dapat yang terbaik, bukan saja penginapan tapi untuk melakukan ibadat tersebut memerlukan kekuatan fizikal dan mental . Setelah berdaftar dengan tabung haji dan dipastikan dalam tahun berapa kita boleh ke sana mulalah episode doa dan harapan sentiasa dipanjatkan kepada Tuhan setiap kali lepas solat. Dalam kursus haji sebelum ke sana bakal jemaah sentiasa dihidangkan dengan cerita-cerita yang boleh dijadikan teladan bila ke sana.Ustaz-ustaz juga sering berpesan betulkan niat nak ke sana.

Semasa menjalani ibadah haji perkara rukun dan wajib haji adalah paling utama kedua nya aada persamaan cuma rukun; iaitu sesuatu yang tidak sah haji melainkan dengan melakukannya, dan tidak boleh diganti dengan dam (menyembelih binatang. Wajib pula ; iaitu sesuatu yang perlu dikerjakan, tetapi sahnya haji tidak tergantung atasnya, boleh diganti dengan menyembelih binatang. Opah rasa sesiapa yang ambil Pen. Islam Tingkatan 5 atau 4 masih ingat bab Haji ni.
Semasa mengerjakan perkara wajib Haji inilah yang hendak opah ceritakan kisah benar opah untuk muhasabah diri opah juga.


1. Opah dan jemaah haji SV 17 1996 telah ditakdirkan menginap betul-betul di hadapan 3 jamrah yang hendak dilontar pada hari-hari tasyrik . (Sangat bersyukur) lebih kurang 1 km dari jamrah.
Semasa hendak melontar jamrah pada hari ke 13 inilah opah dan suami telah didatangi oleh seorang makcik dari jemaah SV17 juga telah terlepas dari pegangan tangan anak saudaranya. Dalam asakan manusia inilah kami bertungkus lumus nak melontar opah duduk ditengah, kiri opah suami dan kanan makcik tadi. Keduanya ok boleh melontar agak selesa sebab sebelah tangan boleh melontar. Bila tiba giliran opah masalahnya dua tangan opah dan tersangkut jadi dengan sedaya upaya suami tolong hulurkan batu untuk dilontar sukar jugalah kerana tangan tersangkut, nak lepas takut terlepas pulak makcik tadi, alhamdulillah dalam lautan manusia itu kami bolehmengerjakan perkara wajib haji dan boleh lepas keluar untuk perjalanan ke Mekah semula. Inilah peristiwa paling mencabar walaupun Allah takdirkan kita paling hampir dengan jamrah,rasanya dah mudah tapi Allah datangkan seorang Hamba Allah yang dah berusia untuk bersama kami berdua. Berkali-kali dia mengucap terima kasih pada kami, semua itu adalah kehendak Allah.Jangankan kata-kata secara lisan, terdetik dihati pun Allah dah tahu isi hati kita.Allahuakbar.Selain dari niat ke sana untuk menunai fardu haji rukun Islam yang kelima opah ada ingatan untuk menunaikan perkara sunat-sunat lain. Antaranya ialah untuk mengucup Hajar Aswad.

2. Mengucup hajar aswad adalah sunat. Hajar Aswad (mengikut Tok Guru) asalnya berwarna putih menjadi hitam kerana dosa manusia yang mengucupnya , berasal dari Syurga dan ada riwayat yang menyatakan asalnya juga dari Malaikat - Malaikat itu ketika kita mati nanti dapat mengenal siapa yang telah meletakkan dahinya di situ.Sama ada riwayat itu ada atau tidak kebenarannya dia tetap menjadi perkara utama walaupun sunat. Ada jemaah yang sanggup membayar upah semata-mata untuk dibawa oleh pekerja atau jemaah lelaki Indon untuk mengucupnya.Opah tak pasti skg massih ada lagi tak keadaan ini di sana.(rujuk sheikh kita) .

Ketika di Mekah opah sendiri begitu teruja nak mengucup Hajar Aswad sampai opah telah berkata," Baba tolong bawa mama depan nya cukup, mama nak cuba pergi kucup sendiri". Pada satu malam lebih kurang pukul 1.00 pagi kami berdua pun pergi ke Kaabah dan nampaknya manusia yang cuba mengucupnya adlah lebih kurang 50 -60 orang mengerumuninya. Kami solat dulu tahiyatul Masjid dan lain-lain solat sunat termasuklah yang paling penting Solat Hajat khusus untuk mengucupnya.Memandangkan jemaah yang nak mengucup pun ramai dan suasananya Tuhan sajalah yang tahu.

Selesai Solat Hajat dan berdoa kami berdua cuba memasuki kumpulan jemaah tersebut sambil berpegang tangan kuat-kuat. Dalam semua jemaah berasak2 Opah dan suami tak sedar telah terkedapan betul-betul2 mengadapnya. Suami opah cepat mengucupnya dengan masa yang agak lama juga tapi dia hendak menarik opah ke depan tangan kami terlepas cermin matanya pula tertanggal, nasib baik tak jatuh. Tinggallah opah seorang diri terkial2 nak ke hajar aswad yang lebih kurang satu meter lagi. Inilah ujian opah rasa sebab opah pandai sangat dengan kata-kata nak cuba kucup sendiri.

Lepas tu Opah tak taulah macam mana boleh teriakkan "Allahuakbar Allahumma yassir walatuassir" agak kuat jugalah dalam dua kali jerit ada jemaah lelaki yang berhampiran memberi laluan pada opah, Allahuakbar, alhamdulillah selesai kucup batu hitam dan hijau itu opah terlepas kebelakang dan dapat berjumpa suami yang sedang menunggu opah. Opah syukur sangat.Di Mekah setiap kata-kata bekemungkinan doa, jadi selalu orang berpesan jagalah mulut semasa di sana pintu doa.Sebenarnya di mana saja mulut memang kena jaga selagi hidup (Malaikat penulis kebaikan dan kejahatan tak pernah cuti pun)